Barisan tentera turut terkejut melihat teman sekerjanya tiba-tiba berubah menjadi seorang gadis yang berpakaian dayang istana.Permaisuri Delara turut berpaling dengan wajah yang ketat. Redup matanya berubah tajam apabila Rathena dilihatnya sekadar dayang istana tetapi berani menonjolkan diri di depannya. Untuk gadis biasa seperti Rathena tidak menunduk kepadanya, sungguh membuatkan dia berasa murka.
"Apa kamu sedang berbicara dengan beta?" Jarum itu diletakkan semula ke dalam beg kotak. Perhatiannya kini hanya fokus pada Rathena seorang. Susuk tubuh kecil itu diperhati dari atas ke bawah. Biasa saja. Apa yang gadis itu ada sampaikan dia berani mempersoal tindakannya?
Evander mula mendengus garang, cuba untuk memberi amaran kepada wanita itu daripada dekati Rathena. Semakin dia mara ke hadapan, semakin kuat lehernya dijerut supaya berundur.
Rathena tidak kurang hebatnya. Jika orang lain di tempatnya pasti sudah menggigil ketakutan. Wanita yang kini dia berhadapan yakni bukanlah wanita biasa. Jika tadi dia terdengar perbualan antara Permaisuri Endola bersama tetamunya, Raja Delara, kini Rathena sedang berhadapan dengan si isterinya pula, Permaisuri Delara... ketua kepada semua kehancuran Rataka.
Kalau bukan kerana wanita ini, Rataka sudah pasti masih wujud. Tetapi disebabkan wanita gila kuasa ini, Raja Delara dihasut berkali-kali sehingga akhirnya baginda bersetuju untuk menyingkirkan Rataka dari benua Delara.
"Kau tak punya hak untuk ambil tugas tuhan. Roulli itu berhak untuk bernafas di muka bumi ini selagi dia tak menimbulkan sebarang kekacauan, Tania." Langsung, nama permaisuri itu disebut tanpa gentar oleh Rathena.
Anggota tentera yang lain sudah mengacu tombak ke arah Rathena lebih dekat. Melihat keberanian Rathena yang semudah itu menyebut nama permaisuri mereka, seakan memberi ancaman kepada permaisuri mereka.
Permaisuri Delara, atau pada namanya Tania, hanya senyum nipis. Tangannya memeluk tubuh lalu Rathena dia dekati lagi. Sehinggalah tinggal satu meter jarak di antara mereka, Rathena ditenung dengan wajah yang jelik. Tidak pernah sekali dia ditemukan dengan seseorang yang berani mati seperti Rathena sebelum ini. Jujur dia akui, dia agak tercuit dengan personaliti Rathena, tetapi itu hanya seketika sehinggalah dia perasan ada sesuatu yang tidak kena pada gadis itu.
Dan matanya jatuh pada loket batu hitam yang tergantung pada batang leher Rathena. Satu senyuman penuh makna terlukis di bibir Tania.
"So, you are the daughter of Odalia?"
Tepat tekaan Tania, buatkan Rathena menarik senyuman tajam. Terhibur. "Siapa? Odalia?" Dia ketawa sinis. "Tak ku sangka kau sebenarnya kenal Odalia, ahli sihir yang tersohor di bumi Endola? Bukankah namanya sudah terkambus dek fitnah dan momokan yang ditabur oleh anak perempuannya yang pertama?"
Tania ketap gigi kegeraman. Rasa maruahnya diinjak-injak di khalayak tenteranya sendiri apabila soalannya dijawab dengan soalan bodoh Rathena. Tanpa amaran, leher Rathena dilelarnya lalu dicekik. Kuku tajamnya sekali gus menusuk ke dalam kulit putih Rathena.
"Kau... jangan nak mempermainkan aku." Kuat dia tarik Rathena dekat dengannya. "Kau juga tahu apa aku boleh buat, Rathena."
Dalam menahan sakit, Rathena masih terhibur dengan kelakuan Tania. Bibirnya semakin lebar dengan sengihan. Tolak tepi rasa sakit di lehernya, dia sudah lama menunggu saat ini untuk berhadapan dengan isteri muda Raja Delara.
"Kedudukan kau..." Dalam peritnya, Rathena masih menuang minyak ke atas api. "Takkan kekal lama."
Mata Tania semakin mencerlung luas. "Lebih baik kau diam..."
"Kau masih sebahagian daripada Endola..." Gelak tawa Rathena tersekat-sekat. "Kau masih kakak kandung aku. Anak perempuan pertama Odalia."
Pengakuan Rathena ternyata didengari anggota tentera yang lain sehinggakan ada di antara mereka yang mendesah terkejut. Tangan Tania di leher Rathena kian menggeleter hebat. Dahi juga sudah mula basah dengan renik peluh.
YOU ARE READING
Sumpahan Merong Aswad [ PBAKL 2024 ]
FantasíaBAKAL TERBIT PBAKL 2024 Empat lelaki yang mampu menukar fizikalnya menjadi merong dan seorang ahli sihir kolot. Bagi bentala benua Delara, pertemuan mereka berlima adalah detik permulaan bagi kehancuran manusia. Tetapi, tiada seorang pun tahu bahawa...