Bab 8
Sepanjang pagi sampai ke petang, Aralyn hanya berlegar-legar di dalam bilik wad tempat jasadnya terbujur kaku. Nak buat apa lagi? Takkan nak pergi kerja dekat office pulak? Apa sangatlah dia boleh buat dengan menyibuk dekat situ. Masuk hari kelapan, masih belum banyak perubahan yang dapat dilihat pada badannya. Dia tetap juga diisytihar koma, belum sedar-sedar juga sampai sekarang.
Dan semalam sekali lagi tubuh kakunya dikejarkan ke bilik pembedahan akibat pendarahan yang belum berhenti keluar dari beg urinnya. Bila diperiksa oleh pakar bedah, luka pada hempedunya kembali berdarah semula. Jadi doktor memutuskan untuk membuang keseluruhan organ tersebut demi menyelamatkan nyawanya.
Menangis Aralyn bersama-sama mama, abah dan abang-abangnya di sini semalam. Walaupun dia masih boleh survived tanpa organ yang satu itu, namun imunne system badannya dikatakan bakal merosot. Jika sembuh pun suatu hari nanti, dia berdepan dengan risiko mudah dijangkiti penyakit.
Ya Allah, dah ditarik sedikit demi sedikit nikmat kesempurnaan tubuh badannya.
Namun syukurlah kerana pembedahan tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi. Dan Alhamdulillah, tak ada lagi pendarahan susulan sepanjang hari ini. Doktor serta jururawat di sini juga sentiasa memantau rapi keadaannya. Mama dan abah tak payah cakaplah, memang tak pernah tinggalkan dia seorang diri. Bergilir-gilir mereka berdua duduk di sisinya sambil membaca Al-Quran tanpa henti.
Demi Tuhan, jiwa Aralyn sangat terdera dan sentiasa hiba. Siapa tak sedih kalau tengok mak ayah sendiri asyik menangis dan menangis? Sampai tak cukup tidur, tak cukup rehat, makan minum pun tak menentu. Memang sedih sungguh! Padahal itulah perkara yang paling dia cuba elakkan dari terjadi.
Dalam usia tua begini, sepatutnya mama dan abah berehat dengan tenang dan aman di rumah. Bukan runsingkan keadaan si anak yang masih teroleng-oleng tanpa pengakhiran. Hidup, tapi umpama sudah mati. Bernafas, tapi bagaikan dah tak bernyawa. Allah saja yang tahu sampai bila dia perlu berkeadaan begini.
Dan ketika azan Maghrib berkumandang dari masjid di luar bangunan hospital, Aralyn dikejutkan dengan kedatangan Dahlia. Bukan dia saja, mama pun sampai terkedu tak bersuara. Maklumlah kes curi yang dikaitkan dengan Dahlia dulu memang agak hangat jugalah. Sampaikan setiap hari dia mengadu kepada mama dan abah. Macam tak percaya dia kena game macam tu saja dengan orang kepercayaannya.
Jujur kata, sampai sekarang Aralyn masih terasa kecewa dengan apa yang telah dilakukan oleh Dahlia. Ini bukan kes tuduh tanpa bukti ya? Memang terbukti Dahlia ada mencuri wang tunai syarikatnya sewaktu mereka mengadakan event di Johor Bahru. Bila tertangkap, memanglah Dahlia mati-mati tak mengaku. Tapi segumpal wang dalam handbag gadis itu membuktikan segalanya.
Dah terkantoi, baru Dahlia nak menangis bagai nak rak. Ya Allah, Aralyn memang betul-betul rasa ditikam kuat-kuat dari belakang. Sedangkan Dahlia antara yang paling setia dalam jatuh bangun perniagaannya sejak hari pertama lagi. Yang sanggup bergelut, bersusah senang bersamanya selain dari Zaidan, Dahlialah. Just imagine apa perasaan dia sewaktu dikhianati Dahlia? Frust gila!
Tapi betullah kata orang, manusia boleh dibutakan dengan wang ringgit. So tak ada apa nak dihairankan kalau pertimbangan Dahlia tiba-tiba tak lagi lurus.
Sejak diberhentikan kerja kira-kira enam bulan lalu, Dahlia memang tak pernah menghubunginya. Terputus terus segala hubungan diantara mereka berdua. Aralyn pun tak sempat nak memikirkan tentang perempuan itu dek kesibukan urusan hariannya. Cuma dia pelik jugalah sebab Dahlia berani betul menunjuk muka di hospital hari ini.
"Saya tumpang bersedih dengan apa yang dah jadi pada Aralyn, aunty."
"Terima kasih, Dahlia. Kamu sekarang kerja dekat mana?" Sayu pandangan Puan Razita terhala kepada Dahlia yang berambut ikal keperangan itu.