BAB 6

922 80 8
                                    

Sampai di tempat yang dinyatakan, Sofea dibawa ke sebuah kafe yang berada di situ. Dia menerima panggilan daripada RH Agency, mengarahkan dia untuk mengikuti aktiviti sukan berkuda. Mujur ada kekosongan, jadi Sofea boleh mula dalam masa terdekat.

Selesai memperkenalkan diri, Encik Kamal, lelaki 40-an yang akan menjadi jurulatih Sofea, menerangkan serba sedikit tentang sukan berkuda sebelum beredar dari kafe, meninggalkan Sofea sendirian.

Sofea menyisip air yang dihidangkan. Matanya memandang rumput menghijau yang terbentang cantik di hadapannya. Matahari juga sudah terik memancarkan sinar.

Kelihatan beberapa orang yang lengkap berpakaian polo selang beberapa meja dengannya, sedang menikmati juadah sarapan pagi.

Seorang wanita yang melihat Sofea sedang memandang ke arahnya terus melemparkan senyuman. Sofea membalas senyuman wanita itu.

Lama dia mengelamun sehingga terdengar bunyi sudu terjatuh di atas lantai. Dia terus mengambil topi yang berada di atas meja dan memakainya semula. Dia terpaksa memakai topi kerana tak sempat merapikan rambutnya pagi tadi.

Kakinya menuju ke pintu keluar, mahu pulang dan menyambung tidur yang terganggu. Belum sempat dia sampai ke pintu, badannya dilanggar seseorang.

Sofea melihat orang yang melanggarnya itu dan mengukir senyum. Dia menundukkan badan sedikit supaya berada sama paras dengan kanak-kanak itu.

"Lain kali hati-hati tau. Macam mana kalau awak jatuh tadi?" pesan Sofea sambil mengusap rambut kanak-kanak perempuan itu.

Sofea pasti yang ibu atau bapa kanak-kanak itu salah seorang ahli polo selepas melihat pakaian yang dikenakannya.

Belum sempat kanak-kanak perempuan itu membuka mulut, tangan lain menarik lengannya.

"Hana, minta maaf cepat." Wanita yang tersenyum kepada Sofea tadi berdiri di samping kanak-kanak perempuan itu.

"Eh, tak apa." Sofea menegakkan badan kembali.

Dia menghadiahkan senyuman kepada Hana dan ibunya. Belum sempat Sofea berlalu, dia terdengar satu suara garau dari belakang.

"Hana, lagi?"

Sofea memalingkan wajah sebelum memandang ke hadapan semula dan cepat-cepat berlalu pergi dari situ. Tidak menyangka akan bertemu dengan Tengku Adam secepat ini.

Untung dia memakai topi, jadi wajahnya tidak kelihatan. Laju dia menonong tanpa menoleh sedikit pun.

Tengku Adam melihat susuk tubuh yang hilang di sebalik pintu kaca seperti lipas kudung, kemudian memandang pula Tengku Inara yang menjongketkan bahu.

"Kenal ke?" tanya Tengku Inara.

Tengku Adam tidak menjawab.Hana didukung dan dia kembali duduk di mejanya tadi.


Tengku Adam merenung Natalia yang terkulat-kulat. Mungkin masih terkejut melihat dia berada di dalam bangunan RH Agency.

"Siapa yang bayar?" tanya Tengku Adam tanpa berselindung.

"Si... Siapa, apa?" Natalia pura-pura tidak mengerti.

Tengku Adam membuat isyarat dan Emir masuk, lalu menghulur fail. Dia membuka fail tersebut dan diletak di atas meja.

Natalia membaca setiap perkataan yang tercetak di atas kertas putih itu dengan teliti. Dia menutup mata seketika. Cuba mencari jalan keluar.

"Saya boleh terangkan, Tengku," ujar Natalia.

Tengku Adam berpeluk tubuh. "Saya cuma nak tahu siapa."

Natalia menggeleng. "Maaf, Tengku. Saya tak boleh dedahkan maklumat klien kami."

"Emir," panggil Tengku Adam.

Emir kembali ke ruangan yang ditinggalkan tadi. "Ya, Tengku?"

"Agensi ni ada berapa staf?"

"151 orang, Tengku."

Tengku Adam kembali memandang raut Natalia yang sudah berubah.

"151 orang hilang kerja, disebabkan seorang klien. Berbaloi ke?"

Natalia tidak menjawab. Tanggungjawab yang digalas selama ini jadi semakin berat. Tengku Adam seorang yang berpengaruh. Dia tahu, Tengku Adam tidak akan duduk diam selagi tidak menemui jawapan yang dikehendakinya.

"Saya tak suruh awak batalkan perjanjian dengan klien tu. Awak boleh teruskan rancangan awak macam biasa. Saya cuma nak tahu, siapa yang jadikan saya sebagai target. Kalau awak tak nak bagi tahu, staf lain boleh bagi tahu saya. Tapi, saya tak janji syarikat ni selamat, kalau sampai staf lain yang kena bagi tahu saya." Tengku Adam mengugut.

Natalia menatap wajah Tengku Adam. Dia menelan liur. Tengku Adam kelihatan serius dengan kata-katanya.

"Emir, bagi tahu wartawan pasal syarikat ni." Tengku Adam mengeluarkan arahan.

Natalia masih tidak mengalih pandangan. Dia buntu.

"Awak tahu kan apa yang bakal terjadi dekat agensi ni kalau wartawan tahu? Sekelip mata, nama-nama klien awak akan tersebar." Tengku Adam menghadiahkan senyuman.

Natalia tahu kegigihan wartawan bila mengorek tentang sesuatu isu. Dia tiada pilihan lain kerana kehidupan rakan sekerja dan maklumat klien menjadi taruhan.

Tengku Adam berdiri. "Okey, saya dah tahu jawapan Cik Natalia."

Natalia melihat Tengku Adam yang mula mengatur langkah. "Tengku..."

Tengku Adam menarik senyum apabila dengar namanya dipanggil. Mimik muka kembali pada asal sebelum berpusing.

[Terbit & Revamp] Misi Memikat Anak Raja / Terlanjur MilikmuWhere stories live. Discover now