Usai menyempurnakan solat Jumaat di Masjid Jamek yang terletak tidak jauh...sekitar 200 meter dari penginapan 'Rumahku Syurgaku'...aku terus memandu pulang ke rumah. Masih berpakaian baju Melayu Teluk Belanga dan seluar slack berwarna hitam, pakaian rutinku setiap hari Jumaat, yang menjadi simbol tanggungjawabku sebagai hamba-Nya di dunia ini, aku melangkah masuk ke dalam lif menuju aras 5.
Namun sebelum itu, aku singgah sebentar di sebuah bilik khas yang menyimpan sebuah komputer kawalan CCTV pangsapuri ini. Di dalam bilik yang agak gelap, diiringi bunyi desiran kipas server, aku mengatur tetapan privasi untuk menghentikan seketika rakaman video selama sepuluh minit. Masa ini dirasakan cukup untuk aku bergerak tanpa dijejaki secara digital. Selepas tempoh tersebut, semuanya akan kembali berfungsi seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Langkah ini aku ambil bagi memastikan tiada siapa yang dapat meneliti pergerakanku menuju ke aras 5.
Setelah semuanya siap diatur, aku melangkah semula ke ruang lif di tengah perkarangan pangsapuri, di mana dua buah lif berdiri tegak...setia berkhidmat kepada penghuni dari aras 1 hingga aras 10. Biasanya, sebaik pintu lif terbuka aku akan menekan butang ke aras 1 tanpa banyak berfikir. Namun, kali ini tanpa sebarang keraguan, jari-jariku menekan butang ke aras 5 tanpa ada sesiapa di dalam lif. Suara mekanikal lif yang biasa kedengaran menambahkan debaran di dada, tetapi aku sudah bersedia untuk menjejaki rumah pemilik unit itu buat kali kedua.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka di aras 5, aku keluar dengan langkah penuh keyakinan, membelok ke kanan tanpa ada sedikit rasa keraguan. Langkah kaki semakin pantas menuju ke pintu unit bernombor A5-25. Kali kedua aku bertandang ke situ setelah kunjungan pertama untuk membaiki mesin basuh pemiliknya yang rosak. Namun, kali ini ada rasa berbeza menjalar dalam hati...seakan ada sesuatu yang lebih bermakna sedang menantiku di sebalik daun pintu tersebut.
'Ting..tong'
Bunyi loceng dari dalam rumah kedengaran sayup-sayup, seperti bisikan lembut yang merayap masuk ke telinga. Walaupun perlahan, bunyi itu cukup untuk menarik perhatianku yang masih berdiri di luar. Aku hanya menekan loceng sekali...tidak ingin mengganggu ketenangan sesiapa di dalam. Sambil menunggu pintu dibuka, aku memberi salam dengan penuh rasa hormat kepada tuan rumah, memelihara adat dan kesopanan yang selalu aku junjung. Sepasang mataku meliar, memerhatikan unit di sebelah kanan yang bernombor A5-26, kediaman seorang wanita yang sudah dimamah usia, mak Esah... jiran lama yang aku kenali sejak aku kecil.
Mak Esah, kini di usia senjanya yang melebihi 70 tahun, tinggal sendirian setelah menjadi janda bertahun-tahun lamanya. Suaminya, arwah Pak Mansor meninggal dunia kerana sakit tua. Mataku tertumpu pada daun pintu rumahnya, membawa kembali ingatan pada saat-saat ketika mak Esah dan arwah pak Mansor hidup bahagia bersama dua anak mereka, Murad dan Asmidar. Dahulu mereka tinggal bersebelahan dengan rumah arwah ibu bapaku di sebuah kampung yang kini hanya tinggal kenangan. Perintah kerajaan untuk membangunkan kawasan setinggan di selatan tanah air telah mengubah landskap kehidupan kami selamanya. Memori itu menyelinap masuk, membawa aku kembali ke masa lalu yang penuh nostalgia.
Sejurus pintu di hadapanku dibuka, kelihatan seorang wanita yang memiliki rupa paras memukau. Wajahnya putih cerah tanpa cela, senyuman manis terukir pada bibir ranumnya yang dialis gincu nipis. Sepasang mata yang tajam dan menawan memandang tepat ke arahku, penuh debaran menunggu saat pertemuan ini. Wanita itu tampil anggun dengan tudung shawl biru gelap yang melilit leher jinjangnya, mengalir lembut hingga menutupi dada dengan penuh kesopanan. Penampilannya semakin menarik dengan t-shirt putih berlengan panjang dan skirt labuh hitam yang mengalir, membentuk lekuk tubuhnya yang sederhana.
Dengan ketinggian sekitar 158 cm dan berat sekitar 65 kg, Nur Zaleena memiliki ciri-ciri yang menjadi dambaan ramai lelaki. Malangnya, dia sudah berstatus isteri orang meskipun belum dikurniakan cahaya mata yang biasanya melengkapkan kebahagiaan rumah tangga. Debaran di dada semakin memuncak saat melihat kejelitaannya, yang begitu 'natural' tanpa hiasan diri yang berlebihan. Walaupun kami baru beberapa hari berkenalan, Nur Zaleena sudah menunjukkan sikap mesra dan manja, terutama setelah aku membantunya memperbaiki mesin basuhnya yang rosak. Ketika itu, hatiku berdegup kencang, bukan hanya kerana kecantikannya yang sangat memikat, tetapi kerana kesedaran bahawa kehadirannya telah mula mengusik jiwaku setelah pemergian isteriku untuk selama-lamanya.
YOU ARE READING
Dahaga Seorang Isteri
RomanceSeorang isteri yang belum dikurniakan cahaya mata sering dilanda kesunyian akibat kesibukan suami yang sibuk mengejar kekayaan duniawi. Suatu hari, takdir menemukan dirinya dengan seseorang yang mampu mengisi kekosongan hati serta membangkitkan kein...