Bab 3

1K 79 5
                                    

SOFEA terjaga apabila terdengar bunyi deringan telefon bimbit yang tidak berhenti. Tangannya merayap mencari objek yang berada entah di mana itu dan akhirnya ditemui. Dia melihat nama yang tertera pada skrin sebelum tersenyum.

"Helo. Assalamualaikum, ibu," sapa Sofea, ceria.

"Waalaikumussalam. Susah betul ya nak jumpa Sofea sekarang. Ibu kena buat appointment dulu ke?" sindir Puan Lidiya.

Sofea tertawa.

"Sekarang ada projek baru. Tu yang Sofea sibuk. Kalau dah tak sibuk, Sofea balik rumah ibu, okey?" Sofea cuba memujuk.

"Kahwinlah dengan kerja tu. Sibuk mengalahkan perdana menteri!" marah ibunya.

Daripada posisi baring, Sofea duduk, lalu mencapai alat kawalan jauh dan penyaman udara dimatikan.

"Apa ni, bu? Pagi-pagi lagi dah cakap pasal kahwin, menterilah apa." Sofea melihat jam dinding yang menunjukkan ke angka lapan.

Dia dapat mengagak pasti ada sesuatu yang dimahukan ibunya apabila menghubunginya pada waktu seperti ini.

"Ibu sihat? Ada apa telefon Sofea?" tanya Sofea tanpa berselindung.

"Sihat. Amboi, tak suka ke ibu telefon?" perli Puan Lidiya.

"Ke situ pula. Mestilah suka sebab syurga Sofea yang telefon." Sofea bangun dan menarik kain langsir pintu gelangsar supaya cahaya pagi masuk menyinari ruangan itu.

"Sofea sibuk ke hari ni?" soal Puan Lidiya lagi.

Sofea berfikir sejenak. "Hari ni? Tak kut. Kenapa?"

"Macam ni... Ada anak kawan ibu ni..."

"Ibuuu," potong Sofea, sudah dapat meneka ayat seterusnya selepas mendengar ayat pendahuluan ibunya. Dia memicit pelipis.

"Anak kawan ibu tu baik, serba-serbi cukup. Sofea jumpalah dia, kenal-kenal dulu. Ibu tak paksa pun." Akhirnya Puan Lidiya berterus terang.

"Memanglah ibu tak paksa, tapi ibu dah janji, kan?" Sofea sudah dapat membaca fikiran ibunya.

Puan Lidiya tertawa kecil.

"Jadi, nak tak nak, Sofea kena pergilah. Takkan nak kensel pula? Mana ibu nak letak muka nanti?" Puan Lidiya masih cuba memujuk.

Sofea mengeluh perlahan. Ini bukan kali pertama kejadian ini berlaku dan dia sudah penat bertemu anak sahabat ibunya.

"Kenapa tak suruh Alin yang pergi? Kenapa Sofea juga yang kena pergi?" Sofea memetik nama adiknya.

"Mana boleh. Alin dah ada boyfriend. Nanti apa pula kata dia?" Puan Lidiya menyebelahi Alin.

Sofea mendengus.

"Ni last tau, bu. Lepas ni, Sofea dah tak nak ambil tahu walaupun ibu kenenkan Sofea dengan anak menteri, VIP, anak raja ke apa. Sofea dah tak nak ambil tahu!" Sofea memberi amaran keras.

Puan Lidiya tertawa lagi.

"Okey. Nanti ibu bagi nama tempat tu. Pakai lawa-lawa tau. Jangan buat perangai pelik. Kalau ibu tahu, siap Sofea." Giliran Puan Lidiya pula memberi amaran.

Sofea teringat insiden sebelum ini, di mana dia memakai rambut palsu berwarna perang sewaktu menghadiri janji temu. Ada juga yang dia makan dengan begitu rakus sehingga ditinggalkan lelaki itu kerana malu menjadi perhatian meja-meja lain. Tidak lupa juga insiden di mana dia berpakaian rock dengan mekap yang mengerikan.

Sejak itu, sudah agak lama ibunya tidak memaksa dia untuk berjanji temu.


TIBA di lobi hotel, Sofea mencari lif dan naik ke restoran.

[Terbit & Revamp] Misi Memikat Anak Raja / Terlanjur MilikmuWhere stories live. Discover now