Bab 5

9 0 0
                                    

          LELAKI itu duduk terpaku di hadapan laptopnya. Skrin memancarkan cahaya suram yang menerangi sedikit wajahnya, cukup untuk menampakkan senyuman sinis yang terukir di hujung bibir.

Di hadapan matanya, rakaman CCTV rumah seseorang jelas terpapar pada skrin. Setiap pergerakan di dalam rakaman itu diperhatikan dengan teliti, seorang wanita yang sedang menjalani kehidupannya tanpa sedar bahawa dia sedang diperhatikan.

"Hmm..." bisiknya perlahan, sambil mata tidak lepas dari meneliti setiap pergerakan wanita itu.

Dia mengangkat cawan kopi di atas meja, menghirup perlahan sebelum menyandarkan dirinya ke kerusi sambil dengan itu mata masih tidak beralih dari skrin. Jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja, mengikuti rentak yang bermain di kepalanya. Dia ketawa kecil, ketawa yang penuh dengan isi tersirat.

"Kau akan jadi milik aku juga suatu hari nanti. Kau milik aku," ucapnya, suara berbisik dengan penuh keyakinan.

Ruang bilik itu kelam, hanya diterangi oleh cahaya putih dari skrin laptop. Dia bangun dengan perlahan dari kerusi, menyisihkan meja kecil di sebelahnya lalu berjalan menuju ke sudut bilik. Di situ, tergantung kain hitam yang menutupi sesuatu di dinding. Seolah-olah, ada satu rahsia besar yang disembunyikannya di situ.

Dengan satu gerakan halus, dia menarik kain itu dan mendedahkan sesuatu yang tersembunyi di sebalik kain yang digantung pada dinding. Setiap gambar ditampal dengan rapi, diambil dari pelbagai sudut dan situasi.

Satu nama di sebalik gambar itu. Naura Syaralyn.

Ada gambar Naura tersenyum dan ada juga yang diambil secara sembunyi tanpa wanita itu sedari. Mata lelaki itu merenung setiap gambar yang ditampal pada dinding dengan penuh minat, menikmati kecantikan wajah wanita itu.

Tanpa sebarang kata, dia berjalan ke arah meja berdekatan dan mengambil pistol hitam yang terletak di situ. Dengan gerakan yang tenang, dia mengangkat pistol itu ke arah gambar Naura yang paling besar, terpampang di tengah-tengah dinding. Jarinya dengan lembut menekan picu.

Bang!!!

Tembakan itu bergema di dalam bilik yang sunyi, peluru tepat menembusi tengah-tengah gambar Naura. Lelaki itu mengukirkan senyuman yang lebih lebar, matanya bersinar dengan penuh obsesi. Dia melangkah perlahan mendekati gambar yang baru sahaja ditembaknya. Jemarinya menyentuh lubang peluru pada gambar itu, mengusap perlahan wajah Naura yang terpotret di situ.

Setiap sentuhannya penuh dengan obsesi, seolah-olah dia dapat merasakan kehadiran Naura di sebalik gambar itu. "Sikit sahaja lagi dan kau akan jadi milik aku sepenuhnya, sayang," bisiknya lagi. Ketawa kecil terlepas dari bibirnya, ketawa yang menunjukkan bahawa dia akan buat apa sahaja untuk dapatkan wanita itu.

Jika 10 tahun lalu dia gagal, kali ini dia akan berjaya dapatkannya juga. Tidak kira siapapun yang patut dikorbankan. Dia...obses dengan wanita itu.





              DATIN AISYAH mengeluh perlahan sambil menggelengkan kepalanya, memerhatikan tingkah laku anak tunggalnya yang resah mundar-mandir di ruang tamu. Sudah lebih setengah jam anaknya begitu, berjalan ke sana ke sini seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang berat.

Datin Aisyah meletakkan novel yang dibacanya ke tepi, kehilangan minat terhadap jalan cerita di dalam novel itu. Matanya kini tertumpu sepenuhnya pada anaknya yang kelihatan seperti sedang dihimpit kerisauan.

"Kenapa ni Aydan? Risau semacam aje mama tengok. Duduk sini, cerita dekat mama," Datin Aisyah bersuara sambil tangannya menepuk-nepuk sofa yang didudukinya.

Aydan hanya diam sejenak sambil dengan itu matanya dilarikan daripada memandang wajah Datin Aisyah. Adakah dia patut memberitahu hal ini ataupun tidak? Akhirnya, dengan nafas yang panjang dan berat, dia menghentikan langkahnya dan terus melabuhkan punggungnya di sebelah Datin Aisyah.

"Mama..." suaranya sedikit bergetar. "Macam mana kalau Naura dah mula benci Aydan? Macam mana kalau dia dah tak nak tengok muka Aydan lagi? Apa yang patut Aydan buat, mama?"

Datin Aisyah ketawa halus. Lucu dengan rengekan anak tunggalnya ini seperti budak kecil yang mahu meminta gula-gula dari sang ibu. Dia tahu benar akan anaknya yang amat mencintai seorang Naura Syaralyn. 10 tahun dia menahan rindu akan wanita itu dan sebaik sahaja dia kembali, akan dia perbaiki semula hubungannya dengan Naura.

"Kenapa mama gelak? Aydan tengah serius ni," nada suaranya dibuat-buat seakan merajuk. Orang tengah serius boleh pula dia gelak. Haih.

"Bawa mama jumpa dia. Biar mama sendiri yang explain kenapa Aydan buat macam tu," dengar sahaja permintaan mamanya terus membuatkan Aydan menggeleng laju. Mana mungkin Naura akan setuju untuk berjumpa dengan Datin Aisyah. Mendengar penjelasannya juga tidak mahu apatah lagi membawa wanita itu berjumpa dengan Datin Aisyah.

"Kenapa pula tak boleh? Salah ke mama nak jumpa bakal menantu mama sendiri?"

Diam. 'Kalaulah aku tak bagitahu mama tadi' getus Aydan di dalam hatinya.

"Biar Aydan sendiri yang bagitahu dia," mahu mengelak dengan soalan Datin Aisyah, dia terus bangkit dari duduknya dan berlari ke bilik.

Datin Aisyah hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Pening dengan tingkah anaknya itu. "Pelik-peliklah orang bercinta zaman sekarang ni. Kalau dah memang betul-betul suka, kejarlah sampai dapat. Nak juga panjang-panjangkan cerita," gumamnya perlahan.






              PUAN SUHAILA dan Nelisa duduk berhadapan di meja makan, menikmati hidangan malam yang sederhana. Suasana di rumah agak tenang. Namun dalam diam, minda Nelisa sibuk merancang sesuatu yang licik. Dia mahu mengambil kesempatan ketika Naura tiadalah untuk memberitahu rancangannya kepada Puan Suhaila.

Dengan sudu di tangan, Nelisa mengacau makanan di pinggan sebelum wajahnya diangkat memandang ibunya.

"Nasib baiklah ayah dah mati. Kalau tak, pasti dia akan bagi rumah tu dekat Naura," Nelisa memulakan perbualan, suaranya lembut tetapi terselit nada sinis. Puan Suhaila hanya mengangguk perlahan, menghirup sup tanpa berkata apa-apa.

"Ibu..." Nelisa menyambung, kali ini dengan nada yang lebih perlahan namun penuh dengan maksud, "Apa kata...ibu suruh aje Naura tukar nama rumah ni kepada nama ibu? Tak ke senang macam tu?" suaranya berbisik, penuh dengan muslihat. Ada saja rancangan jahatnya untuk mengenakan kakaknya sendiri.

"Macam mana kalau dia halau kita dari sini nanti? Kalau semua harta dan rumah ni jatuh dalam tangan ibu, kita boleh buat apa saja dekat dia."

Puan Suhaila meletakkan sudu di atas pinggan, mendengar dengan teliti setiap butir bicara anak bongsunya. Mata tuanya kelihatan suram, namun dalam diam ada sesuatu yang bergolak dalam fikirannya. Nelisa pula, apabila melihat ibunya terdiam, mula tersenyum senget.

Senyum yang penuh kelicikan dan niat jahat. Dia tahu, Puan Suhaila sering terpengaruh dengan cadangannya dan kali ini pun dia begitu yakin ibunya akan menurut.

Nelisa tidak sabar. Sedikit demi sedikit, dia merancang untuk mengikis segala harta yang dimiliki oleh Naura. Bagi Nelisa, Naura hanyalah sekadar beban dalam keluarga. Dia tidak pernah menganggap wanita itu sebagai kakak kandungnya.

Dia begitu benci melihat ayahnya yang selalu mengambil berat tentang Naura. Dan setelah ayahnya meninggal, tiada sesiapa lagi yang mampu menghalangnya daripada menjatuhkan wanita itu. Segala yang dimiliki oleh Naura haruslah menjadi miliknya.

Dia Utusan BuatkuWhere stories live. Discover now