Bab 1
"Uiih... betul ke ni adik kita ni? Unbelievable!"
"Kan along? Macam tak percaya pulak adik kita boleh jadi selawo ni. Maklumlah kita dah biasa tengok dia sememeh manjang."
"Seriously, korang?" Satu lagi suara garau menyampuk di sebelah sana. "So korang nak cakap yang selama ni adik tak lawalah? Please eh! Dalam ramai-ramai anak mama dan abah, adik terpaling lawa. So adik, bilik ni confirm kan dapat dekat angah?"
"Perghh. Patutlah kau backup adik beria, angah. Puji ada makna rupanya!"
Aralyn di sini ketawa besar. Senda gurau ketiga-tiga abangnya yang berdiri di hujung bilik membuatkan dada kembang kuncup penuh bahagia. Happy sangat-sangat! Malah seperti ada kuasa magis, suasana di dalam kamar tidurnya ini tak ubah seperti dipenuhi warna-warna pelangi.
Dalam banyak-banyak nikmat dunia yang dikecapinya, nikmat inilah yang paling dia syukuri. Malah sejak dari kecil dia sentiasa dimewahkan dengan kasih sayang dari along, angah dan juga uda. Bergelar si bongsu dan satu-satunya 'bunga' dalam adik beradik, Aralyn tak pernah pula rasa terasing. Siap boleh jadi geng sekepala lagi.
Dari cermin almari solek, pandangan Aralyn menatap wajah ceria ketiga-tiga abangnya. Masing-masing tak nak kalah bergaya. Semua handsome dan smart mengenakan baju Melayu putih, berkain samping serta bersongkok hitam.
Siapa sangka kan? Diantara mereka empat beradik, si bongsu pula yang terlebih dulu memanjat tangga pelamin. Sampai tiga bendul dia langkah sekali. Walaupun baru berusia 26 tahun, mungkin masih dianggap mentah pada sesetengah orang, namun Aralyn bersyukur kerana niatnya tak dibantah keluarga. Malah mama dan abang sentiasa menyokong setiap keputusan hidupnya.
Tak ada sebab untuk mama dan abah menolak Zaidan memandangkan mereka berdua sudah sekian lama bercinta. Dulu Zaidan merupakan salah seorang senior dia ketika di universiti. Tua tiga tahun darinya. Konon nak bercinta monyet saja, galak nak berabang angkat, tak sangka pula hubungan mereka kekal terjalin sampai sekarang.
Hah, siap nak bernikah dah pun pagi ini!
Bagi Aralyn, Zaidan memang pilihan yang sangat tepat untuk dijadikan suami. Sudah banyak yang telah dibuktikan oleh Zaidan sehingga tak ada satu pun yang mampu dia rungutkan. Jadi bila dirinya dilamar lelaki itu, sudah tentu dia menerima dengan hati terbuka. Nak tangguh lama-lama pun buat apa? Buat jadi buah mulut orang aje!Pandangan Aralyn masih terhala ke dada cermin di depannya. Ditatap penampilan dirinya yang sudah sempurna berhias. Semakin dipandang, semakin dia hanyut dilambung perasaan teruja. Kerana saat ini dia sendiri terpesona dengan hasil make up dari MUA pilihannya. It's so perfect! Sama seperti apa yang dia impikan selama ini.
Untuk majlis akad nikah, Aralyn memilih make up look yang tak terlalu tebal. Lebih kepada natural tone color supaya dia kelihatan manis dan sopan. Tak perlu nak over-over sangat memandangkan majlis pernikahan sebentar lagi akan berlangsung di masjid. Gincu bibirnya pun nude color saja. Bukan warna merah menyala umpama satu kilometer dah boleh nampak. Hehe!
Kepalanya yang selama ini 'togel' tertutup kemas dengan shawl berwarna offwhite. Yang pada atasnya dilantar pula dengan veil berkerawang separas pinggang. Nampak agak over the top tapi masih berjaya 'dilembutkan' kerana dia memakai baju kurung pahang yang sangat simple. Tak ada manik, tak ada labuci, tak ada lace, tak ada apa-apa.
Kalau nak tengok dia bergaya beria-ia, kena tunggu majlis resepsi yang bakal dilangsungkan di sebuah hotel terkemuka pada bulan depan. Hah, time itu memang dia nak melaram cukup-cukup. Baju pun jangan main-main, fashion designer terkenal yang buatkan. Maklumlah experience sekali seumur hidup.
"Subhanallah, cantiknya anak mama. Sebijik macam artis!"
Aralyn sedikit tersentak dengan kehadiran ibunya yang baru muncul di sini. Namun pantas pula bibir tersengih tatkala pelukan hangat mama berlingkar pada tubuhnya. Kalau bukan kerana mama, tak mungkin majlis perkahwinannya dapat berlangsung meriah.
Mama kalau anjurkan birthday party ke, majlis kenduri ke, memang tak pernah tak beria-ia. Semua perlu serba sempurna dan memuaskan hati para tetamu, barulah berkat kata mama.