Bunyi dengkuran halus di sebelahnya buat Rathena terjaga. Pandangan yang kabur perlahan-lahan berubah jelas. Terus tidak berkelip matanya apabila melihat naga kecil itu kini sedang nyenyak tidur di sebelahnya. Tubuh dilingkarkan dengan ekor panjangnya menjadikan ia tidur dalam posisi tubuh yang berbentuk bulat."Selamat pagi, Evan." Pagi-pagi lagi sudah rasa teruja dengan kecomelan makhluk kecil itu.
Evander, nama yang diberikan oleh Rathena sendiri. Entah daripada mana nama itu tiba-tiba saja terlintas di akal fikiran. Tanpa berfikir dua kali, Evander langsung menjadi nama buat si kecil. Tuan badan punya nama pun melompat gembira, setuju apabila diberi nama Evander.
Kalau diikutkan, sudah tiga hari Evander menetap bersama dua gadis itu. Biarpun sudah acap kali Rathena membiarkan pintu balkoni terbuka luas, naga itu masih tidak mahu keluar dari bilik mereka. Nasib menyebelahi mereka kerana ketua dayang istana tidak melakukan sebarang pemeriksaan sepanjang Evander berteduh di sini.
Lembut jarinya mengusap dahi si naga. Sepanjang mereka bersama, sudah banyak perkara mereka lakukan. Tidak kira siang mahupun malam, tidak pernah sekali pun Rathena abaikan kewujudan Evander.
Dengkuran kecil Evander buat Rathena duduk daripada perbaringannya. Kakinya bersila di depan Evander, menunggu si kecil terjaga sepenuhnya. Sesaat matanya tercelik, Rathena melambai kecil.
"Morning, Evan." Dahi si kecil dia cium sekilas. Terus Evander menguap luas.
Nuca di katil sebelah sekadar memerhati. Melihat keletah Evander buat dia tertanya-tanya akan perangai sebenar makhluk yang bergelar Roulli. Jika benar Roulli seringkali membawa binasa, mengapa Roulli di depannya ini kelihatan sebaliknya? Sekali dengan pakej terlajak comel lagi.
Evander di matanya tidak ubah seperti manusia yang tidak berupaya untuk bercakap. Setiap apa yang keluar dari mulut Rathena, pasti naga itu akan akur. Faham setiap butir bicara Rathena. Tetapi, disebabkan Evander masih dalam fizikal naganya, dia hanya mampu membalas dengan bahasa tubuh.
Mengangguk apabila bersetuju. Menggeleng apabila sebaliknya. Apabila terlalu gembira, pasti dia melompat-lompat setempat. Tiba waktu makan, Evander akan berdiri lama-lama di sebelah bekas makanannya.
Keluhan kecil yang terbit dari mulut Nuca membuatkan Rathena menoleh. "Kenapa, Nuca?" Tangannya tidak lepas daripada memanjai Evander, menggaru leher si manja.
Nuca sekadar menggeleng. Dia risaukan keadaan Rathena. Runsing jika keberadaan Evander diketahui ketua dayang mereka.
Rathena memilih untuk tidak bertanya lagi. Tahu apa yang berada di benak fikiran sahabatnya, pasti ada kena-mengena dengan Evander. Malas ingin berlengah, terus Evander dia dukung lalu dibawa ke kamar mandi.
Sebuah besen dicapai lalu diisi dengan air suam untuk dijadikan air mandian Evander. Menjaga kebersihan dan keselamatan Evander kini telah menjadi tanggungjawabnya. Berikan mandian hangat di pagi hari ini juga sudah menjadi rutin barunya.
Setelah selesai membersihkan Evander, dia bawa pula makanan lebihan sarapannya. Sanggup Rathena makan roti sahaja tanpa sebarang makanan sampingan semata-mata ingin memenuhkan perut Evan. Nuca pun tidak mahu kata apa-apa memandangkan Rathena pun bukannya jenis makan banyak.
Tengok badan pun kurus sekeping saja.
SEPAGI Nuca hanya dengar bunyi gelak ketawa Rathena dari arah taman bunga di belakang istana. Dia yang baru selesai membersihkan kamar mandi Permaisuri Endola memanjangkan leher ke luar jendela. Dari atas dia lihat Rathena dan Evander sedang berlari-lari berkejaran. Seorang berlari dengan kaki ayam, seekor lagi berlari bersama penyiram pokok yang digonggong.
YOU ARE READING
Sumpahan Merong Aswad [ PBAKL 2024 ]
FantasyBAKAL TERBIT PBAKL 2024 Empat lelaki yang mampu menukar fizikalnya menjadi merong dan seorang ahli sihir kolot. Bagi bentala benua Delara, pertemuan mereka berlima adalah detik permulaan bagi kehancuran manusia. Tetapi, tiada seorang pun tahu bahawa...