APRIL FOOL ASMARA

5 0 0
                                    

Bab 4.

Lewat petang di sebuah pasaraya, seorang gadis sedang menyusun air kotak ke dalam peti sejuk. Ketika khusyuk mengeluarkan satu demi satu barang jualan itu daripada kotak, telefon bimbitnya berdering mengalun lagu 3D nyanyian Jungkook BTS, tanda ada panggilan masuk.

Gadis itu keluarkan telefon bimbit daripada poket hadapan apron, langsung dijawab tanpa sempat melihat nama si pemanggil, "Helo?"

"Aku dah takut-takutkan dia." Tiada salam, tiada mukadimah, terus si pemanggil memaklumkan perkara yang mahu disampaikan.

Serta merta gadis itu jadi panik, bimbang andai ada orang sekeliling yang terdengar. Ini adalah rahsia besar! Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Beberapa pelanggan sedang memilih-milih barang. Belum pun siap menyusun barang, gadis itu bergegas ke arah belakang pasaraya.

Telefon bimbit masih melekap pada telinga. "Apa respons dia?" soal si gadis, tidak sabar mahu mengetahui perkembangan terkini.

"Aku nampak dia buat laporan polis." Di sebalik corong telefon, suara lelaki membalas.

Gadis itu tergelak puas lalu berbisik, "Dia takutlah tu, tapi kau jangan berhenti. Cuma perlu lebih berhati-hati."

"Aku tahu...dan aku akan selesaikan sebagaimana arahan kau. Jangan risau, tapi aku nak minta lagi 20% bayaran."

Mendengarkan itu, si gadis merengus, "Duit lagi? Kerja belum siap dah buat tuntutan. Tempoh hari aku dah bayar 30%, kalau kau minta lagi 20% maknanya aku dah bayar separuh daripada perjanjian. Tapi kau cuma baru takut-takutkan dia."

"Aku akan buat lebih teruk lagi lepas ni, kau tunggu saja...."

Kali ini gadis itu mengeluh berat, andai tidak diturutkan tentu dendamnya tidak akan dapat direalisasikan. Maka terpaksa juga dia bersetuju, "Okey, tapi pastikan ada perkembangan. Kalau setakat ditakut-takutkan, itu belum cukup memuaskan hati aku."

"Hei, kau kenal siapa aku...dan apa yang pernah aku buat selama ni. Aku tak akan kecewakan kau."

Mahu tidak mahu, gadis itu terpaksa juga berpegang pada janji orang upahannya. "Baik, aku tunggu."

Panggilan dimatikan. Untuk seketika, gadis itu berdiri pegun menekan-nekan telefon bimbit untuk memasukkan duit ke akaun orang upahan seperti diminta, biar segera dilaksanakan tugasan. Tidak sabar mahu melihat orang yang didengki hidup terseksa sebagaimana sengsara perasaannya selama ini. Mahu diajar musuhnya itu cukup-cukup, biar sedar diri.

"Emma!" suara Madam Kwan memetir. Pemilik Pasaraya Macam-Macam Ada yang cengil dan berdisiplin tinggi. Pantang besar melihat pekerja mengular, pasti cair tahi telinga kerana terpaksa menadah segala kata-kata kesat lagi pedih.

Mujur Emma sempat menekan butang 'approved' pada skrin telefon bimbit bagi urusan pemindahan wang, sebelum melajukan langkah ke ruang hadapan pasaraya.

Di situ, Madam Kwan sudah menunggu di hadapan peti sejuk yang sedang terbuka pintunya, sambil menyilang lengan. Pada hadapan peti sejuk, kotak-kotak berisi air kotak bersepah.

"Awak ke mana? Kerja belum siap, tapi dah merayap?" Lantang suara Madam Kwan, memalukan betul. Sudahlah ada pelanggan lain di dalam pasaraya itu.

Emma memuncung, dia tunduk menyusun kotak-kotak kosong yang bersepah, kemudian memasukkan baki air kotak ke dalam peti sejuk.

"Saya jawab panggilan telefon sekejap, itu pun tak boleh?" balas Emma dalam nada protes. Sakit hati dengan majikan yang tidak reti menegur cara baik, kalau boleh biar satu pasaraya tahu dia sedang memarahi pekerja. Agaknya wanita itu pernah tertelan mikrofon, sebab itu suaranya kuat sangat macam guna speaker.

APRIL FOOL ASMARAWhere stories live. Discover now