T.P. (Bab 1) | C E K A L

189 25 7
                                    

― 

BAB 1

"TERIMA kasih, Bonda!" Serentak, beberapa suara mengucapkan terima kasih kepada insan di depan sana.

Dari atas pentas, Bonda Naleen senyum lebar seraya mengangguk-angguk. Sambil mengemas barangannya, mata Bonda Naleen memerhati seorang demi seorang pelajarnya.

Yolanda awal-awal lagi dah keluar dari dewan ini. Becca, si gadis berkaca mata yang agak pendiam, sedang rancak berbual bersama Winter dan Uqasha, kawan baiknya. Winter itu seorang yang agak penakut tapi bersama kedua-dua kawan baiknya, dialah yang paling teruja mahu mendengar cerita hantu.

Bonda Naleen menggeleng sewaktu matanya tertancap pada Gita dan Luhan yang masih kekal di tempat sama. Ralit membaca semula nota yang diberikan Bonda Naleen di dalam kelas tadi. Nampaknya, topik 'eating disorder' telah menarik perhatian mereka. Kalau difikirkan semula, memang itu saja yang mereka minat. Apa-apa berkaitan pengetahuan. Kerana itulah, ada yang menggelar mereka 'Geek Couple', walaupun Gita dan Luhan tidak pernah sebulu.

"Kau buat apa ni? Pulanglah balik. Xander. Kalai..."

Suara Ijol menarik perhatian Bonda Naleen dan rakan sekelas yang lain. Tergawang-gawang tangan Ijol mahu mencapai semula pen miliknya tapi Xander dan Kalai semakin galak mengenakannya. Dari tangan Xander, berpindah ke Kalai, seterusnya dilempar kepada Xander semula.

"Okeylah, sorry. Nah. Aku gurau aje, janganlah marah," kata Xander apabila Ijol mula berwajah masam. Pen diserahkan semula kepada Ijol. Baru Ijol hendak menyentuhnya, alih-alih Xander hulurkannya kepada Che Di.

"Sekejaplah. Bagi aku guna dulu," kata Che Di yang sudah ketawa mengekeh. Seronok melihat wajah kelat Ijol.

Che Di mahu menulis, tetapi dia tiada sebarang buku nota atau kertas. Tadi dia ke dewan ini berlenggang-lenggok bawa diri sahaja, seperti selalu.

Buku nota di meja hadapan menarik perhatiannya lalu dengan selamba, Che Di sambar buku tersebut. Langsung tidak meminta izin daripada si pemilik buku tersebut.

"Diana!"

Alih-alih, namanya diseru dengan lantang. Sontak Che Di berpaling dengan wajah garangnya. Mata mencerun pada si wanita yang berani-berani menyebut namanya itu.

"Eh, bodoh. Aku dah kata, kan? Panggil aku Che Di. Jangan panggil aku Diana. Aku tak suka!" Che Di berkata sambil mengetap giginya geram.

Dari duduk, insan yang dipanggil 'bodoh' itu mulai berdiri. Sebagaimana Che Di merenung dia dengan mata galak, dia juga membalas dengan renungan tajamnya.

Sekonyong-konyong, dewan jadi senyap. Semua perhatian tertumpu pada kedua-dua insan itu. Ijol yang tadinya meminta-minta semula pen miliknya, tiba-tiba katup mulut. Dia takutkan Xander, Kalai dan Che Di yang suka membulinya. Tetapi dalam masa yang sama, Ijol juga takutkan wanita yang sedang beradu pandangan dengan Che Di itu.

"Dan aku pun tak suka kau ambil barang orang tanpa izin, terutamanya barang aku. Oh ya, kau tak suka nama Diana? Kalau macam tu, kau guna ajelah nama Bodoh tu. Sesuai dengan perangai kau yang tak semenggah."

"Kau..." Terbakar hati Che Di semerta. Dia bingkas dengan niat untuk menampar pipi wanita tersebut, tapi tak sempat. Tiba-tiba ada kapal terbang kertas berterbangan di antara Che Di dan wanita itu, sebelum ia berpusing-pusing dan jatuh mencium lantai.

Sekali lagi, semua fokus teralih. Mereka pandang kapal terbang kertas itu, sebelum mereka memandang seorang lelaki.

"Nathan."

Perlahan saja nama Nathan diseru Che Di, tetapi perhatian Nathan hanya pada seseorang.

"Puspa, janganlah gaduh-gaduh. Tak manislah perempuan secantik kau, bergaduh macam ni. Kau nak apa? Nak buku kau semula?" Nathan bertanya kepada Puspa tetapi dalam masa yang sama, tangannya sudah mengambil semula buku nota itu.

Dengan senyuman terlajak manis, Nathan membongkok sedikit agar matanya sama paras dengan Puspa.

"Nah," kata Nathan lembut tapi sayang, Puspa tidak tersenyum sepertinya. Puspa sekadar mengambil buku notanya tanpa mengucapkan terima kasih.

Nathan menyengih pula. Dia berpaling untuk menyambar pen milik Ijol. Sama, dia pulangkan kepada si empunya ditemani senyuman.

"Thank you, Nathan," ucap Ijol yang takut-takut berani melirik kepada Xander dan Kalai. Ijol tahu, kedua-dua lelaki itu sebenarnya bengang dengan tindakan Nathan.

Janganlah dia orang bergaduh. Janganlah...

Beria-ia Ijol berdoa di dalam hati, tapi...

"Kau kenapa, nak masuk campur urusan kita orang?" Xander tiba-tiba bangkit dan menolak bahu Nathan.

Masih melekat senyuman di wajah Nathan. Tiada walau secebis rasa cuak atau takut menghuni hatinya.

"Woi, Puspa! Kau memang suka cari pasal, kan?!"

Tetapi sewaktu Che Di menempik dan melelar lengan Puspa sehingga Puspa berpaling menghadapnya, air muka Nathan berderau. Pantas, dia mendekati Puspa dan menarik wanita itu agar berdiri di belakangnya. Kini, Nathan yang berdiri bertentangan Che Di. Sesaat kemudian, Xander pula melindungi Che Di.

"Sayang, dia nak pukul Di. Di takut..." Alih-alih Che Di bercakap dalam nada meleret kemudian dia cebik-cebikkan bibir. Che Di turut menggenggam hujung baju Xander, kononnya takut dan memerlukan perlindungan lelaki itu.

Di antara tautan mata Nathan dan Xander bagaikan ada arus elektrik. Sepertinya mereka sedang menghantar kata-kata hamunan melalui pandangan sahaja.

Hening lagi dewan ini. Yolanda yang baru berpatah balik ke sini, terkebil-kebil di pintu dewan. Dia pandang Che Di yang berdiri di belakang Xander, seterusnya dia pandang Puspa yang sudah berdiri di sebelah Nathan.

Yolanda menggeleng-geleng seraya mengatur langkah ke arah mereka. Mudah untuk dia memahami apa yang sedang berlaku.

"Dahlah. Bonda ada lagi kat depan tu. Cepat turun. Makanan dah ada kat kafe. Hari ni Pak Cik Akhtar masak mi goreng. Siapa lambat, tinggal. Tunggulah makan malam pukul tujuh nanti," kata Yolanda.

Bercakap tentang makanan, serta-merta mereka akur. Gita dan Luhan pun, lebih mengutamakan makanan berbanding pengajian mereka.

Puspa merengus. Dia menjeling geram insan-insan lain tetapi sewaktu pandangannya bertaut dengan Yolanda, Puspa menjeling manja. Kali ini, matanya bertembung dengan Bonda Naleen pula. Hanya senyuman tawar dihadiahkan, sebelum Puspa mengemas alat tulisnya.

Keluhan dilepaskan Bonda Naleen. Kadang-kadang, dia juga nyaris hilang sabar. Mereka seakan tidak menghormati dia.

Lihatlah. Dia masih ada di sini, tapi mereka tak teragak-agak untuk bertengkar. Che Di dan Xander pun, bukan main lagi saling menyeru dengan gelaran manja.

Bonda Naleen lihat Nathan menepuk-nepuk bahu Xander, lalu Bonda Naleen menggeleng lagi. Walaupun Nathan bersikap bersahaja sepanjang masa, ada masanya angin dia lebih teruk berbanding Xander dan Kalai yang memang terkenal dengan sikap perengus dan baran mereka.

Pinta Bonda Naleen cuma satu.

Semoga mereka semua bersabar dan cekal untuk hidup di dalam dunia ini.

― 

Heroin kita garang ya hshshs

― 

TEASER BAB 2

"Deja vu." Perlahan, Puspa bersuara. Puspa rasa jam dinding seakan-akan memanggilnya, lalu dia berpaling. Setia Puspa memerhati jarum saat yang sedang berdetik. Sebaik ia tiba di nombor dua belas, dan jam bertukar menjadi pukul sembilan...

Beeeppp!!!

Bunyi nyaring bergema memenuhi seluruh ruang Yayasan Andani sekali gus mengundang pelbagai reaksi. Ada yang terjerit, ada yang spontan menutup telinga, ada juga yang terloncat. Yolanda dan Nathan refleks memandang sekeliling manakala mata Puspa automatik tertancap pada pembesar suara.

"Selamat datang ke permainan yang dicipta khas untuk warga Yayasan Andani."

T.P.Where stories live. Discover now