APRIL FOOL ASMARA

26 0 2
                                    

Prolog.

Sepuluh tahun lalu. Asrama Puteri.

Sejak peristiwa tiga orang si kaki buli dipaksa makan sandwich super pedas, sehingga menyebabkan mereka bergilir-gilir menyerbu tandas untuk buang air besar kerana perut tidak henti-henti memulas. Hampir sahaja Emma tercirit gara-gara menunggu Elfi lama sangat melepaskan hajat di dalam bilik air. Kini, para pelajar yang sebelum ini menjadi mangsa buli di asrama itu sudah hilang rasa takut pada mereka bertiga.

Baru tadi ketiga-tiganya bertembung dengan sekumpulan junior di koridor semasa dalam perjalanan menuju ke bilik asrama, sebelum ini junior-junior itu akan tunduk hormat sambil memberi salam, tetapi sekarang mereka hanya senyum mengejek dan saling berbisik. Entah apa dikutuk mereka agaknya?

"Hish! Sakitnya hati saya!" Gerutu Emma, Gigi diketap-ketap. Geram apabila mengingatkan detik yang baru sahaja berlaku 15 minit tadi.

Di atas katil masing-masing meluahkan rasa sebal. Ini semua kerana Jannah, siapa sangka rancangan untuk prank Jannah berubah 180 darjah, tiba-tiba mereka pula menjadi mangsa. Lebih menjengkelkan, kejadian itu turut mendapat kolaborasi seluruh pelajar asrama termasuk warden. Ini tidak adil!

Amyra yang duduk bertentangan Emma menyilang tangan dengan riak muka monyok macam tikus mondok. "Sekarang kita dah hilang kuasa, maruah kita pun dipijak-pijak." Amyra mengepal jari jemarinya, kembang kempis hidung menahan marah. Mahu sahaja dia keluar daripada asrama kerana tidak sanggup menanggung malu. Tetapi memikirkan jarak rumahnya dengan sekolah ialah 45 kilometer, terpaksa Amyra memadam niat. Jauh sangat untuk berulang alik.

Melihat dua orang sahabat sedang terbakar hati, Elfi pula naik ngeri. Bimbang andai Emma dan Amyra bakal bertindak di luar batas kerana tidak tahan dipulau oleh rakan seasrama, perlahan-lahan Elfi cuba memujuk, "Relaks lah...mula-mula memanglah kita akan jadi bahan umpatan. Lama kelamaan mereka semua akan lupa dengan apa yang dah berlaku, time heals all wounds." Lembut suara Elfi diiringi sengih meleret, seperti sedang menyimbah air ke arah api yang sedang marak.

Namun, kata-kata Elfi langsung tidak menyejukkan hati Emma, mata mencerun merenung Elfi si pembuli paling penakut itu, "Relaks?"

Emma ketawa sinis dengan mimik muka ala psiko, dia mengecilkan mata, "Kerana dia saya jadi trauma dengan makanan pedas. Saya akan simpan dendam ni, satu hari nanti saya akan ajar Jannah tu cukup-cukup. Berani dia berlakon jadi zombie? Dia belum tengok saya jadi Pontianak Harum Sundal Malam lagi." Emma mengembangkan kedua-dua tangan seperti mahu mencekik dan mulut menyeringai.

Sebagai timbalan ketua buli Asrama Puteri, Amyra turut menyokong, "Count me in, saya akan beri sokongan tanpa berbelah bahagi kepada awak." Begitu bersemangat gaya Amyra macam mahu mengajak berperang. Patriotik sungguh!

Elfi telan liur, seram melihat kedua-dua sahabatnya yang langsung tidak tahu serik. Sepatutnya mereka mendapat pengajaran atas apa yang telah berlaku, dimalukan dan diberikan hukuman berat akibat membuli seharusnya membuatkan mereka lebih insaf. Tetapi itu langsung tidak memberi kesan kepada Emma dan Amyra, malahan dendam mereka semakin membara pula.

Amyra hulur belakang tapak tangan bagi membentuk pakatan, Emma mengangguk faham lalu meletakkan tapak tangannya di atas tangan Amyra, kini mereka menanti Elfi. Tetapi Elfi ragu-ragu, dia berada di persimpangan antara mahu berubah menjadi baik, atau tetap kekal sebagai antagonis. Teragak-agak mahu meletakkan tangannya bersama dua sahabat yang sedang menunggu penuh saspens.

Emma mula menjegil mata, "Elfi...." Suara dikeraskan seperti mengugut.

Memandang muka garang Emma, serta merta Elfi jadi gerun. Lambat-lambat dia meletakkan tapak tangannya di atas kedua tangan lain yang saling bertimpa, Elfi mengeluh. Hatinya tidak ikhlas.

Namun Emma dan Amyra pula berwajah girang, terpancar-pancar sinar kejahatan pada mata mereka berdua. Lalu Emma bersuara,

"Walaupun seribu tahun lagi, saya akan pastikan Jannah terus dalam genggaman kita." Ikrar Emma sambil menyungging bibir. Dendam yang tertanam dalam dirinya tidak akan pernah padam. Walau bukan hari ini, dalam tempoh sepuluh tahun mendatang pasti akan terlunas.

********************************

APRIL FOOL ASMARAWhere stories live. Discover now