Tujuh

39 3 22
                                    

Aku penat.

Kaki Eyzek hampir patah mendaki tangga yang bertingkat-tingkat. Daripada dinding, siling, dan keseluruhan kawasan lorong ini, semuanya dibina daripada akar pohon yang berselirat. Kuntuman bunga mekar di beberapa tempat, namun haruman ringan itu ditenggelami aroma hanyir yang menyengat.

Natasya dan Aiden senyap berjalan di hadapan. Mereka bertiga, juga mangsa lain terpaksa berbaris mengikuti tentera Syalis itu. Bunyi pekikan Syalis sayup-sayup didengari di bawah, juga di tingkat atas. Libasan cota, pukulan, dan segala bunyi yang Eyzek harap tidak perlu didengari terus memekik. Sakit.

"Hoi, binatang! Aku kata menangis kuat lagi! Kau menjerit sekarang!" jerkahan seorang Syalis dari bawah menggaung-gaung diiringi esakan seorang wanita tua. Eyzek memejam erat sambil mengetap bibir. Tangannya yang digari digenggam erat, terluka, lalu berasap nipis.

Selepas melalui tangga demi tangga, lorong demi lorong dan laluan demi laluan--Eyzek mengeluh betapa besarnya penjara ini--mereka tiba di sebuah kawasan bersiling rendah. Hapak. Sel penjara berjujukan, dengan obor api yang bercahaya malap.

Tentera Syalis itu berkata tegas, "Kalian tidur di sini!"

Sebuah sel dihuni sepuluh orang sekali gus. Eyzek berkerut, tidak selesa dengan ruang yang sempit. Dia hanya mampu bersila, tidak mampu melunjur kaki atau berbaring.

Obor bercahaya putih, tidak membakar bangunan akar yang menjadi rumah baharu mereka. Tiada tingkap. Lemas. Ditambah lagi aroma manusia yang masam. Orang-orang Syalis pula masih di luar, teruja menendang tahanan yang lewat.

Tidak guna!

Eyzek tertunduk dan meraup rambut kasar. Sedari tadi dia berusaha mencari kelibat Kianna. Tetapi, suara adindanya seorang itupun tidak kedengaran.

Kenapa aku mesti di sini?

Dada Eyzek diserang sesak. Dunia seluas langit dan lautan berubah seperti bilik hukuman yang membungkam.

Kianna masih hidupkah?

Kianna tercari-cari akukah?

Kianna menangiskah sekarang?

Mata Eyzek mula bergenang. Dia memeluk kaki sendiri, dihimpit rasa gerun yang ngeri. Setitis. Dua titis. Beberapa titik air matanya jatuh di atas seluar, sebelum Eyzek melepaskan esakan perlahan. Tangannya dikepal menutup mulut, tidak mahu tangisan didengari Syalis.

Bagaimana jika Kianna terseksa seperti aku?

. . .

Rutin nerakanya telah bermula.

Setiap awal hari--Eyzek tidak mengenali waktu pagi atau petang kerana langit sentiasa gelap--mereka dipaksa bangun untuk ke kelas di lapangan. Setiap kumpulan yang dibahagikan akan diajar oleh guru-guru Syalis yang bengis. Tiada Yawania, Arnasya, atau mana-mana bahasa di dunia ini melainkan Meweva.

"Yivani."

Sudah tentu, Eyzeklah yang paling gemar dipanggil.

Tidak. Nama Eyzek sudah tidak wujud, melainkan Yivani.

"Baca perenggan kelima."

Guru Syalisnya sentiasa meleretkan senyuman aneh, merenung parut di pipi kiri Yivani. Memuji seorang seniman yang berjaya meninggalkan karya di wajah boneka terbuang. Yivani yang bersila lekas-lekas berdiri sebelum menyedari kakinya sedikit menggigil.

Yivani membaca perenggan di dalam buku yang diikat dengan tali, "Ayet jekhaaz mastukhav akva mer..."

Pembunuh Empayar [SEDANG DIEDIT]Where stories live. Discover now