Bab 2.
Bunyi penggera telefon bimbit mengejutkan Jannah daripada tidur, terpisat-pisat dia membuka mata, malas-malas dicapai telefon bimbit di atas meja sisi untuk mematikan penggera yang membingit.
Gadis itu tidak segera bangun, sebaliknya menyambung melelapkan mata. Sedetik, dua detik, tiba-tiba matanya terbuka luas. Ditatap skrin telefon bimbit sekali lagi.
"Dah lambat! Dah lambat!" Jannah terus bingkas dari katil lantas ke bilik air untuk mandi. Dia ada temujanji dengan pelanggan pagi ini.
Selesai mandi, Jannah bersiap lebih kurang dan mengenakan solekan nipis kemudian langsung ke dapur. Aroma nasi goreng semerbak. Di hadapan dapur masak, Puan Zaleha sedang mengacau nasi goreng dalam kuali.
"Hah baru nampak batang hidung, malam tadi balik pukul berapa?" soal Puan Zaleha lalu memasukkan potongan lobak dan kacang panjang ke dalam masakannya.
Jannah ke rak pinggan untuk mengambil gelas. "Pukul dua pagi." Selepas selesai projek prank bersama Encik Fazlan malam tadi, dia terus ajak teman-teman yang membantu untuk dibelanja makan dan berbincang berkaitan projek seterusnya, sedar-sedar sudah lebih pukul satu pagi, sebab itu dia pulang lewat.
Puan Zaleha angkat kening. "Dua pagi? Habis tu, ni nak terus pergi buka kedai? Sekejap, ambilkan mak mangkuk besar, nak isi nasi goreng ni," pinta si ibu.
Sebelum ke mesin penapis air, Jannah sempat ambilkan mangkuk besar di dalam kabinet dapur kemudian dihulurkan kepada ibunya.
"Saya ada temujanji pukul 10 pagi," balas Jannah sempat mengerling jam pada dinding yang sudah menunjukkan pukul 9.30 pagi. Dia betul-betul terlewat, ini semua gara-gara tertidur semula selepas solat subuh.
"Makan dulu sebelum pergi kerja."
Mangkuk besar berisi nasi goreng sudah terhidang di atas meja.
Jannah pula sedang menadah cawan pada penapis air. "Tak sempat ni mak."
Puan Zaleha kerut dahi, tetap memujuk, "Makan lah dulu, dah siap ni. Kamu ni siang malam sibuk, hari-hari kerja, macam dah tak ada waktu rehat. Kalau terus macam ni, kamu boleh jadi anak dara tua, tahu."
Ah! Ibunya sudah mula berleter, demi tidak mahu menjadi anak derhaka, mahu tidak mahu Jannah menurut juga arahan si ibu walaupun kebarangkalian besar, dia akan lewat ke kedai.
Jadi Jannah yang tadinya sedang meneguk air di hadapan mesin penapis minuman terpaksa menarik kerusi di meja makan. Sempat juga dia membalas kata-kata ibunya, "Mak ni, macam doakan saya jadi anak dara tua pula." Wajah Jannah cemberut, disambut pinggan siap disendukkan nasi goreng daripada ibunya.
"Iyalah...bila dah sibuk sangat, mana ada masa nak bercinta. Mak dulu sebaya kamu dah ada anak dua orang." Puan Zaleha menala dua jarinya ke muka Jannah.
Tidak tertelan rasanya nasi goreng yang sedang dikunyah apabila ibunya mengungkit tentang jodoh. Pagi-pagi lagi sudah diajukan persoalan berat sebegitu.
Bagi mengelakkan telinganya terus menerus menadah setiap bait bicara pedih menusuk kalbu si ibu, Jannah perlu segera menghabiskan nasi goreng di hadapannya. Menjamah nasi goreng cili api yang cukup enak itu serasa seperti menelan batu kerikil. Seksa betul!
Sambil mencuci kuali, Puan Zaleha sambung membebel, "Semalam mak baru dapat jemputan daripada Makcik Kamariah, anak dia yang bungsu tu pun dah nak kahwin. Budak tu lebih muda daripada kamu."
Okey, sekarang ibunya sudah mula membanding-banding. Nanti dia akan buka cerita segala sepupu sepapatnya yang beranak pinak pula. Arghh! Jannah tidak mampu lagi bertahan. Sejurus suapan terakhir dia meneguk laju air suam supaya makanan yang ditelan cepat turun ke perut. Selesai makan, segera dia bergerak ke sinki untuk membasuh pinggan.
YOU ARE READING
APRIL FOOL ASMARA
ChickLitApa akan terjadi apabila pembuli dan mangsa buli jatuh cinta dengan lelaki yang sama? Tidak!! Lebih merumitkan keadaan, lelaki itu pula ialah kawan baik kepada mangsa buli. Apa lagi, semakin stress si kaki buli kerana bimbang rahsianya pecah. Jadi m...