BAB 3

231 37 3
                                    

PERLAHAN-LAHAN, dia bangun daripada tersungkur di bahu jalan. Helmet ditanggalkan. Kepalanya terasa pusing. Seluruh tulang-temulang seakan patah tatkala tubuhnya terbanting di atas jalan tar. Sakit! Tapi, melihat si gadis yang sudah terduduk membibitkan rasa bersalah di jiwa si pemuda.

Dia tak sengaja melanggar si gadis sehingga berlakunya kemalangan kecil di antara mereka.

Lantas, dengan langkah terhincut-hincut, Hanzalah menghampiri si gadis yang sudah mengusap buku lali.

"Cik... saya minta maaf..."

"Kau tak nampak ke aku tengah melintas tadi? Sakit tahu tak!" jerkah Hayla seraya mendongak. Memandang si figura tinggi lampai yang sudah duduk mencangkung di hadapannya.

Buat seketika, Hanzalah kaku. Pandangannya bertaut dengan sepasang mata berwarna hazel itu. Terasa kelat liur di rangkungannya. Detak jantungnya mula berubah irama. Kencang. Angin pada petang itu tak terasa nyaman lagi. Leteran Hayla seakan masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Dejavu.

Entah mengapa, Hanzalah merasakan dirinya terlalu dekat dengan sepasang mata berwarna hazel itu. Samar-samar, wajah seseorang bermain di kotak memori Hanzalah. Sekali gus mencengkam rasa pilu di ruang hati pemuda itu.

"Hoi! Kau dengar ke tak apa yang aku cakap ni jantan keparat!" jerkah Hayla seraya menolak kasar tubuh Hanzalah. Geram tatkala pemuda itu seakan kaku melihat raut wajahnya.

Hanzalah tersentak. Dia menundukkan pandangannya. Allahuakbar. Tak seharusnya dia tenggelam dengan emosi lagi. Tak seharusnya dia menatap wajah seorang perempuan yang bukan mahram.

Dia khilaf... bijak benar syaitan membisikkan aura negatif ke dinding hatinya.

"Oh my god Hayla! Kau sakit kat mana? Kau boleh berdiri tak?" Perlahan-lahan, Zira membantu Hayla bangun. Namun, erangan kesakitan Hayla membantutkan pergerakan mereka.

"Sakitlah! Aku rasa kaki aku nak patah dah ni!" adu Hayla. Tubir matanya sudah terasa hangat. Sakitnya bukan kepalang! Seakan buku lalinya dicucuk dengan berjuta-juta jarum.

"Saya minta maaf, cik. Saya akan bayar ganti rugi..."

"Bagus! Aku nak kau bayar lima ribu untuk kaki aku ni. Ada tak lima ribu?" pintas Hayla. Benci benar dia melihat wajah si pemuda. Seenaknya saja merempuhnya sehingga kakinya terseliuh.

Mendengar hal itu, Hanzalah terkelu buat seketika. Lima ribu. Pandai benar gadis ini mengikis duitnya sebanyak lima ribu ringgit. Walhal, kecederaan si gadis tidaklah terlalu parah.

"Kita settle kat hospital. Ya? Saya akan bayar kos rawatan untuk cik," tutur Hanzalah. Perlahan-lahan, dia bangun seraya menuntun motosikalnya yang masih tersadai ke bahu jalan.

Hayla kaku buat seketika. Dahinya berkerut melihat langkah si pemuda yang kelihatan pincang. Mahu saja dilontarkan lagi amarahnya yang masih membakar jiwa. Namun entah mengapa seakan ada kunci di mulutnya yang membuatkan Hayla tak mampu bersuara lagi.

"YOU tak boleh nak hantar I balik rumahlah ni?"

"Sorry. I banyak benda kena buat. You fahamlah bos I tu macam mana orangnya. Semua nak on time."

Mendengar jawapan Marzuki benar-benar membuatkan Hayla kecewa. Kakinya yang sudah dibalut dengan kain anduh dipandang tajam. Baik Marzuki mahupun Zira, kedua-duanya tak boleh harap! Sanggup Zira tinggalkan dia di hospital hanya untuk meneruskan niat bersama teman lelaki sahabatnya itu.

Lagi satu, Hayla baru saja mahu menghadiri majlis Betry, salah seorang model terkenal di Malaysia. Nampaknya, semuanya batal sekelip mata. Terlepaslah peluangnya untuk mempromosi diri sendiri!

TAUFIQ HANZALAH: PENDOSA TANPA NOKTAH (EBOOK)Where stories live. Discover now