Paip sinki ditutup. Ibu baru selesai mencuci pinggan selepas menjamah sedikit buah bersama roti. Wanita itu duduk seketika di kerusi melepaskan penat. Lenguh benar seluruh tubuhnya. Berbaring pun sakit, duduk pun sakit.
Seminggu sahaja. Dia harus bertahan seminggu sahaja lagi, sebelum anaknya seorang ini turun ke bumi dan lebarkan sayapnya.
"Semua, keluar! Keluar sekarang, kita diserang!"
Suasana pecah dengan pekikan seorang pemuda Arnasya di luar rumah. Daripada seorang, datang lagi tiga orang berteriak memberi amaran yang serupa. Lantas jeritan dan tangisan ketakutan membahana. Jambatan mula bergegar apabila semua orang berlarian keluar menyelamatkan diri.
"Pengawal kota itu datang lagikah? Baru Eyzek bayar semalam rasanya?" Ibu menatap ke luar tingkap.
Saliran hitam pekat di petempatan itu berdebur ditimpa penduduk Arnasya yang cacat sayapnya. Beberapa titian roboh dipijak segerombolan manusia yang panik. Ramai yang mengepak laksana sekawan burung yang bertempiaran pergi. Alam yang dinodai hitam mula disucikan dengan secercah cahaya sayap mereka, membiarkan bulu pelepah berjatuhan memenuhi jalanan Empayar Yawania.
Jauh di hujung angkasa, seseorang tenang mengepakkan sayapnya dengan anggun. Tajam netra lembayungnya memantulkan sayap-sayap putih yang terlihat ganjil di antara rona hitam. Perasaan aneh semakin melonjak tatkala manusia-manusia Arnasya itu berlanggaran.
"Makhluk jijik."
Tangannya dihala ke langit sewaktu kelibat itu menyeringai. "Masih berani terbang selepas dibuang dari langit?"
Dengan sekali petikan, bunyi libasan dahsyat menggegarkan alam. Rumah bergoncang hebat. Nyaring. Ibu berpaut pada birai tingkap seraya menekup sebelah telinga. Sakit tubuhnya semakin menendang. Aura berat bergelora di setiap hembusan, menegakkan bulu roma. Kebingungan menguasai diri apabila dunia ditimpa hening.
"Itu... itu bunyi apa?" soal Ibu cemas.
Sebaik sahaja pintu dikuak luas, tubuh wanita tua itu terkaku. Anak matanya mengecil.
Sebilah rona merah berdarah terbentang luas di angkasa, membelah langit sehingga menghancurkan binaan kota Yawania yang menjulang tinggi. Tiada bulu pelepah yang berjatuhan melainkan air hujan. Orang Yawania dan Arnasya berteriak nyaring, ngeri melihat titisan hujan berwarna merah pekat.
Ibu jatuh terduduk. Kakinya longgar. Matanya masih terbuntang, melihat cebisan daging yang terhempas ke tanah. Entah mengapa, suara Ibu tidak mahu terluah. Tersekat.
Malapetaka apakah yang menimpa mereka lagi?
Bunyi derapan kasut besi menyapa. Tenang langkahnya, menimbulkan kecurigaan Ibu. Juga, bunyi itu datangnya dari--
"Cantik bunga di atas ini."
Wanita itu terjerit apabila seseorang sudah berdiri di belakang. Lekas-lekas dia berundur sehingga menyentuh dinding.
"Siapa... siapa engkau!" Ibu memegang penyapu sebagai senjata.
Seorang pemuda bertelinga runcing berdiri berdekatan jendela, menyentuh kelopak bunga yang basah dengan sisa hujan merah. Seluruh tubuhnya berzirah perak, dengan lilitan kain demi kain gandaria gelap yang menjadi jubah. Rantai perak tergantung di antara kain labuh, bersama pedang dan pisau kecil yang tersisip di pinggang. Mantel gah tergantung di sebelah bahu, terbakar dengan warna kematian.
"Tiada terima kasih?" Pemuda itu mengalihkan pandangan ke arah Ibu. "Aku yang tolong siramkan tanaman engkau dengan hujan."
Lelaki itu sempat tertawa kecil, menimbulkan gentar dalam hati Ibu. Ayah yang hanya terbaring sekadar mendengar, namun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya air hangat yang mula berkumpul benteng mata.
YOU ARE READING
Pembunuh Empayar [SEDANG DIEDIT]
Fantasia15+ AMARAN PENCETUS: Berkemungkinan terdapat adegan yang kurang menyenangkan atau mengganggu pembaca kerana ada kekerasan, sedikit bahasa kasar, kematian dan fikiran untuk membunuh diri. Selepas bangsa Arnasya dibuang daripada kerajaan awangan, mere...