T.P. (Bab 12) | S E K E J A P

42 7 6
                                    


BAB 12

WINTER, Ijol, Che Di dan Uqasha duduk di kerusi, menjadi penonton sahaja. Bukan cuma keenam-enam pemain yang berdebar-debar. Mereka yang menjadi penonton pun, dagdigdug tanpa henti. Asalnya, Uqasha mahu menyertai permainan Lompat Tikus itu tapi Gita kata, lebih baik dia menemani Winter.

"Semua pemain sudah membuat pilihan. Sila baca apa peranan anda, dan rahsiakan daripada orang lain. Sila pilih dua orang untuk menjadi penghalang. Kepada spy, sila jalankan tanggungjawab untuk mengganggu pemain lain daripada berjaya menjalankan misi mereka. Kepada pemain, sila lakukan yang terbaik untuk memenangi permainan ini, serta cuba kenal pasti siapakah spy di antara kalian. Semoga berjaya!"

Yolanda segera memberi isyarat agar mereka membuat bulatan untuk berbincang dahulu.

"Ada sesiapa nak volunteer jadi penghalang? Tugasnya mudah tapi sejujurnya aku rasa, sama aje. Kalau semua lepas setiap peringkat, mungkin kedua-dua penghalang tu pula yang dikenakan hukuman."

Berat untuk Yolanda mengatakan itu, tetapi mereka harus tahu. Tak ada sesiapa yang benar-benar terselamat di dalam permainan ini. Jangan-jangan, ada muslihat yang menanti Winter, Ijol, Che Di dan Uqasha nanti.

Ah minta dijauhkan!

Semua senyap. Tak mempertikaikan apa-apa kerana mereka yakin kata-kata Yolanda ada benarnya.

Kalau tak ada sesiapa yang mahu menjadi penghalang, tak mengapa. Puspa ada cadangan.

"Apa kata, kita pilih perempuan yang jadi kedua-dua penghalang? Tangan kita orang kecil, senang untuk yang lain-lain lompat," usul Puspa sambil menayang jari-jemarinya. Tak sampai sesaat, ideanya ditolak Luhan.

"Tak boleh. Jangan lupa, penghalang-penghalang kena buat gua di peringkat kelima. Kalau tangan kecil, gua pun akan jadi kecil. Susah pula Nathan dan Kalai nak lalu." Bibir Luhan memuncung sedikit, mengunjuk kedua-dua insan berbadan sasa itu. Kalau peringkat kelima tak wujud, boleh saja dia turutkan cadangan Puspa.

"Oh... yalah..." Jatuh bahu Puspa. Baru teringat tentang itu. Sekarang, dia juga sudah menendang jauh-jauh ideanya.

"Kalau macam tu, apa kata kita pilih seorang perempuan dan seorang lelaki untuk jadi penghalang?" Gita pula yang bersuara. "Kalau ada tangan lelaki, confirm gua tu lagi besar. Nathan dan Kalai boleh lepas."

"Betul! Aku setuju dengan Gita. Kalau ada yang kalah juga atau sengaja aniaya orang lain, maksudnya dialah spy!" Dalam pada rakan-rakannya pertimbangkan saranan Gita, tiba-tiba Ijol mencelah dari bawah pentas.

Walaupun Ijol tak mengambil bahagian, dia tetap mahukan yang terbaik buat kawan-kawannya. Ijol turut berazam untuk menajamkan fokusnya sepanjang permainan berlangsung, untuk mencari kalau-kalau ada sesiapa yang perilakunya mencurigakan. Semoga di permainan kali ini, mereka membuat pilihan yang tepat.

"Okey. Aku setuju. So, siapa jadi penghalang-penghalang tu?" Luhan pandang seorang demi seorang.

Alih-alih, Kalai mendekati Luhan dan mengangkat kedua-dua tangan Luhan tinggi ke udara dan membentuk O di atas kepala. Kalai turunkan tangan Luhan pula. Tangan Luhan masih dalam posisi sama sewaktu Kalai lalukan pada tubuhnya, seolah-olah tangan itu ialah gelung hulahoop.

"Weh... kau... kau buat apa ni?" Gugup Luhan dibuatnya. Tak pernah-pernah dia dan Kalai berdiri serapat ini, tapi sekarang gayanya seperti sedang memeluk Kalai.

Puspa dan Yolanda menekup mulut yang sudah ternganga. Nathan pula, spontan berundur dua tapak. Risau kot-kot Kalai lakukan perkara yang sama kepadanya. Gita hanya senyum seraya menggeleng-geleng. Dia faham sangat apa yang sedang dilakukan Kalai.

T.P.Where stories live. Discover now