Prolog

18 1 0
                                    

           DALAM bilik kecemasan, suasana sangat sibuk dan tegang. Bunyi mesin dan peralatan perubatan bergema di sekeliling, dengan doktor dan jururawat bergerak pantas untuk menangani kes-kes kritikal. Suasana menjadi semakin tegang apabila dua buah ambulans datang bertali arus dengan masing-masing membawa mangsa kemalangan yang memerlukan rawatan segera.

Siren ambulans berhenti seketika dan petugas perubatan bergegas mengeluarkan dua orang pesakit dari ambulans dan membawa mereka masuk ke dalam bilik kecemasan.

Melihat keadaan menjadi semakin cemas, Naura terus membantu para doktor untuk merawat dua orang lelaki yang cedera akibat kemalangan.

Naura yang baru sahaja bersiap sedia untuk merawat pesakit itu, tiba-tiba terhenti buat seketika apabila melihat wajah lelaki yang terbaring di atas katil kecemasan. Jantungnya berdegup kencang, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lelaki yang terbaring tidak sedarkan diri itu ialah Aydan, seorang jejaka yang pernah meninggalkannya dulu tanpa sebarang penjelasan.

Perasaan cemas dan terkejut mula bercampuk aduk dalam dirinya, tetapi sebagai seorang doktor, dia tidak boleh membiarkan perasaan peribadi ini mengganggu tugasnya. Naura menarik nafas dalam-dalam, cuba untuk mengawal emosi yang berkecamuk. Dia terus melangkah ke arah Aydan untuk memberikan rawatan yang diperlukan.

Dengan tangan yang sedikit menggigil, Naura mula memeriksa keadaan Aydan. Luka di dahinya memerlukan jahitan yang segera dan dia juga mengalami kecederaan di bahagian rusuk. Naura fokus, cuba mengabaikan segala kenangan lama yang tiba-tiba muncul kembali.

Dia membersihkan luka di dahi Aydan dengan cermat, kemudian dengan perlahan-lahan mula menjahitnya. Sepanjang rawatan, Naura tidak dapat mengelak daripada memandang wajah Aydan yang kelihatan lemah dan tidak berdaya.

Hatinya sedikit tercuit, tetapi dia tahu dia harus bersikap profesional. Setiap pergerakannya penuh dengan ketelitian demi memastikan Aydan menerima rawatan yang terbaik tanpa sedikit pun kesilapan.

Setelah selesai merawat Aydan, Naura cepat-cepat menuju ke katil sebelah di mana Aariz Luthfi, sahabat baik Aydan yang terlibat sama dalam kemalangan. Tidak seperti Aydan, Aariz nampaknya masih sedarkan diri namun jelas kerutan di dahinya menunjukkan yang dia sedang menahan kesakitan.

Darah menutupi sebahagian wajahnya dan dia memegang lengannya yang mungkin patah. Naura mengambil alih rawatan Aariz dengan tenang walaupun fikirannya masih terganggu dengan kehadiran Aydan.

"Zania tahu pasal ni?" tanya Naura sambil dengan itu tangannya lincah merawat setiap luka Aariz. Gelengan Aariz menjadi jawapan kepada soalannya tadi, sama ada wanita itu tahu ataupun Aariz sendiri tidak mengetahui bahawa Zania tahu tentang keadaannya saat ini.

Naura menyuruh salah seorang jururawat yang membantunya tadi untuk mendapatkan sinar-X bagi memeriksa lengan Aariz. Sepanjang rawatan, sedikit pun Aariz tidak berani untuk memandang Naura kerana dia tahu, pasti wanita itu penuh dengan jutaan persoalan tentang apa yang terjadi kepada dia dan Aydan saat ini.

"Awak patut call Zania, dia patut tahu tentang keadaan awak sekarang ni. Ingat, dia isteri awak," pesan Naura sebelum dia melangkah pergi.


            SELEPAS beberapa jam berlalu, Naura berjalan menuju ke wad di mana Aydan telah dipindahkan. Dia tahu ini adalah sebahagian dari tugasnya tetapi perasaannya tetap bercampur baur. Ketika dia sampai di pintu wad, Naura menarik nafas dalam-dalam, cuba untuk menguatkan hatinya sebelum melangkah masuk.

Di dalam wad, Aydan sudah pun sedarkan diri dan matanya sedang merenung ke luar tingkap. Ketika dia mendengar pintu terbuka, dia berpaling dan pandangan mereka bertaut sejenak. Mata Aydan kelihatan sayu, seolah-olah dia ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakan.

"Lyn..." suaranya serak, memecah keheningan. Namun, Naura hanya mendiamkan diri dan mengabaikan panggilan Aydan tadi. Dia melangkah ke arah Aydan, memeriksa peralatan perubatan dan catatan di tepi katil tanpa menunjukkan sebarang emosi.

"Saya cuma nak periksa keadaan awak," katanya dengan nada tenang. Dia mula memeriksa tanda-tanda vital Aydan, memastikan semuanya dalam keadaan normal.

Ketika dia menyentuh pergelangan tangan Aydan untuk memeriksa nadinya, Aydan menggenggam tangannya lembut. "Lyn, saya minta maaf..."

Naura terdiam, perasaan lama yang cuba disimpannya datang kembali tetapi dia dengan cepat menarik tangannya dan meletakkan stetoskop di dadanya, "Saya di sini sebagai doktor awak bukan masa lalu awak," jawab Naura, suaranya tegas walaupun hatinya bergolak.


            SEMINGGU telah berlalu sejak kejadian di bilik kecemasan dan Naura menjalani rutin hariannya seperti biasa. Walaupun dia berusaha keras untuk mengalihkan fikirannya dari Aydan, bayangan lelaki itu masih kerap muncul dalam benaknya.

Naura berjalan di koridor hospital, meronda wad untuk melakukan pemeriksaan biasa, tetapi dengan tiba-tiba telefonnya berdering. Naura berhenti seketika, melihat skrin telefon yang menunjukkan nombor yang tidak dikenalinya. Dengan sedikit ragu-ragu, dia menjawab panggilan tersebut.

"Lyn..." suara di hujung talian sangat dikenalinya, meskipun sudah lama tidak mendengarnya.

"Aydan? Dari mana awak dapat nombor saya?" Naura terkejut, suaranya bergetar sedikit.

Ada keheningan seketika di antara mereka sebelum Aydan bersuara lagi. "Saya nak jumpa awak boleh? Tanda terima kasih sebab dah selamatkan saya,"

Naura berdiri kaku di koridor, cuba memahami perasaannya sendiri. Sebahagian dari dirinya mahu memutuskan panggilan dan terus melupakan segalanya, tetapi perasaan yang pernah ada untuk lelaki itu membuatkannya membatalkan segala niat itu. "Di mana?"

Aydan memberitahu lokasi, kafe yang berdekatan dengan hospital. Hati Naura berbelah bahagi, tetapi akhirnya dia mengangguk dan bersetuju. "Okay, saya datang."

      

             SELEPAS perbualan singkat itu, Naura menuju ke kafe yang tidak jauh dari hospital. Hatinya berdebar-debar sepanjang perjalanan, tertanya-tanya apa yang mahu Aydan katakan setelah sekian lama tidak bersua.

Setibanya di kafe, dia melihat Aydan yang duduk di satu sudut yang agak terpencil, menghadap cawan kopi yang hampir kosong. Dia kelihatan sedikit gugup sambil tangannya bermain-main dengan sudu.

Naura menarik nafas panjang sebelum melangkah masuk ke kafe dan menuju ke arah Aydan. Riak wajah Aydan sedikit terkejut seakan-akan tidak percaya yang Naura benar-benar datang.

"Duduklah," pelawa Aydan, suaranya sedikit perlahan. Naura terus melabuhkan punggungnya di hadapan Aydan, cuba mengekalkan ekspresi wajah yang tenang walhal hatinya saat ini sudah berdegup kencang.

"Kenapa awak nak jumpa saya?" tanyanya terus terang, tidak mahu membuang masa. Aydan terdiam seketika, menatap cawan kopinya seolah-olah mencari kekuatan untuk memulakan bicara.

"Saya tahu saya dah buat banyak salah dekat awak. Saya mungkir janji saya, hilang tanpa khabar. Saya minta maaf, Lyn..." matanya redup memandang Naura yang mendiamkan diri.

"Takpe, saya dah maafkan awak dan saya pun dah lupakan pasal tu. Ada apa-apa lagi yang awak nak cakap? Kalau takde apa-apa lagi, saya balik dulu. Banyak lagi kerja dekat hospital, " suaranya sedikit bergetar. Naura cuba untuk menahan pelbagai perasaan yang sedang melanda hati kecilnya saat ini.

Perasaan marah, kecewa, keliru, semuanya bercampur gaul menjadi satu. Namun, siapalah dia untuk menghukum Aydan.

"Be my wife, Naura Syaralyn,"
       

Dia Utusan BuatkuWhere stories live. Discover now