Sejurus selepas mencuci tangan seusai makan, aku bangun dan berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu. Dengan perut yang masih terasa kenyang, aku menjatuhkan tubuh di atas sofa, merehatkan badan sambil menanti kehadiran Nur Zaleena. Dia akan membawa semangkuk koktel buah-buahan ke ruang tamu untuk dihidangkan kepada tetamu sebagai pencuci mulut. Seperti yang diberitahunya tadi, sebelum itu dia perlu menunaikan kewajipannya...menyempurnakan solat Zuhur dan mengemas dapur terlebih dahulu.
Sambil duduk di atas sofa, mataku melilau ke setiap sudut ruang dalaman rumahnya yang tersusun rapi. Aku tak dapat menahan diri daripada berfikir betapa bertuahnya suaminya. Yelah, suaminya bekerja di Singapura...tak kanlah barang-barang di rumah ni dibeli dari kedai serbaneka atau kedai dua ringgit, kan? Paling tidak pun, barang-barangnya pasti dibeli di IKEA, Sogo, atau Jusco.
Hiasan dalaman rumah itu sememangnya tersusun rapi, cantik, dan penuh gaya, namun yang paling menarik perhatianku bukanlah dekorasinya, tetapi kecantikan dan pesona Nur Zaleena sendiri. Dengan keanggunan yang dimilikinya, aku tak dapat nafikan, setiap kali memandang wajahnya, terasa auranya berbeza daripada yang lain...dia tak perlu bersusah payah untuk memikat hati, senyuman manisnya yang bersahaja sudah cukup untuk memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.
Khairul Annuar: "Leena... boleh abang 'On'kan TV tak?" tanyaku sambil menoleh ke arah dapur. Ketika itu, aku melihatnya baru sahaja keluar dari bilik selepas solat. Dia mula mengemas meja makan dengan wajah tenang dan berseri, menambah lagi daya tarikannya. Suaraku agak perlahan, tak mahu mengganggu tugasnya, tetapi dalam hati tak sabar juga nak tengok TV sambil sesekali mencuri pandang ke arahnya.
Nur Zaleena: "Abang nak tengok TV, 'On' je, remote ada kat atas rak," jawabnya lembut dari arah dapur. Tanpa berlengah, aku bangun dan melangkah ke arah rak di sebelah TV. Aku capai remote control yang disebutkannya. Di hadapan aku, terpampang sebuah 'smart TV' LED 65 inci jenama Hisense, terpasang kemas di dinding batu ruang tamu. Saiznya yang besar dan kualiti gambarnya yang tajam memang cukup memukau, seolah-olah membawa aku terus ke dalam dunia nyata yang dipaparkannya. Dalam hati, aku tersenyum memikirkan betapa seronoknya dapat menonton apa saja cerita di TV sebesar ini.
Khairul Annuar: "Owh... ada Netflix ya?" tanyaku dengan senyuman sebaik saja TV dinyalakan. Sebenarnya aku sudah tahu, kerana sebelum ini aku perasan itu sebuah 'smart TV' LED jenama Hisense yang boleh disambungkan ke internet. Lagipun, tidak jauh dari situ terlihat juga 'router' WiFi di atas rak, lampunya berkelip-kelip seolah-olah mengiyakan tekaan aku. Dalam hati, aku mula membayangkan betapa seronoknya nanti dapat melayan filem atau siri kegemaran di skrin sebesar ini.
Nur Zaleena: "Ada, bang. Kalau abang nak buka... buka lah. Kod password 0525," jawabnya. Wah, kodnya sama pula dengan nombor unit rumahnya. Boleh aku 'ciplak', fikirku dalam hati. Di rumah aku, Netflix sudah kena potong bulan lepas sebab terlupa bayar 'due date'. Yelah, jarang tengok, rasa macam membazir pula bayar RM10 setiap bulan. Bukannya berkira atau kedekut, cuma memang tak perasan. Akaun Netflix itu pun aku kongsi dengan tiga kawan lain.
Selesai 'log in', aku memanggil Nur Zaleena ke ruang tamu untuk minta alamat e-mel yang didaftarkan. Setelah diberi, aku sempat 'snap' menggunakan kamera telefon ketika dia berpatah balik ke dapur, tanpa pengetahuannya. Namun, sehingga hari ini, aku tak pernah mengakses akaunnya walaupun dia sudah beri kebenaran. Sebenarnya aku rasa sedikit serba salah juga, terutama selepas tahu Netflix yang dilanggannya itu dibayar RM50 sebulan dalam satu akaun! Wah, macam kaya, tapi tetap rasa membazir sebab dia dan suaminya pun jarang menontonnya.
Dengan remote control di tangan, aku terus menghempaskan diri ke atas sofa panjang yang kelihatan mewah dan pastinya mahal harganya, jauh berbeza dengan sofa murah yang aku beli di kedai perabot biasa. Sofa sepanjang lapan kaki dan lebar tiga kaki ini memberikan keselesaan luar biasa. Ruang tamu rumah Nur Zaleena hanya memiliki satu sofa panjang, cukup untuk mengisi ruang pangsapuri kami yang berkeluasan 850 kaki persegi setiap unit. Memang tak sebesar banglo atau rumah mewah teres dua tingkat, tetapi tetap terasa nyaman dan selesa.
YOU ARE READING
Dahaga Seorang Isteri
RomanceSeorang isteri yang belum dikurniakan cahaya mata sering dilanda kesunyian akibat kesibukan suami yang sibuk mengejar kekayaan duniawi. Suatu hari, takdir menemukan dirinya dengan seseorang yang mampu mengisi kekosongan hati serta membangkitkan kein...