Bab 6
Anak mata Aralyn meneroka bebas pada sekujur tubuh yang sedang berbaring terlentang itu. Selimut quilt tebal berwarna biru gelap hanya menutupi separas pinggang saja. Menyerlahkan bahagian atas badan yang berotot pejal. Confirm kaki gym mamat ni. Orangnya taklah setegap ahli gusti, tapi bertubuh sangat fit. Macam Zaidan jugalah.
Buat seketika Aralyn hanya diam merenung wajah yang mungkin masih asyik meneroka alam mimpi itu. Ya Allah, apa yang patut dia buat untuk Jibril bersetuju membantunya? Sekarang ni susah betul nak pujuk atau meyakinkan Jibril sebab lelaki itu memandangnya sebagai si hantu. Si hantu yang asyik datang mengacau saja.
Jibril Maliki bin Hishamudin. Itulah nama penuh yang dia baca pada sampul surat di atas meja lelaki itu pagi tadi. Dan Aralyn benar-benar yakin yang Jibril memang dapat melihat kewujudannya. Nampak, tapi pura-pura buta. Dengar, tapi berlakon macam si pekak. Hesy, geram betullah!
Kalau bukan kerana terdesak, dia pun tak kuasalah nak mengganggu Jibril. Lebih baik dia duduk dekat hospital temankan keluarga dia. Pandang muka mama, tenung muka ayah, along, angah dan uda sepuas-puasnya. At least kalau ditakdirkan dia mati, setidaknya dia dah luangkan masa sehingga ke nafas terakhir bersama mereka.
Tapi itulah, dia tak nak pergi begitu saja. Jadi dia perlu berusaha untuk meraih kepercayaan Jibril secepat mungkin. Suka atau tak, ikhlas mahupun terpaksa, lelaki ini tetap kena tolong dia. Compulsary!
Lama merenung dari jauh, akhirnya Aralyn bergerak mendekati katil bersaiz queen itu. Tegak dia berdiri di tepi katil dengan pandangan tajam masih melekat pada muka Jibril. Dari jarak sedekat ini, telinga mula dapat menangkap bunyi dengkuran halus yang terbit dari bibir lelaki itu. Huh, lena betul tidurnya.
Perlahan-lahan Aralyn membongkokkan badan seperti posisi sedang rukuk. Kepalanya terteleng sedikit. Cuba mengintai wajah Jibril yang masih rapat memejam mata. Dia tak rasa lelaki ini sekadar berpura-pura tidur demi mengelak dari ditegur olehnya. Sebab dia tengok nafas di dada Jibril berombak senada saja.
Saat ini Aralyn tak sedar rambutnya yang panjang mengurai telah menyentuh perut Jibril yang terdedah. Teroleng-oleng di situ seperti sedang menggeletek lembut. Dan Jibril yang masih tersesat di dunia mimpi mula tersenyum sendiri. Kegelian. Sebab di matanya ketika ini, dia sedang membelai seekor kucing parsi berbulu kembang. Bukan main manja lagi kucing itu meleseh-leseh manja di atas perutnya.
Hesy, cute betullah kau ni kucing. Ikut aku balik rumahlah, jadi housemate aku. Desis hati Jibril penuh teruja.
Namun keterujaan itu tak berpanjangan. Dia nampak ada sepasang tangan berkuku panjang kehitaman tiba-tiba muncul entah dari mana. Kucing putih di tangannya cuba direbut, namun semakin kuat dia memegang. Diburu perasaan cemas yang menggila, laju dia mengangkat muka.
Nahhhh, tuuu dia! Lembaga bermuka sangat hodoh sedang menatap pandangannya penuh bengis. Sepasang mata bulat itu terbuntang dan terbeliak luas. Eeee, menakutkan betullah!
Jibril kian cemas dan berpeluh-peluh. Walaupun dia cukup terdesak untuk melarikan diri bersama si kucing tadi, tapi kaki bagaikan lumpuh. Gagal berfungsi. Membeku saja dia laksana sudah dipasak dengan paku ke bumi. Seluruh tubuhnya tak berdaya, hilang tenaga. Seolah-olah dia telah disihir oleh kuasa hitam di makhluk hodoh yang sedang menyeringai kepadanya.
Mata Jibril terbeliak kaku. Tangan berkuku panjang itu pula kini perlahan-lahan bergerak ke lehernya. Seperti mahu mencekik dan meregut seluruh nyawa. Dan dalam masa yang sama, dia mula tersedar sesuatu. Otak segera menghantar isyarat dan maklumat yang lebih masuk dek akal.
Ya, dia yakin dia sedang bermimpi. Bangun! Wake up, Jibril! Wake up!!
Dan serentak itu, kelopak matanya terbuntang luas. Cuma tak sempat nak menarik nafas penuh kelegaan, bukan main kuat tekak melontar jeritan. Bagai nak terpelanting jantungnya bila menyedari ada seraut wajah berada betul-betul dekat di depan mata!