Bab 2 : 30 Hari Yang Selamanya

93 3 2
                                    

Bab 2
​Turun saja ke ruang makan, mood Dato Haimi serta merta merundum. Pagi-pagi tengok muka Qaula dan Tarmidzi, hati kian berbuku dengan perasaan marah. Iyalah, pertengkaran tiga beranak itu malam tadi benar-benar membuatkan dia fedup. Memekik melolong macam manusia tak bertamadun. Sampai ke tingkat atas dia boleh dengar, nak tidur pun tak senang!

Semalam dia sudah memberi amaran kepada Qaula supaya tidak membenarkan Tiyara keluar dari rumah. Tapi cucunya tetap terlepas juga. Tetap merambu ke kelab malam sampai terpaksa diturut oleh Saad. Kalau setakat nak release tension dengan menari dan bertemu kawan-kawan, dia tak kesah sangat. Dia pun pernah muda juga.

Ini sampai balik mabuk-mabuk, berpeleseran dengan entah mana jantan, macam mana dia tak marah?

"Pa, nak bihun goreng tak? Kak Nemah buat pedas ni macam favorite papa." Teragak-agak Puan Qaula bertanya. Hujung jari sudah menyentuh mangkuk berisi bihun goreng di atas meja, tapi tak berani nak disua kepada si ayah.

Dari raut wajah masam mencuka bapanya, Puan Qaula tahu lelaki tua itu tengah bad mood. Memang dia dan Tarmidzi agak risau nak menghadap papa pagi ini. Punyalah bising mereka bertiga bertengkar malam tadi, takkanlah papa tak terdengar.

"Macam mana Tiyara boleh terlepas keluar?" Soalan dibalas pula dengan soalan oleh Dato Haimi. Tanpa mempedulikan reaksi anak dan menantunya, dia terus mencapai sekeping roti. Bekas kaca berisi butter turut diambil sekali.

"Sorry, pa. Qaula tak perasan Tiyara keluar senyap-senyap masa kitorang tengah solat Isyak. Qaula dah sorok kunci kereta, tapi Tiyara booked Grabcar pergi kelab tu." Jawab Puan Qaula tanpa berselindung. Menyedari anak mata papa bergerak kepadanya, cepat-cepat dia menunduk.

Kaki kanannya di bawah meja menendang perlahan kaki Tarmidzi yang duduk di kerusi sebelah. Memberi isyarat supaya suaminya turut masuk campur dalam hal ini. Takkan dia seorang saja nak menghadap bebelan papa? Tarmidzi kemudian menoleh sedikit dan memberi isyarat mata. Meminta agar dia bertenang dan tidak terlalu gementar menguruskan situasi.

"Huh, anak sorang pun tak boleh nak jaga."

Komen berbisa bapanya membuatkan selera Puan Qaula lenyap entah ke mana. Tapi apa boleh buat, memang dah begini sikap papa. Orangnya sangat tegas dan outspoken. Papa bukan jenis nak cakap berlapik atau berkias-kias. Memang sound direct saja tanpa mempedulikan perasaannya dan Tarmidzi.

"Saya dah bagi warning pada Tiyara semalam, pa. Harap-harap dia takutlah nak buat perangai lagi." Tuan Tarmidzi mula bersuara. Persis memberi jaminan mudah. Dengan harapan bapa mertuanya akan berhenti menyebut tentang mereka yang tak reti menjaga anak.

Pagi-pagi kena bebel, bukan itu cara Tarmidzi ingin memulakan harinya yang sibuk. Dia cuma mahu menikmati sarapan dengan tenang dan kenyang di rumah. Nanti sekejap lagi dah nak kena menghadap perangai student-student dekat bilik kuliah pula. Bukan di sekeliling Tiyara saja hidup dan dunianya perlu berputar. Banyak lagi tanggungjawab lain tergalas di bahu.

​"Sebab tu dari dulu papa dah cakap, jangan bagi Tiyara sambung belajar dekat UK." Dato Haimi masih enggan menamatkan perbualan tentang cucunya. "Tengoklah sekarang, dah balik sini dia bawak perangai Barat dia tu. Kamu ingat papa tak malu ke bila orang asyik mengata pasal cucu papa?"

​Puan Qaula mengeluh dalam diam. Dia faham maksud bapanya. Sebagai salah seorang businessman yang berpengaruh di Malaysia, banyak mata memerhati tindak tanduk keluarga mereka. Bukan sekali dua foto-foto Tiyara yang galak berhibur di kelab malam terdedah di internet, sudah banyak kali. Jadi bahan kutukan orang free-free saja.

Sebenarnya dia dan Tarmidzi tak pernah menyokong hasrat Tiyara untuk menyambung pelajaran di UK. Bermati-matian dia dah membantah. Tapi bila Tiyara mengugut nak lari dari rumah, nak kerja dekat kelab malam, mulalah dia naik risau. Cakap budak seorang itu bukan cakap kosong, memang Tiyara akan buat betul-betul.

​Dan sebab tak mahu masa depan anak mereka semakin gelap, dia terpaksa melepaskan Tiyara pergi. Siapa tahu sikap Tiyara mungkin akan berubah bila hidup berdikari dan jauh dari keluarga sendiri. Tapi itulah, buat menghabiskan 'beras' saja. Harapan nak tengok Tiyara menggenggam segulung ijazah lebur bak ketulan ais di tengah padang pasir.

Sebab apa? Sebab Tiyara bukannya peduli pun tentang pengajiannya. Budak seorang itu lebih pentingkan keseronokan dan kebebasan semata. Memang tak ingin pun nak belajar rajin-rajin!

Bila dah asyik repeat semester saja, sudahnya dia dan Tarmidzi give up. Duit dah banyak dilabur, tapi Tiyara tetap gagal untuk fokus dengan kuliahnya. Apa lagi, mereka terus mendesak dan memaksa Tiyara balik ke Malaysia. Duduk dekat sana pun makin hanyut dan tak jadi orang, buat apa?

Awalnya Tiyara berdegil dan menyatakan keinginan untuk terus menetap di New Castle. Jadi dia terpaksa mengugut dan berhenti menghantar wang belanja buat Tiyara. Hah, baru Tiyara reti nak pack kain baju dan balik ke tempat asal semula.

"Anak kamu tu orang Islam, tapi perangai liar dia macam dah tak boleh dibentuk. Macam orang tak ada pegangan agama." Rungutan Dato Haimi kedengaran lagi. Walaupun dia sedang mengutuk dan mengata tentang Tiyara, namun itulah satu-satunya cucu yang dia ada di dunia ini. Malah dia cukup menyayangi Tiyara sejak gadis cantik itu lahir ke dunia.

Namun semakin menginjak dewasa, Tiyara seolah-olah sudah berpaling jauh dari mereka. Membawa arah yang berbeza dan bagaikan tidak lagi ingin melangkah di belakangnya. Mereka sekeluarga, tapi masih terasa seperti orang asing yang bernafas di bawah bumbung yang sama.

Sejak balik ke Malaysia dua bulan lalu, tak sampai sepuluh kali Dato Haimi sempat makan semeja bersama Tiyara. Itu pun Tiyara seperti berat mulut saja nak berbual-bual dengannya. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Nak tengok Tiyara bermesra atau bermanja seperti dulu, memang tak merasalah.

Bab berpakaian pula, lagilah dia sakit mata dan kepala. Kemewahan dan kekayaan mereka bagaikan tidak mampu untuk membeli pakaian yang cukup kain. Kalau tak terdedah di atas, terdedah pula di bahagian bawah. Kadang-kadang atas dan bawah tertayang percuma. Astaghfirullahalazim. Risau sungguh hati tuanya.

Dengan penampilan daring begitu, sukar untuk Dato Haimi mengagak jika Tiyara masih 'putih bersih'. Dan dia sangat-sangat kecewa kalau pergaulan bebas Tiyara selama ini sudah meragut kesucian cucunya. Budak zaman sekarang, semua itu bagaikan dah tak bernilai lagi. Mudah sangat 'disedekah' kepada lelaki.

"Kamu bagitahu Tiyara, ini last warning dari papa. Kalau dia buat perangai lagi, papa takkan teragak-agak untuk sekat semua kebebasan dan keseronokan dia. Jangan ingat papa tak boleh buat semua tu. Oh, I really can."

Perlahan Puan Qaula menganggukkan kepala. Mengerti kerana sebahagian besar wang yang dibelanjakan untuk Tiyara datangnya dari akaun papa sendiri.
"Okay, pa. Nanti Qaula bagitahu Tiyara."

"Umur dia dah dua puluh enam tahun, dah boleh mula belajar cari duit sendiri. Sampai bila nak mengharapkan kita saja? Kalau dia nak, dia boleh aje kerja dekat office papa. Mula dari bawah, jadi clerk dulu."

"Qaula ada cakap dengan Tiyara hari tu, tapi entahlah. Dia macam tak berminat aje, pa."

"Kita dah tak boleh pandang ringan perangai Tiyara tu. Kalau dibiarkan, makin lama makin jauh tersesat. From now on, kita kena lebih bertegas dengan dia. Jangan semua benda nak kena ikut telunjuk dia saja."

Tarmidzi mengangguk dengan pendapat bapa mertuanya. Mungkin kesilapan itu berpunca daripada dia dan Qaula juga. Kerana sewaktu Tiyara kecil, mereka berdua terlalu sibuk mengejar karier masing-masing. Berlumba-lumba nak memanjat kedudukan yang lebih tinggi. Sampai anak di rumah terabai diasuh nanny.

"Baik, pa. Saya akan cuba lebih bertegas dengan Tiyara lepas ni."
"Papa rasa korang berdua dah tak boleh handle Tiyara. Biar papa aje uruskan dengan cara papa sendiri."

Puan Qaula dan Tarmidzi saling berpandangan. Kemudian mereka mencari semula wajah si ayah.
"Err, papa nak uruskan macam mana?"

"Tahulah papa nak buat apa nanti." Jawab Dato Haimi bersahaja. Dan ketika mengunyah perlahan ketulan roti di dalam mulut, seraut wajah itu semakin jelas terlayar di ruang mata. Seulas nama yang berpadanan dengan empunya diri turut terdetik di hati.
Fazrul.

Ebook 30 Hari Yang Selamanya  (Ready File)Where stories live. Discover now