APRIL FOOL ASMARA

18 0 2
                                    


Bab 1.

Sepuluh tahun selepas tragedi April Fool Asrama.

Pada muka pintu pagar sebuah rumah teres, berdiri seorang gadis dengan mata membulat dan kedua-dua tangan menutup mulut kerana terkejut. Dihadapannya Zayne tersenyum sambil memegang tali pengikat belon bertulis, 'Happy Birthday!', tangan kanan Zayne pula menatang kotak hadiah berbungkus cantik.

"Hadiah ni untuk cik." Dihulurkan belon dan juga kotak hadiah.

Teruja gadis itu menerimanya. "Wah! Siapa bagi hadiah ni?" Hadiah bertukar tangan, pantas sahaja gadis itu menyelak kad kecil yang bertampal pada atas kotak.

'Istimewa untuk Najwa.'

Hanya tertulis namanya, tidak ada nama pengirim. Pandangan penuh persoalan dialih ke wajah Zayne yang masih menunggu, Zayne sengih.

"Pengirim suruh rahsiakan."

Serta merta Najwa mengangkat kening. "Oh, daripada secret admire?" Dia tercengang.

Zayne mencengis. "Mungkin."

Spontan gadis itu tertunduk, tersipu-sipu malu. 24 tahun hidup, tidak pernah dia mendapat hadiah daripada sesiapa walaupun pada tarikh hari lahir. Hari ini dia menerima kejutan daripada peminat misteri.

"Tak sabarnya saya nak buka hadiah ni! Terima kasih encik." Gembira bukan kepalang, serasa seperti dia lah perempuan paling bahagia hari ini.

Zayne meletakkan tangan pada dada, dia mengangguk sedikit lantas meminta diri.

Sebaik melihat lelaki penghantar hadiah itu menunggang motor kapcainya meninggalkan kawasan perumahan, tanpa lengah Najwa terus bergegas masuk ke rumah.

Berdebar hatinya kerana tertanya-tanya, apakah isi di dalam kotak hadiah bersaiz kotak kasut itu? Lebih mencurigakan, kotak itu tidak begitu berat. Apabila digoncang-goncang kedengaran bunyi dentang dentung di dalamnya, apa itu? Sudahlah dia tidak tahu siapa pengirim hadiah. Misteri...misteri....

Najwa segera menghenyak punggung pada sofa dengan perasaan terlebih bersemangat. Ditanggalkan riben, kemudian dibuka satu demi satu bahagian kertas yang menyampul hadiah itu dengan teliti, kertas sampul diletakkan di sisi. Lalu penutup kotak hadiah itu dibuka, tetapi tidak semena-mena mata Najwa terbeliak. Serta merta kotak hadiah dicampak ke lantai dan dia terlolong-lolong,

"Aaaa!!! Lipas!! Tolong!!"

Di luar, motor ditunggangi Zayne sudah jauh meninggalkan kawasan perumahan tanpa mengetahui apa yang berlaku kepada si penerima hadiah. Sedangkan di dalam rumah itu, Najwa terjerit-jerit bersilat menghalau berpuluh-puluh lipas yang keluar dari kotak hadiah. Pada bahagian dalam kotak terselit sekeping nota bertulis, 'Anda kena prank!'.

*****************************

Kawasan rumah kedai.

Zayne memberhentikan motosikalnya betul-betul di hadapan sebuah kedai dengan papan tanda bertulis 'Prankster Shop'. Enjin motor dimatikan. Lelaki itu menuruni motosikal miliknya, langsung ke bahagian belakang motor lalu dikeluarkan plastik berisi minuman daripada bekas menyimpan barang. Tadi dia sempat singgah di gerai tepi jalan untuk membeli minuman kegemaran. Plastik itu dijimbit lalu langkah diatur memasuki Prankster Shop.

Tatkala pintu dikuak sekonyong-konyong kedengaran suara perempuan menjerit, "Tutup pintu!"

Tersentak Zayne, cepat-cepat dia menyusup masuk ke dalam kedai dengan rasa cemas. Bimbang sesuatu berlaku kepada Jannah, pemilik Prankster Shop. Tetapi di dalam kedai itu Jannah tidak berseorangan, Dian Sosrowodoyo, pekerja pembersihan warga Indonesia yang diupah untuk membersihkan Prankster Shop setiap pagi turut sama berlari ke sana-sini, terbongkok-bongkok membuat aksi mengepung.

APRIL FOOL ASMARAWhere stories live. Discover now