T.P. (Bab 3) | D E J A V U

76 15 11
                                    



BAB 3

"PERMAINAN?"

Satu perkataan itu diulang sebut oleh beberapa orang. Terserlah riak dungu masing-masing. Semua masih dalam fasa keliru, tak mengerti apa yang sedang berlaku. Lebih-lebih lagi, semua lampu tiba-tiba terpadam.

"Diminta jasa baik semua pemain untuk berkumpul di padang bola sepak. Permainan akan dimulakan dalam masa terdekat. Semua dikehendaki untuk mengambil bahagian di dalam permainan ini. Tiada sesiapa yang akan dikecualikan." Suara operator kedengaran lagi.

Sehabis ayatnya, lampu di kawasan padang bola sepak tiba-tiba menyala. Itulah satu-satunya kawasan yang masih diterangi cahaya lampu.

Sementara yang lain-lain dihambat keliru dan ketakutan, Xander seorang yang mara ke padang bola sepak.

"Sayang! Nak ke mana? Bahayalah..." Che Di melarang. Kelat wajahnya apabila kekasihnya seorang sahaja yang seberani itu.

Xander menyeringai. Dia paut bahu Che Di, kemudian dia tarik Che Di agar berjalan bersamanya.

"Nak takut apa, baby? Kita dalam kawasan ni juga. Bukannya ada benda buruk boleh terjadi. Entah-entah, Bonda yang rancang permainan ni untuk kita. Dia nak kita main sama-sama," kata Xander.

"Tapi, sayang..." Che Di tak dapat membantah lagi bilamana Xander percepatkan langkah. Kalai pun sudah mengekori jadi sedikit sebanyak, Che Di jadi lebih berani.

Tanpa suara, Puspa juga sudah mengorak langkah. Dia dengar Nathan dan Yolanda menyerunya, tetapi fokus Puspa cuma pada rakan-rakannya yang lain.

"Jangan tercegat kat situ. Jom." Tegas suara Puspa tiba-tiba. Walaupun kepalanya sendiri berdenyut-denyut, Puspa mahu mengikut arahan suara itu. Dia dapat merasakan ada perkara buruk yang akan terjadi seandainya mereka enggan.

"Jomlah," kata Yolanda pula. Kali ini, barulah rakan-rakannya akur.

Sepanjang langkahnya ke padang bola sepak, Puspa mendongak memandang langit yang sudah gelap. Dia tak tahu kenapa, tapi dia terpandang-pandang kertas-kertas berterbangan di dada langit. Bukan cuma satu dua, tetapi ada banyak.

"Kau okey? Apa maksud kau dengan deja vu tadi?" Nathan tak lepaskan peluang untuk bertanya. Nampaknya, Yolanda juga memikirkan soalan serupa. Fokus Yolanda automatik melekap pada Puspa yang berada di antara mereka.

Puspa pandang Yolanda, kemudian dia pandang Nathan. "Kita pernah main Layang-layang tak?"

"Tak." Laju Nathan menjawab tanpa berfikir. Dia mengenali permainan itu daripada lukisan mural di dinding gelanggang tenis. Kira-kira dua minggu lepas kut, Pak Cik Akhtar yang perkenalkan permainan itu kepadanya.

"Layang-layang tu apa?" Lugu wajah Yolanda sewaktu dia menyoal.

"Tak adalah bijak sangat kau ni rupanya. Aku ingatkan kau setaraf Gita dan Luhan." Selamba Nathan membalas.

Geram, tapi Yolanda tidak mahu membalas. Kadang-kadang dia rasa, dia faham kenapa Puspa selalu bengkak jiwa melayan Nathan. Sebab inilah.

"Qash, kita nak buat apa kat sini? Aku takutlah..." Sambil berjalan, sesekali Winter menoleh ke belakang. Takut kalau-kalau ada yang menerpa dari arah yang tidak disangka-sangka.

Uqasha diam cuma. Dia sendiri tak ada idea untuk menjawab apa. Gigilan tubuh Becca jelas kelihatan, lalu Uqasha menegur.

"Kau okey?"

"Hah? O... okey..." Walaupun gugup, Becca tetap jawab 'okey'. Namun...

"Sayang, apa ni? Peliknya!" Suara Che Di telah menarik semua mata ke tengah-tengah padang bola sepak.

T.P.Where stories live. Discover now