BAB 2

248 24 1
                                    

"DOSA terbahagi kepada dua iaitu dosa kecil dan dosa besar. Dosa kecil akan diampuni oleh Allah dengan membuat amal kebaikan yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Misalnya seperti menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran, beristighfar. Manakala dosa besar pula..."

Hanzalah jeda. Dia memandang setiap wajah pelajar-pelajarnya yang sedang khusyuk mendengar pengajarannya pada pagi itu.

"Hanya akan diampuni oleh Allah dengan melakukan taubat nasuha dan disebabkan itulah sebagai seorang Muslim, kita kena tahu dosa-dosa yang kita dah buat selama hayat kita. Jangan terlalu lalai dengan semua nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Ingat, semua ini hanya pinjaman daripada yang Maha Kuasa."

"Ustaz, saya ada soalan." Seorang pelajar lelaki mengangkat tangannya.

"Ya, silakan."

Si pelajar lelaki menghela nafas berat. Sesak benar dadanya mahu mengemukakan soalan ini. Namun, dia juga tak mahu terus-menerus hidup dalam kenikmatan dunia tanpa tahu perbuatan yang dilakukan itu mencatatkan dosa buatnya.

"Macam mana kita nak tahu apa yang kita buat tu berdosa atau tidak?"

Mendengar soalan itu, Hanzalah mematikan langkahnya di hadapan kelas. Senyuman terukir di bibirnya. "Menarik soalan tu. Kita ni sebagai manusia bila terlalu hanyut dengan dunia, kita lupa segala dosa yang kita dah buat selama menjadi hamba Allah. Begini..."

Hanzalah mencapai sebuah buku bertajuk '76 dosa besar yang dianggap biasa' lalu diunjuk di hadapan pelajar-pelajarnya.

"Dalam kitab karya Imam Al-Zahabi ini, ada tertulis lebih daripada 70 dosa besar yang kita tak sedari. Kau orang boleh baca buku ni kalau ada kelapangan nanti. Selebihnya, kita sebagai umat Islam yang kena sedar dengan setiap dosa yang kita lakukan. Bila kita sedar dosa kita, dah tentunya kita akan rasa menyesal dan tak akan ulangi lagi perbuatan itu. Masa nilah, kita akan bertaubat kepada Allah."

Suasana hening buat seketika. Hanya bunyi mesin rumput di luar bilik darjah bersama kipas yang ligat berputar kedengaran. Masing-masing terkelu seakan mengingati semula setiap hal yang mereka lakukan sepanjang hayat. Sama ada ia menempah kepada dosa atau sebaliknya.

"Syarat taubat pula ada tiga. Pertama, setiap individu mesti rasa bersalah dan tinggalkan dosa yang dilakukan. Kedua, menyesal melakukan maksiat dan ketiga, berniat tak akan ulangi dosa itu lagi. Dalam surah At Tahrim ayat 8 Allah SWT berfirman bahawa wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan melakukan Taubat nasuha."

"Macam mana kita nak tahu kalau taubat kita diterima oleh Allah?"

Soalan daripada seorang pelajar perempuan membuatkan Hanzalah terkelu buat seketika. Sorotan matanya memandang dinding kayu madrasah bercat hijau itu. Entah mengapa, degupan jantungnya tiba-tiba kencang dengan soalan maut itu.

Ya Tuhan, soalan ini sangat berat untuk Hanzalah...

"Ustaz?"

Hanzalah tersentak. Kembali dengan perkongsiannya di dalam kelas tatkala disergah oleh pelajar di hadapan. Hanzalah berdeham seraya menegakkan posisinya.

"Maafkan saya. Apa soalan awak tadi?"

"Macam mana kita nak tahu Allah dah terima taubat kita?"

Sekali lagi, soalan itu seakan merentap tangkai hati Hanzalah sekelip mata. Nafas panjang dihela. Cuba mengusir anasir negatif yang menggugat fokusnya pada pagi itu.

"Salah satu tanda taubat kita diterima apabila hati kita lembut dan terbuka untuk beribadat. Kita mudah tersentuh apabila buat maksiat dan sekali gus kita akan menyesali perbuatan yang boleh membawa kita kepada dosa."

TAUFIQ HANZALAH: PENDOSA TANPA NOKTAH (EBOOK)Where stories live. Discover now