Imtiyaz Mateen (4)
TALI leherku di sekeliling leher lelaki itu terlepas, menyebabkan lelaki itu bebas daripada jerutanku. Aku sebenarnya tiada niat untuk membunuhnya, hanya untuk membuatnya pengsan namun dia sepertinya lebih agresif berbandingku, seolah-olah dia sudah biasa bergelut meski tanpa ilmu mempertahankan diri seperti silat, taekwondo dan sebagainya.
Pisau itu ditarik dan darah panasku memancut keluar dengan membuak-buak daripada luka tikaman, membasahi bajuku dan mengalir deras sebelum menitik di lantai.
"Damn it!" Aku mengetap gigi. Rasa sakit mulai menyerangku. Aku masih lagi berdiri meski kekuatan kakiku mulai terasa lemah.
Matanya sepet, cukup membuatku menebak dengan mudah bahawa dia tersenyum sinis di sebalik topengnya itu.
Belum sempat aku mencerna, aku dapat merasakan tikaman kali kedua, erangan kesakitan daripadaku sekali lagi mengisi ruang kedai. Tikaman kali kedua ini membuatku langsung terduduk di lantai. Pisau itu ditarik daripada lukaku tanpa belas kasihan.
Aku masih dapat menahan jeritan kesakitanku kerana bantuan adrenaline.
Nafasku tersekat-sekat. Dadaku berombak ganas merasakan kesakitan itu semakin mencucuk. Tanganku naik untuk menutup luka tikaman pisaunya dipinggangku. Keringat dingin mulai kelihatan jelas di dahiku.
"Siapa kau? Kau takkan boleh lari." Ujarku dengan suara yang tertahan-tahan. Rasa sakit membuatkan tanganku sedikit menggigil menahannya.
"Ini balasannya bila kau masuk campur hal orang lain." Suara garaunya yang tidak pernah aku dengari menyapa gegendang telingaku.
Aku terdiam. Apa maksudnya?
Dia dengan segera mengambil crowbar yang terjatuh di lantai dan berlari keluar dari ruangan kedai Nuha. Aku masih lagi tercungap-cungap dengan peluh di dahiku.
Aku menggigit bibirku menahan rasa sakit. Pandanganku mulai kabur dan berbalam.
Aku mendengar sayup-sayup suara seorang gadis. Dengarnya seperti memanggil namaku atau itu cuma perasaanku saja?
"Encik Mateen! Encik Mateen!"
Tapak kaki seseorang menghampiri tubuhku yang lemah bersandar di kerusi berhampiran.
Aku dapat merasakan seseorang menepuk lembut bahuku. Wajah seorang gadis mulai kelihatan meski tidak terlalu jelas.
"Ya Allah, Encik Mateen! Macam mana encik ada dekat sini?"
Aku ingin menjawab soalannya namun lidahku rasa terpaku, berat untuk digerakkan. Dia mulai mendail nombor di telefon bimbit, menelefon untuk mendapatkan bantuan. Semuanya samar-samar sahaja di sudut pandangku dan aku dapat merasakan kesedaranku akan hilang sebentar saja lagi.
"Bertahanlah, Encik Mateen!"
DADAKU berombak perlahan. Mataku yang terkatup mulai terbuka. Bau ubat menusuk hidungku, menggangu diriku yang terbaring lemah di atas sebuah katil yang terasa empuk.
Cahaya putih menusuk pandanganku sebaik sahaja aku membuka mata. Bebola mataku mulai meliar sebelum sedikit terbuntang merasa terkejut.

YOU ARE READING
His Grief
Romance"Saya nak kahwin dengan cik." Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran gadis yang bernama Irfana Nuha untuk berkahwin dengan lelaki yang 14 tahun lebih tua daripadanya. Disebabkan darjat dan aturan keluarga, Nuha terpaksa putus tunang dengan seora...