Keesokan harinya, seperti biasa, sebaik sahaja terdengar laungan azan Maghrib berkumandang dari pembesar suara di surau berhampiran, aku segera keluar dari rumah dan berjalan menuju ke surau yang tidak jauh dari tempat penginapanku. Menunaikan tuntutan dalam Islam sememangnya wajib, dan sejak kecil lagi, aku telah diasuh dan dilatih oleh kedua-dua ibu bapaku untuk menunaikan kewajiban ini. Mereka mula membimbingku sejak umur lima tahun, meskipun pada waktu itu aku belum mencapai usia akil baligh.
Namun, setelah umurku melebihi tujuh tahun, jika aku tidak ke surau untuk solat Maghrib berjemaah, pasti daging punggungku akan merasa libasan tali pinggang. Ibu bapaku bukanlah segarang harimau, tetapi mereka tegas dalam mendidik anak. Begitulah kewajipan yang sering dituntut dalam sesebuah keluarga Islam...sama ada miskin atau kaya, semuanya sama.
Selepas menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama kira-kira lapan atau sembilan orang lelaki...tidak cukup untuk satu saf kerana ramai yang masih belum pulang dari tempat kerja, aku tidak berlengah. Dengan segera aku pulang ke rumah untuk mengambil peralatan membaiki mesin basuh Toshiba, seperti yang telah aku janjikan kepada Cik/Puan Ustazah Nur Zaleena yang tinggal di blok yang sama...hanya di unit yang berbeza, iaitu A5-25 di pangsapuri tersebut.
Peralatan yang biasanya aku bawa dan gunakan untuk membaiki perkakasan elektrik termasuklah seunit pocket Digital Multimeter, sebatang test pen, dan satu beg kecil yang berisi empat batang pemutar skru...dua jenis plus (saiz kecil dan besar) serta dua jenis minus (saiz kecil dan besar). Selain itu, aku juga membawa satu plier cutter dan satu long-nose plier. Kerja-kerja sebegini bukanlah perkara baru bagi aku...sudah lebih 20 tahun aku melakukannya. Semuanya aku anggap sebagai kerja 'amal,' yang dilakukan berbekalkan kemahiran dan pengalaman yang aku ada.
Boleh dikatakan sekitar 90% hingga 95% daripada perkakasan elektrik dan elektronik yang aku baiki berjaya dipulihkan dengan sempurna dan masih boleh terus digunakan. Namun, bagi yang sudah 'nyawa-nyawa ikan,' baki 5% hingga 10% itu selalunya akan 'jahanam' juga. Kebanyakan yang tidak dapat dibaiki adalah disebabkan part yang hendak digantikan atau sudah obsolete dan tidak lagi dijual di kedai. Jadi, faham-fahamlah kalau ia perlu diganti dengan unit yang baru. Yang paling orang suka dan hargai adalah hakikat bahawa aku tidak akan mengambil sesen pun upah jika berjaya membaiki kerosakan. Ya, inilah yang dinamakan kerja 'amal.'
Namun begitu, jika terdapat kerosakan yang memerlukan pembelian parts atau komponen untuk perlu ditukar ganti, pemilik hanya akan dikenakan bayaran setimpal dengan harga yang aku beli di kedai spare-part elektrik dan elektronik. Itu pun, aku hanya akan mengenakan 'caj' sekiranya harga melebihi RM50. Jika parts di bawah RM50, perkara tersebut boleh dibincangkan atau diketepikan buat sementara waktu. Selain daripada niat untuk bersedekah, aku juga dapat meningkatkan kemahiran dan kualiti diri dalam bidang baik pulih ini. Senang kata, aku memang sangat berminat dengan kerja-kerja sebegini. Nak buat macam mana, kaan?
Malah, semasa aku bekerja makan gaji dahulu, habis satu kokpit pesawat aku geledah—luar dalam, depan belakang. Semuanya peralatan elektronik sudah melekat dalam kepala otak. Allah telah memberikan kelebihan ini kepadaku, jadi aku berusaha untuk menggunakannya sebaik mungkin. Kelebihan ini adalah satu amanah dan bukti kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Setiap tugas yang diberikan wajib dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan rasa syukur.
Walaupun diberi kelebihan ini, ia datang dengan tanggungjawab besar yang kadang kala boleh menjadi tekanan. Namun, apabila kita ingat bahawa semua ini adalah rezeki daripada Allah, usaha kita terasa lebih bermakna.
Untuk menerima upah yang setimpal dengan kerja yang aku lakukan, semua resit disediakan sebagai bukti bahawa penggantian parts tersebut dibeli dengan harga asal dan sebenar. Satu sen pun aku tidak pernah menipu atau mengubah suai jumlah yang tertera dalam resit. Upah bagi keringat, titik peluh, duit minyak kereta dan masa yang terbuang biasanya dianggap sebagai FOC sahaja. Memang aku tidak terlalu ambil kisah tentang upah ini. Bak kata orang, "lebih kurang halal." Itulah cara aku, dan membuatkan kebanyakan kedai-kedai repair electronics menganggap aku seorang yang 'bodoh' dan 'bongok.' Namun, pada pandanganku, mereka-lah yang bodoh dan bongok sebab tidak melihat nilai sebenar dalam kerja amal dan kejujuran aku.
YOU ARE READING
Dahaga Seorang Isteri
RomanceSeorang isteri yang belum dikurniakan cahaya mata sering dilanda kesunyian akibat kesibukan suami yang sibuk mengejar kekayaan duniawi. Suatu hari, takdir menemukan dirinya dengan seseorang yang mampu mengisi kekosongan hati serta membangkitkan kein...