Teriakan nyaring menyentakkan Eyzek.
Kanak-kanak itu berdiri di atas tanah kematian. Kaku. Api marak melahap setiap rumah kayu kecil tanpa ampun. Tiada warna lain selain merah, putih, kelabu dan hitam.
Eyzek melangkah longlai melepasi pertempatan kecil yang hancur. Asap tebal menyesakkan nafas. Jantung berdegup kencang. Panik menguasai diri.
"Eyzek!"
Teriakan seseorang menyedarkan budak itu. Apabila dia menoleh, seseorang berdiri di antara rona jingga yang menyala-nyala. Mata kanak-kanak perempuan itu terbeliak.
"Belakang engkau!"
Kurang sesaat, sebilah pedang melibas sebelah sayap di belakang Eyzek. Rasa perit serta-merta menerjah. Eyzek terjerit penuh seksa. Percikan merah jatuh ke tanah. Sayapnya terjatuh. Sebelah rona biru matanya berubah gelap.
Kanak-kanak perempuan itu segera merempuh seorang lelaki berzirah perak yang menyerang Eyzek. Sayap lelaki itu berbeza, sewarna emas-seperti rona mata dan rambutnya.
"Pergi sekarang, Eyzek!" teriak sahabatnya.
Eyzek terundur beberapa tapak. Berbanding kesakitan belakang yang membuak-buak, ketakutan luar biasa menguasai diri. Air matanya mengalir deras. Gadis kecil itu mendakap erat tangan tentera itu sekuat hati. Bersusah-payah melindungi Eyzek. "Aku kata pergi!"
Eyzek segera berlari menyelamatkan diri. Kaki kecilnya luka terpijak serpihan kayu dan batu. Nafasnya tercungap-cungap. Sesekali letupan rumah nyaris membakar diri.
"Ah!" Eyzek terjatuh.
Sepasang tangan menangkap tubuh kecil Eyzek. Erat. Hangat, malah lebih lembut daripada lidah api yang kejam. Air mata Eyzek laju disapu angin yang menderu.
Dia tidak jatuh menimpa sisa-sisa yang tajam, tetapi jatuh ke dalam hamparan langit yang luas. Ibu bapanya mendakap Eyzek, membiarkan sayap-sayap mereka dilebarkan. Bulu-bulu pelepah putih gugur seperti salji di musim sejuk.
Sebelah mata Eyzek bersinar-sinar, menatap langit malam yang dihiasi gugusan bintang. Manusia-manusia Arnasya saling melebarkan sayap putih yang ternoda merah. Indah, dicampur bersama rona jingga yang mencelah dari sebuah kerajaan awangan. Bintang-bintang yang hidup mula menjerit kesakitan dilahap cahaya api, lalu menghilang ditenggelami ribut panas.
Aneh.
Anak mata Eyzek semakin membesar, memantulkan api yang rakus melahap segala-galanya.
Malam ini...
Eyzek mencelik luas. Remaja itu terjaga daripada lena, terbaring di atas bumbung rumah. Mimpi luar biasanya lenyap bagai ditiup angin. Sebelah sayapnya mendakap diri sendiri seperti gebar hangat. Tiada lagi pelukan senja, melainkan renungan dingin langit yang bertatahkan gugusan bintang panas.
Remaja itu tidak berkelip, terpaku menatap angkasa nan luas.
"Indahnya."
YOU ARE READING
Pembunuh Empayar [SEDANG DIEDIT]
Fantasy15+ AMARAN PENCETUS: Berkemungkinan terdapat adegan yang kurang menyenangkan atau mengganggu pembaca kerana ada kekerasan, sedikit bahasa kasar, kematian dan fikiran untuk membunuh diri. Selepas bangsa Arnasya dibuang daripada kerajaan awangan, mere...