Bab 5 : 30 Hari Yang Selamanya

46 0 0
                                    


Bab 5

"Siapa nak datang hari ni, ayah?" Zayyad bertanya dengan riak kehairanan. Pelik juga bila tiba-tiba ayah meminta dia segera ikut balik ke rumah. Padahal kerja di kilang masih banyak lagi. Malah pekerja-pekerja mereka juga disuruh pulang lebih awal. Selama ini memang jarang sangatlah ayah menutup kilang jika bukan kerana hal kecemasan.

"Dato Haimi."

"Dato Haimi? Dato Haimi kawan arwah atok dulu ke?" Sambil mengeluarkan beberapa biji cawan dari kabinet, sekali lagi Zayyad bertanya untuk kepastian.

"Iya."

Jawapan ringkas bapanya memberi petanda yang ayah keberatan untuk bercerita dengan lebih lanjut. Jadi Zayyad pun malaslah nak bertanya lebih-lebih. Cuma dia hairan juga kenapa lelaki yang cukup terkenal itu datang mencemar duli ke kediaman mereka.

Sebenarnya kampung ini pernah menjadi tempat Dato Haimi membesar. Dan seingatnya selepas arwah atok meninggal dunia lebih dua belas tahun lalu, Dato Haimi tidak lagi datang menjejak kaki ke mari. Tak pastilah sebab dah tak ada saudara mara, atau terlalu sibuk menguruskan perniagaan di Kuala Lumpur.

Cuma kesugulan si ayah membuatkan kepala Zayyad dipenuhi tanda tanya. Suspicious. Tak sedap hati pun iya juga. Macam ada sesuatu yang tak kena saja. Risau juga dia kalau-kalau Dato Haimi datang sebab nak menuntut hutang lama. Siapa tahu arwah atok belum melunaskan 'hutang' diantara mereka berdua.

"Yad."
"Ya, ayah?"

"Biar ayah bancuhkan kopi tu. Kamu pergi beli pisang goreng dekat kedai Mah sekejap. Kalau ada kuih koci, kamu belikan sekali dalam lima ringgit."

"Okay, ayah." Tanpa banyak soal, Zayyad terus meninggalkan ruang dapur. Kebetulan hari ini Afifah dan Afiah balik lewat petang kerana menghadiri kelas tambahan. Jadi dia masih ada banyak masa terluang untuk membantu ayah membuat persediaan bagi menyambut kedatangan tetamu mereka.

Dengan menunggang motorsikal naked bike miliknya, Zayyad tiba di gerai Kak Mah lima minit kemudian. Berbunga-bunga seluruh dada tatkala terpandangkan kelibat Humairah. Selepas selesai bertugas sebagai guru tadika, Humairah membantu pula kakaknya menjual pisang goreng di depan rumah. Rajin sungguh buah hati dia tu bekerja.

Yang Humairah pula, awal-awal lagi dia sudah perasan kedatangan abang Zayyad. Bunyi enjin motorsikal berkuasa tinggi milik lelaki itu dari jauh lagi sudah boleh dicam. Maklumlah cuma abang Zayyad seorang saja yang memiliki motorsikal hebat begitu dekat kampung mereka.

"Eh, tak cakap pun nak datang? Terkejut Maira nampak abang." Luahnya dengan muka tertunduk sedikit. Sentiasa segan dan malu untuk bertentang mata dengan kekasih hatinya. Setiap pertemuan bagaikan pertemuan pertama. Sentiasa membuatkan jantungnya berdebar-debar. Padahal sudah lebih enam tahun mereka menjalin hubungan cinta.

"Saja nak buat surprised." Balas Zayyad sambil tersenyum mesra. Sempat dia bertegur sapa dengan Kak Mah yang sedang sibuk menggoreng pisang di belakang sana.

"Abang dari kilang ke?"

"Taklah, abang dari rumah. Hari ni kilang tutup awal."

"Eh, pakcik tak sihat ke? Jarang Maira dengar pakcik tutup awal kilang tu."

"Taklah, ayah abang okay aje. Sihat walafiat."

Humairah tersenyum seraya mengangguk beberapa kali. Sempat matanya mengamati penampilan ringkas abang Zayyad. Simple saja mengenakan t-shirt putih dan jean biru gelap. Cuma itulah, kenapa masih nampak sangat menarik ya? Mungkin sebab rupa abang Zayyad terlebih handsome kut. Hehe! Beruntung dia.

"Maira, tolong bungkuskan abang pisang goreng dua belas ringgit. Kuih koci ni Maira bagi sepuluh ringgit." Pinta Zayyad seraya menunjuk kepada talam berbentuk bulat yang berisi longgokan pisang goreng dan kuih koci. Selain itu ada juga talam berisi keledek goreng, kelopok lekor dan bermacam-macam jenis kuih  muih. Semua tersusun rapi di atas meja jualan tersebut.

"Uish, banyaknya abang beli. Siapa nak makan semua ni?" Tanya Humairah lurus. Walaupun begitu, tangannya mula lincah bergerak. Mengambil plastik dan pengepit besi. Satu per satu pisang goreng dimasukkan ke dalam plastik mengikut jumlah yang dibeli.

"Actually ada tetamu nak datang rumah abang sekejap lagi."
"Tetamu? Sedara abang ke?"
"Eh, bukanlah. Dato Haimi yang nak datang."
"Dato Haimi?"
"Aah."

"Macam dah lama aje dia tak balik ke kampung kita ni. Mak Nemah ikut sekali ke?"
"Mak Nemah?" Zayyad mengerutkan kening saat pandangannya dan Humairah saling bertembung.

"Oh, abang tak kenal Mak Nemah ya? Dia tu cousin arwah emak Maira. Dah berpuluh-puluh tahun dah dia kerja dengan Dato Haimi dekat KL tu. Jadi pembantu rumah."

Kepala Zayyad terangguk-angguk tanda mengerti. Memang dia tak pernah mendengar nama Mak Nemah sebelum ini. Boleh jadi wanita itu sudah bekerja dengan Dato Haimi ketika dia masih kecil lagi.

"Kalau macam tu, Maira bungkuskan sekali karipap daging ni. FOC, Maira belanja tau."

Zayyad tergelak kecil. Nak menolak keikhlasan Humairah, macam tak elok pula.
"Thanks, Maira. Buat susah-susah aje."

"Tak susahlah, abang. Bukan Maira kena kelim karipap tu pun, semua dah ready ni."

Sebaik saja bungkusan plastik bertukar tangan, sempat Zayyad merenung Humairah sambil tersenyum. Bersyukur kerana dia dikurniakan kekasih yang sangat baik hati dan sering mengambil berat tentang keluarganya. Dan dia berjanji akan membahagiakan Humairah setelah betul-betul bersedia nanti.

"Yad. Kamu tu bila nak  masuk meminang adik Kak Mah ni?"

Terkejut Zayyad apabila tiba-tiba ditembak soalan 'maut' dari mulut Kak Mah. Tapi dah biasa sebab Kak Mah memang jenis wanita yang riuh dan bercakap direct saja. Tak adanya nak cover-coverline. Sambil tersenyum, dia mengangguk beberapa kali.

"InshaAllah, Kak Mah. Sampai masanya nanti, saya hantarlah rombongan meminang. Kak Mah jangan terima rombongan orang lain selain rombongan saya tau? Frust saya nanti."

"Ha, kalau dah cakap macam tu tak apalah." Azimah menyeringai dengan pandangan masih terarah kepada Zayyad yang tegak berdiri di seberang meja jualan. "Kak Mah blocked siap-siap si Maira ni. Maklumlah adik Kak Mah nikan lawo, ramai jugak yang bertanya pasal dia."

"Ya, saya tahu Maira ramai peminat."

Aduhai, tersipu-sipu Humairah dengan perbualan diantara kakak dan kekasihnya. Bagus juga Kak Mah cakap macam tukan? Biar abang Zayyad sedar yang dia tidak kurang popular juga di kampung mereka. Asyik pakwe dia aje kena kejar dengan perempuan, mana boleh senang duduk. Hehe!

"Maira." Zayyad memanggil dengan nada berbisik. Sempat juga dia mengerling kepada Kak Mah yang sudah kembali sibuk menghiris pisang di belakang sana. Humairah yang memakai tudung bawal mendongak kepadanya. Menyatukan pandangan mereka dengan lembut.

"Maira tunggu abang ya? InshaAllah, abang takkan sia-siakan perasaan Maira. Bagi abang masa untuk usahakan masa depan kita."

Manis dan berseri-seri airmuka Humairah dengan janji yang dilafaz abang Zayyad. Kalau tak dipesan pun, memang selamanya dia akan setia menanti pemuda ini menjadi miliknya. Cinta mati dia kut!

"Abang tahu Maira takkan pergi mana pun kan? Maira boleh tunggu abang, jangan risaulah."

"Alhamdulillah." Zayyad melurut rambut dengan riak sedikit segan.

"Tapi abang tahu Maira tak kesah kalau tak bermewah-mewah kan?"

"Ya, abang tahu. Tapi abang tetap nak sediakan yang sempurna dan selesa untuk Maira. InshaAllah, abang akan usaha lebih baik."

"Ya, Maira tahu." Humairah tersenyum kelat. Bimbang pula dianggap tak sabar-sabar nak berkahwin dengan abang Zayyad. Sedangkan hatinya seratus peratus ikhlas. Tak kesahlah kalau abang Zayyad belum ada duit sekalipun, dia boleh terima perkahwinan yang ringkas. Tak payah nak gah-gah sangat, bukan itu yang dia pentingkan.

"Maira, abang gerak dululah. Takut Dato Haimi dah sampai dekat rumah. Nanti kalau Maira dah free, text abang. Take care ya?"
"Okay, abang. Elok-elok balik tu."

Zayyad tersenyum dan mengangguk. Sempat dia meminta diri daripada Kak Mah sebelum beredar pulang.

Ebook 30 Hari Yang Selamanya  (Ready File)Where stories live. Discover now