APRIL FOOL ASMARA

6 0 0
                                    


Bab 5

Hari itu Jannah mengajak Zayne menemaninya ke tapak projek sempena Karnival Seram Kuala Lumpur. Jannah memandu keretanya, sementara Zayne mengiringi dengan motor kapcai. Kebetulan Zayne tidak mempunyai temujanji penting, jadi dia dapat mengikuti Jannah, sementelah dia tidak mahu Jannah keluar bersendirian kerana bimbangkan keselamatannya.

Sebuah bangunan sementara sedang didirikan bagi dijadikan rumah hantu, Jannah diberikan tanggung jawab untuk menyediakan segala keperluan berkaitan rumah hantu itu, termasuk hiasan dalaman dan juga pelakon-pelakon hantu.

Bersama-sama Jannah dan Zayne yang turut melawat kawasan sekitar karnival itu ialah Pengarah Karnival, Encik Amir.

"Saya nak solekan hantu-hantu tu nanti nampak realistik dan menyeramkan. Pelakon pontianak, biarlah guna perempuan, geli saya tengok sesetengah rumah hantu guna pelakon lelaki. Tak menakutkan langsung. Hantu pocong pun mesti guna manusia bukannya patung. Barulah meremang bulu roma." Encik Amir memberi buah fikiran.

Jannah mengangguk-angguk sambil menulis setiap idea Encik Amir itu pada buku nota.

"Itu Encik Amir jangan risau, hantu yang saya sediakan nanti siap boleh terbang. Silap hari bulan, orang yang keluar daripada rumah hantu ni boleh kena histeria," jelas Jannah, peluang projek rumah hantu kali ini akan dibuat sebaik mungkin.

Zayne pula menyampuk, "Kalau Encik Amir nak hantu betul pun Jannah boleh sediakan."

Mereka tergelak.

"Saya okey saja, asalkan awak tak bawa toyol. Habis duit jualan tiket saya kena curi nanti," seloroh Encik Amir.

Makin kuat ketawa masing-masing.

"Baik Encik Amir, saya akan buat yang terbaik untuk rumah hantu ni. Untuk bunyi-bunyian, saya akan beri Encik Amir dengar dulu rakamannya. Esok pagi saya akan emel pelan susun atur dalaman rumah hantu," janji Jannah. Semuanya mahu diselesaikan lebih awal kerana dia tidak suka terkejar-kejar pada saat akhir.

Encik Amir mengangguk. "Nampaknya saya berurusan dengan orang yang tepat. Saya harap projek ni akan berjalan lancar."

"InsyaAllah Encik Amir. Saya rasa kita dah bincangkan banyak perkara, jadi saya nak minta diri dululah ya," ujar Jannah.

"Ya boleh, dalam dua hari lagi siaplah bangunan ni. Lepas tu awak dah boleh mulakan hiasan dalaman."

"Baik." Jannah tunduk hormat, Zayne dan Encik Amir pula saling berjabat tangan sebelum beredar.

Ketika kedua-duanya berjalan menuju ke kenderaan masing-masing, Zayne bersuara, "Oh, saya baru dapat mesej daripada mak saya. Dia suruh singgah rumah, katanya hari ini masak lauk istimewa."

Jannah terpana, "Eh, seganlah... awak boleh terus pergi. Tak apa, saya boleh balik ke kedai sendiri."

Zayne buat muka kecewa. "Janganlah macam tu, saya dah beritahu yang awak akan datang juga."

Panjang Jannah mengeluh. "Nanti apa pula kata mak awak bila tengok kita datang berdua. Selalunya kita ke rumah awak dengan kawan-kawan lain."

"Tak apa...mak saya tak kisah, bahkan dia suka sangat jumpa awak," ujar Zayne sambil menyarung helmet.

Jannah menekan butang kunci kereta lalu membuka daun pintu, dalam kepala masih berfikir tentang pelawaan Zayne. Lagipun sudah lama dia tidak ke rumah ibu Zayne, sebab itu dia berasa segan.

Puas berfikir, Jannah memberi kata putus semasa Zayne sedang bertenggek di atas motosikal menanti jawapan sahabatnya. "Jomlah."

Zayne pandang Jannah dengan senyuman lebar. "Terima kasih."

APRIL FOOL ASMARAWhere stories live. Discover now