BAB 4

384 48 6
                                    

SAYUP-SAYUP, alunan Al Quran kedengaran di ruangan bilik solat yang terletak di sebelah kamarnya. Sudah seminggu Datuk Sulaiman menjemput seorang guru untuk mengajarnya mengaji. Sekali gus, menjadi penggera jam untuk Hayla bangun.

Hayla terpisat-pisat seraya meraba-raba telefon pintar yang terletak di atas meja sisi katil. Keluhan berat terlepas daripada bibir tatkala melihat jam yang sudah menginjak ke pukul 1 tengah hari.

Bahkan, sebanyak 100 panggilan tak dijawab daripada Marzuki. Biarlah! Hayla tak mahu diganggu setelah amarahnya meluap-luap dengan insiden minggu lepas.

Lantas, Hayla bangun daripada pebaringan. Pandangannya tertancap ke arah meja solek yang terletak setentang dengan katilnya. Merenung raut wajahnya yang kusut masai sambil mendengar bait-bait suci yang sedang dilafazkan oleh seseorang di bilik solat.

Entah mengapa, Hayla rasa tenang setiap kali mendengar kalimah Allah. Seakan amarahnya sirna sekelip mata. Serentak dengan itu, melihat ada parut kecil di dahinya membuatkan Hayla tenggelam dengan peristiwa 20 tahun yang lalu. Tika dia kehilangan kasih seorang ibu yang sudah berjuang melahirkannya.

"Mak Jah tak akan ada untuk Hayla lagi."

Tika kata-kata keramat itu pula menyelak langsir ingatan, jiwa Hayla mula sebu. Dia akan kehilangan kasih seorang ibu buat kali kedua. Keluhan berat dilepaskan. Mengusir kesedihan yang mula mengasak relung hatinya.

"Kau tak boleh menangis. Kau dah janji dengan diri kau, Hayla!"

Hayla bingkas bangun untuk membersihkan dirinya. Tak mahu lagi hanyut mengenangkan nasib bahawa Mak Jah akan meninggalkannya atas dasar yang Hayla sendiri tak pasti. Petang ini dia perlu menghadiri reherseal untuk pertunjukan fesyen yang akan datang.

"Terima kasih sebab sudi ajar pak cik. Maaflah pak cik banyak susahkan kau sejak akhir-akhir ni."

Belum sempat Hayla melangkah masuk ke dalam tandas, suara Datuk Sulaiman kedengaran di luar kamar.

'Pak cik'

Jadi, si ustaz yang sedang mengajar ayahnya mengaji itu pasti muda orangnya. Mula sudah timbul rasa sangsi di lubuk hati Hayla. Laju saja Hayla melangkah keluar dari bilik tanpa mengendahkan keadaannya yang kusut masai selepas bangun dari tidur itu.

"Tak apa, datuk. Tugas saya sebagai seorang Islam... membantu saudaranya yang berada dalam kesusahan. Lagi pun, datuk dah banyak tolong keluarga saya. Tak terhitung nilai kebaikan yang datuk hulurkan untuk Madrasah Ubadah," tutur si pemuda berkopiah putih itu.

Mana mungkin dia lupa kebaikan Datuk Sulaiman yang sudah menyelamatkan Madrasah Ubadah daripada ditutup ketika keluarga besar Ustaz Sorban mempunyai masalah kewangan.

"Pak cik..."

"Oh! Ni rupanya pak ustaz tok guru baru daddy. Daddy memang dah jadi best friend forever dengan pak ustaz ni ya? Selalu sangat daddy jemput dia datang rumah kita. Ada bawa tuah ke kalau dia datang rumah kita ni?"

Suara lantang Hayla membuatkan suasana mula dingin. Seketika, Hayla bertaut pandangan dengan Hanzalah. Namun, hanya seketika tatkala Hanzalah mengalihkan pandangannya daripada menatap Hayla yang bergaun satin tanpa lengan itu.

"Hayla... masuk dalam..." Nada autoriti Datuk Sulaiman sudah kedengaran. Panas hatinya melihat penampilan Hayla yang seakan tak mempedulikan air mukanya.

Hayla tertawa kecil. Dia tahu pandangan ayahnya yang seakan tak berpuas hati. Hayla peduli apa. Dia memang sengaja mahu menggugat keimanan ustaz muda di hadapannya itu.

"Apa? Hayla cuma nak berkenalan dengan ustaz kesayangan daddy ni je. Salah ke?"

"Hayla... masuk! Tak payah sibuk..."

Belum sempat Datuk Sulaiman menamatkan bicara, tubuhnya semakin menggigil tatkala dengan beraninya Hayla menghampiri Hanzalah sehingga tubuh dua figura itu hanya sejengkal.

"Tak salah kan kalau kita nak mulakan salam perkenalan... pak ustaz?" tutur Hayla seraya membetulkan kolar baju Melayu Hanzalah yang sedikit kusut.

Sontak, Hanzalah terkebelakang dengan sentuhan Hayla. Nafas panjang dihela. Ya Tuhan, dia tahu gadis di hadapannya ini mahu menggugat kehadirannya yang ikhlas mahu membantu Datuk Sulaiman.

"Kalau Cik Hayla nak belajar pasal agama, saya boleh bawakan ustazah dari madrasah..."

Hayla tertawa sinis. Bebola matanya diputar ke atas tatkala telinganya bingit mendengar bicara Hanzalah. Tubuhnya dipeluk erat. Masih ada sisa tak puas hati tatkala Hanzalah masih belum membayar lima ribu ringgit kepadanya.

"Siapa cakap aku nak belajar pasal agama? Aku muda lagi kut. Lama lagi nak mampus. Ustaz, orang muda macam kita ni sepatutnya kena enjoy dulu dengan hidup kita. Kalau dah tua macam daddy, barulah kita belajar macam mana nak jadi orang Islam."

Hanzalah menarik nafas panjang seraya dihembuskan perlahan-lahan. Dia terangguk-angguk dengan pendirian Hayla. Mengerti bahawa gadis ini sukakan kebebasan. Senyuman nipis terukir di bibir si pemuda sambil menyusun kata untuk memberikan teguran kepada gadis itu.

"Betul. Saya setuju dengan Cik Hayla. Orang muda macam kita masih banyak masa untuk enjoy dalam hidup. Tapi... masa tu berlalu dengan cepat. Mati itu tak pernah memilih umur. Kita tak tahu apa yang akan berlaku dalam hidup kita. Kita tak tahu sampai bila kita dapat rasa nikmat yang Allah kurniakan. Mati itu rahsia Allah."

Teguran Hanzalah yang penuh kelembutan membuatkan Datuk Sulaiman tersenyum sendiri. Dia berpuas hati melihat riak wajah Hayla yang sedikit kaget. Dia sukakan perwatakan anak muda ini. Tak semua anak muda seperti Hanzalah lebih memilih mendekatkan diri kepada Allah.

"Datuk, saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum."

Tanpa berlengah, Hanzalah berpamitan. Tak mahu berlama-lamaan lagi tatkala dia merasakan kehadirannya menggugat Hayla.

"Hayla. Kenapa cakap macam tu dekat Ustaz Hanzalah? Cuba jaga percakapan kamu tu sebagai seorang perempuan. Ustaz tu datang rumah kita sebab nak ajar daddy mengaji. Bukan nak cari masalah pun. Kamu jangan nak buat macam-macam depan dia pula!"

Hayla mencebik. Dia berpaling memandang wajah si ayah yang sedang mengemas ruangan solat. Sesekali, kedengaran batuk kering si ayah yang sudah mengusap-ngusap dadanya.

"Yalah tu nak ajar mengaji. Dulu, elok je daddy belajar kat luar sana. Ni lepas kes dia langgar Hayla, kenapa dia rajin sangat datang rumah kita?"

Ada nada tak puas hati di sebalik bicara Hayla. Sangsinya terhadap Hanzalah sudah sedalam samudera.

"Mesti nak mengelat sebab Hayla minta lima ribu. Nampak sangat sengkek!" hina Hayla lagi.

"Kenapa kamu asyik nak fikir yang bukan-bukan pasal dia? Dia dah minta maaf kan sebab kemalangan tu. Kecederaan Hayla pun tak adalah teruk mana daddy tengok. Masih boleh berjalan. Keluar sampai lewat malam. Tak payah nak mata duitan sangatlah, Hayla!"

Mendengar sindiran si ayah, amarah Hayla kembali marak. Wajahnya terasa bahang. Mahu meletup saja hatinya yang sudah panas bagai berada di kawah api ini. Mana mungkin dia membiarkan Datuk Sulaiman mempertahankan Hanzalah.

"Daddy! Dia langgar anak daddy..."

"Ya. Daddy tahu! Tapi, dia dah minta maaf sebab tak sengaja langgar Hayla. Sudahlah. Maafkan dia. Satu lagi, Hayla kena tahu kesihatan daddy makin merosot. Daddy dah tak kuat nak berjalan jauh macam dulu. Madrasah dia orang tu masuk dalam kawasan perkampungan. Sebab tulah Ustaz Hanzalah datang ke rumah kita. Kalau boleh, daddy nak Hayla ikut kelas ustaz sekali."

Penjelasan daripada Datuk Sulaiman benar-benar membuatkan Hayla terkelu. Wajahnya diraup kasar. Langkah terus diatur masuk ke dalam kamar. Tak betah lagi berhadapan dengan si ayah tika Datuk Sulaiman mula membangkitkan tentang kondisi kesihatannya. Sesekali, kedengaran lagi batuk si ayah yang kedengaran kronik.

Hayla jadi bingung. Dia tahu, keadaan ayahnya semakin kritikal. Dia perasan pekerja di rumahnya ini juga semakin berkurangan. Hanya tinggal Mak Jah yang masih bertahan. Entah mengapa, timbul lagi rasa sangsi di jiwa Hayla tentang kondisi keluarganya.

25 vote 5 komen saya update bab baru ✨️

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 10 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TAUFIQ HANZALAH: PENDOSA TANPA NOKTAH (EBOOK)Where stories live. Discover now