APRIL FOOL ASMARA

5 0 0
                                    


Bab 3

Prankster Shop, lewat petang.

Di meja kerja, lama Jannah menatap kepingan kertas tanpa nama pengirim. Hampir sahaja tembus permukaan kertas kerana lama sangat ditenung walaupun hanya terkandung sebaris ayat. Dan bait ayat tertera pada kertas itu dibaca berulang kali. Ringkas, tetapi mampu membuat bulu roma merinding.

'Satu hari nanti, kau akan terima balasan Jannah!'

Jannah gigit hujung bibir dengan dahi berkerut. "Hish, siapa pula yang mengugut aku ni?" Fikiran Jannah mula runsing. Sebelah tangan menopang kepala, dipicit-picit kepala yang tiba-tiba berdenyut. Pening memikirkan gerangan pengirim, entah apa dendamnya sampai sanggup mengugut begitu.

Dek terlalu memberi fokus kepada masalah yang tiba-tiba menyentak otak, maka tiada satu pun kerja dapat dilakukan dengan baik hari ini. Dia langsung tidak dapat memberi fokus terhadap temujanji bersama klien yang baru sahaja selesai sebentar tadi, padahal kontrak yang bakal ditanda tangani juga cukup besar. Prankster Shop mendapat tawaran menguruskan sebuah rumah hantu untuk sebuah karnival yang akan berlangsung selama seminggu.

Sepanjang perbincangan tadi Jannah langsung tidak mampu menumpukan perhatian. Fikiran gadis itu menerawang jauh, klien di hadapan mata sedang bercakap pun Jannah hanya memerhatikan pergerakan mulut sahaja. Suara klien seperti tenggelam, satu apa isi mesyuarat tidak dapat dihadam. Terpaksa Jannah minta diberi waktu bagi menyiapkan kertas kerja dalam tempoh seminggu. Sekurang-kurangnya dia ada masa untuk bertenang.

Sedang runsing memikirkan situasi yang menimpa diri, tiba-tiba pintu kedainya dikuak. Berkerincing bunyi loceng yang digantung di atas pintu masuk apabila tersentuh daun pintu. Seseorang menyerbu masuk lalu menyergah Jannah.

"Hah, apa dah jadi? Siapa yang ugut awak?" Tiba-tiba sahaja Zayne menerpa dengan muka cemas sampai terkedik bahu Jannah kerana terkejut. Berderau darah. Orang sedang bimbang, boleh pula disergah-sergah begitu.

"Sshhh...." Pantas Jannah meletakkan jari pada bibir kerana ada pengunjung sedang membelek-belek barang jualan di dalam kedai itu.

Tidak puas hati dengan respons Jannah, Zayne pula segera memeriksa sekeliling kawasan kedai itu termasuk di ruang pantri, stor dan juga bilik air. Tetapi tiada perkara aneh dijumpai di dalam kedai. Semua barang juga tersusun dengan baik, langsung tidak bersepah dan tidak ada tanda-tanda diselongkar.

Zayne kembali ke meja kerja Jannah, "Siapa ugut awak?" kali ini dia berbisik, menyoal dengan wajah berkeremut.

Sekali lagi gadis itu mengurut dada kerana terkejut dengan terjahan Zayne, ingatkan siapa tadi. Tidak semena-mena muncul. Sudahlah dia sedang dalam mood saspens.

"Lain kali nak masuk tadi beri salam dulu...." Boleh naik darah Jannah dengan perangai Zayne yang cepat sangat menggelabah. Tidak tahu hujung pangkal cerita, ke sana sini dia tidak tentu arah seperti mencari-cari sesuatu macam kucing hilang anak. Walhal Zayne sendiri tidak tahu apa yang perlu dicari.

Pukul dua petang tadi Jannah hantar mesej bergambar surat ugutan kepada Zayne. Serta merta tidak senang duduk Zayne jadinya, ditinggalkan sahaja perjumpaan bersama ketua-ketua bahagian di pejabat kerana mahu segera melihat keadaan Jannah. Khuatir andai perkara buruk menimpa sahabat baiknya.

Sejurus melihat Jannah kekal tenang, baru gelora jiwa Zayne beransur reda. Dia melabuhkan punggung pada kerusi di hadapan Jannah.

"Awak yang beri gambar surat ugutan tu, saya ingat ada orang serang awak di kedai ni. Mujur saya tak kemalangan tengah jalan tadi, lampu merah pun saya langgar sebab tergesa-gesa nak ke sini." Zayne tidak dapat menyembunyikan kerunsingannya.

APRIL FOOL ASMARAWhere stories live. Discover now