Bab 2 : Dancing With Your Ghost

113 12 1
                                    

Bab 2

​"Adik, bangunlah adik."

​Dengan rasa mengantuk masih bergayut di kelopak mata, Aralyn  tersenyum sendiri. Mama oh mama! Mama memang suka sangat kacau dia tidur. Kalau hari cuti, pagi-pagi lagi mama sudah menerjah ke biliknya. Kejutkan dia dan mengajak dia turun ke bawah untuk bersarapan bersama abah. Kalau tak diajak bersarapan, dia dipaksa pula mengikut mama ke pasar untuk membeli barang-barang dapur.

​Kononlah kena paksa, padahal Aralyn paling beria sekali nak mengikut mama. Sebab dia cukup suka melihat ketelitian mama memilih ikan, udang, sotong dan sayur-sayuran. Boleh jugalah tambah ilmu di dada memandangkan dia bakal menjadi suri hidup Zaidan tak lama lagi.

Malu wei kalau bertandang ke rumah mentua tapi tak kenal jenis-jenis sayur dan ikan! So tak nak malu punya pasal, gigihlah dia belajar dengan mama. Berharap dapat jadi isteri serba tahu lauk kepada Zaidan suatu hari nanti. Hehe!

​"Adik, bangunlah sayang. Mama... mama tak boleh tengok adik macam ni."

​Mendengar suara ibunya berlagu sayu dan sedih, Aralyn rasa nak gelak kuat-kuat. Mengenali mama, mama memang suka sangat berdrama. Macam minggu lepaslah, mama berpura-pura menangis di tepi katilnya. Bila dia kelam kabut bingkas bangun, boleh pula mama gelakkan dia. Tak sangka mama pun dah pandai buat prank macam abang three stoogesnya. Sabar ajelah!

​Walaupun kepala masih terasa sangat berat, gigih juga Aralyn  merenggangkan kelopak mata. Berkuntum senyuman di bibir tatkala memandang mama yang duduk di tepi katil. Kepala mama berteleku sangat dekat dengan lengannya.
Wow, penghayatan kelas A nampaknya hari ini. Siap terlentok-lentok menangis, so funny my mother!

​"Mama, dahlah tu. Mama sebenarnya nak adik temankan mama pergi mana hari ni?" Aralyn menyoal dengan nada menahan tawa. Gelihati. Tapi pertanyaannya langsung tak bersahut. Apa yang dia lihat sekarang, badan mama semakin kencang pula terhinggut-hinggut. Esak tangis juga semakin lama semakin jelas ke telinga.
​"Olor, sedih sangat tu kenapa? Dahlah, mama."

​"Adik, bangunlah sayang. Bangunlah..."
​"Hello, adik dah bangunlah ni." Balas Aralyn  dengan sengihan lebar menayang gigi.

Dan tanpa sengaja telinganya mula mengesan bunyi beep beep yang tak senada. Dalam keadaan masih berbaring, anak mata mula menjelajah ke sekeliling. Dan sekarang matanya terus membulat. Terkejut bila menyedari yang dia berada di kamar berbeza. Bukan dalam bilik tidurnya yang serba serbi putih.
​Ruang bilik dengan cat berwarna beige ini menghantar debaran kencang ke dada Aralyn. Dan satu per satu objek mula kelihatan semakin jelas di ruang matanya. Dan sekarang baru dia tersedar yang dia berada di dalam bilik wad hospital.

But... why? What happened? Dia sakit apa?

​"Adik, please jangan tinggalkan mama.

Dengan riak sedikit cemas, laju Aralyn menoleh ke sebelah kiri. Ketika ini pandangannya tepat terpanah di wajah si ibu yang basah dengan airmata. Sedarlah dia yang mama bukan berlakon menangis, tapi memang betul-betul sedang meratap hiba. Mungkin mama terlalu risau bila melihat dia asyik terlantar di atas katil saja.

"Kalau adik sayangkan mama, sayangkan abah, along, angah dan uda, tolonglah bangun. Please, bangunlah adik. Mama tahu adik boleh dengar suara mama."

Aralyn terkebil-kebil dengan permintaan ibu kesayangannya. Iya, dia memang boleh mendengar dengan jelas suara mama. Malah sekarang mata dia dah pun terbeliak luas. Tapi kenapa mama masih meminta dia untuk bangun? Atau mama mahu dia bangun dan duduk di atas katil? Baru mama yakin dia sihat walafiat?
Ok, fine. I'll do it.

Terkial-kial Aralyn menolak tubuh dengan kedua belah tangan. Lega sungguh bila dia dapat duduk tegak di atas katil ini tanpa sebarang kesakitan. Cuma yang peliknya, mama tak pula memandang ke arahnya. Mama masih kekal menundukkan muka dan menangis tanpa henti.

Dancing With Your GhostWhere stories live. Discover now