BAB 7

892 83 4
                                    

Setelah tiga hari, Sofea menyerah kalah!

"Cik Sofea, tolong pegang balik buku tu," tegur Natalia di hujung talian.

"Hari ni dah hari ketiga, Cik Natalia. Berapa lama lagi I kena pura-pura jadi ulat buku?" Sofea membetulkan airpods yang melekat di telinga.

Ya! Dia harus berpura-pura membaca buku, tapi sehingga ke hari ini batang hidung Tengku Adam langsung tak kelihatan. Seperti apa yang dikhabarkan Natalia, kafe ini adalah tempat kegemaran Tengku Adam.

"Please, Cik Sofea. Info yang kami dapat ni memang tepat dan bukan senang kami nak dapatkannya," luah Natalia.

Sofea yang mendengarnya, mendengus. Dia kembali memegang buku yang diletak tadi. Langsung tidak berminat dengan buku yang berada di tangan kerana ia berkisarkan galaksi.

Entah sudah berapa kali dia menyelak setiap helaian muka surat. Selain itu, dia juga sedaya upaya menahan dirinya daripada menguap.

Tidak lama kemudian, terdengar bunyi pintu terbuka dari luar dan beberapa orang lelaki berpakaian hitam masuk.

"Tengku Adam!" kata Natalia di hujung talian.

Belum sempat Sofea memanjangkan leher, suara Natalia sekali lagi kedengaran.

"Jangan tengok!" Natalia memberi amaran.

Sofea terus melekatkan semula pandangan pada buku yang dipegang.

Setelah beberapa minit berlalu, dia dapat merasakan yang Tengku Adam berada selang beberapa meja daripadanya.

Sofea diam tidak berkutik. Tangannya menggenggam buku yang dipegang, cuba menutup perasaan gugup yang tiba-tiba hadir.

"Jangan nervous," pesan Natalia.

Sofea cuba berlagak tenang walaupun jantungnya rasa seperti mahu meletup.

"Sekarang, minum air sambil baca buku. Jangan hilang fokus." Natalia memberi arahan lagi.

Sofea terus menyisip air coklat di hadapannya. Mata masih pura-pura membaca.

Setelah hampir sepuluh minit dalam posisi yang sama, akhirnya Natalia membuka mulut, memberi arahan seterusnya.

"Saya telefon sekarang. Jangan terkejut dan cakap macam biasa," pesan Natalia.

Dengan pantas, Sofea mencabut airpods di telinga kanan dan dimasukkan ke dalam poket baju. Dia sudah bersiap sedia.

Terdengar bunyi deringan telefon bimbit yang diberi Natalia kerana telefon bimbitnya disambung pada airpods untuk berhubung dengan Natalia. Terus Sofea meletak penanda buku pada muka surat yang sedang dibaca.

"Helo," sapa Sofea.

"Okey, Cik Sofea, sekarang kita dah berjaya tarik perhatian Tengku Adam. Saya nak Cik Sofea senyum sambil bercakap." Natalia mengeluarkan arahan seterusnya.

Sesiapa saja pasti akan menoleh ke arah deringan telefon bimbit. Apalagi jika mereka berada di tempat yang sunyi.

Sofea tersenyum sambil ketawa perlahan.

"Sekarang perlahan-lahan buka topi dan betulkan rambut," tambah Natalia lagi.

Sofea mahu saja ketawa sekuat hati, tapi dia perlu menahan diri bagi memastikan semunya berjalan dengan lancar.

"Ada dekat kafe, tengah baca buku." Sofea buat dialog sendiri.

Tangannya menarik topi yang dipakai dan diletak di atas meja. Rambut yang terikat elok tadi kini sudah terlepas dan mengurai seperti iklan syampu. Tangannya perlahan-lahan merapikan rambut.

"Sambil pandang luar."

Natalia sengaja memilih meja yang dekat dengan tingkap untuk melihat pemandangan di luar. Natalia juga telah mengupah beberapa orang untuk duduk di kerusi yang telah disiapkan oleh RH Agency. Ini bagi mengelakkan Tengku Adam berada jauh daripada Sofea.

Sofea memandang ke luar tingkap. Dia menutup wajahnya sedikit dengan tangan kanan kerana silau terkena cahaya matahari.

"Ya ke?" balas Sofea.

"Good! Sekarang kemas barang-barang masuk dalam beg, buku yang you baca tadi jangan masukkan," pesan Natalia lagi.

"Rasanya dalam 10 minit dari kafe ni." Buku nota saiz A6 dan pen yang berada di atas meja dimasukkan ke dalam beg sandang.

"Pakai balik topi, pegang buku dan keluar dari situ. Waktu nak keluar nanti, tengok Tengku Adam." Natalia memberi arahan.

Kali ini lebih terperinci.

Sekali lagi Sofea menahan tawa. Dia rasa seperti berada di set penggambaran pula. Topi diletak kembali di atas kepala dan beg galas disangkut ke bahu.

"Okey, kejap lagi I sampai," kata Sofea sebelum memutuskan talian dan telefon bimbit dimasukkan ke dalam kocek seluar.

Sofea bangun dan mencapai buku yang dibaca tadi. Tangan kiri pula memegang kunci kereta. Dia berjalan menuju ke pintu keluar. Sewaktu di pertengahan jalan, dia memandang sekilas Tengku Adam yang turut memerhatikannya.

Sofea terus keluar dari kafe dan masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan dan dia memandu meninggalkan kafe.

Akhirnya, tawa yang ditahan dilepaskan sekuat hati apabila teringatkan situasi yang berlaku tadi. Dia tak dapat bayangkan Tengku Adam masuk ke dalam perangkap hanya dengan beberapa langkah yang boleh dikatakan ketinggalan zaman.

Mesti dia ni jenis yang innocent. Baguslah! Senang sikit kerja aku, kutuk Sofea dalam hati.

Rasa lega kerana usaha Natalia sedikit sebanyak membuahkan hasil. Dia berjaya menarik perhatian Tengku Adam.


Tengku Adam melihat Natalia yang berada di luar kafe. Dia hanya mengikut rentak permainan yang diatur oleh Natalia untuknya. Padahal, dia sudah tahu tentang semua ini sebelum ia disampaikan kepada Sofea.

Tengku Adam yang mencadangkan kepada Natalia supaya memulakan rancangan di kafe itu. Dia sengaja biarkan Sofea ternanti-nanti selama tiga hari. Mahu melihat sejauh mana wanita itu mampu bertahan. Buku yang dipegang Sofea juga adalah ideanya sendiri.

"Oder macam biasa. Aku tunggu dalam kereta," arah Tengku Adam sebelum keluar dari kafe tersebut.

Emir mengangguk. Sudah tahu minuman yang selalu dipesan Tengku Adam.

Arin, Arin... Senang sangat kau kena tipu. Kau percaya bulat-bulat bila Natalia cakap aku suka baca genre tu. Memikirkan hal itu saja sudah cukup untuk buat dia menggeleng. Rasa kelakar.

[Terbit & Revamp] Misi Memikat Anak Raja / Terlanjur MilikmuWhere stories live. Discover now