Bab 3

6 0 0
                                    

           NAURA baru sahaja selesai bersiap-siap untuk ke hospital. Dia memandang cermin buat kali terakhir, memperbetulkan sedikit rambut yang terkeluar dari tudungnya. Dalam hati, dia berharap agar hari ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tetapi sebelum kakinya sempat melangkah keluar dari bilik, ada suara yang memanggil dari bawah.

Dia menarik nafas panjang dan melangkah keluar dari bilik dan menuruni anak tangga untuk ke ruang tamu. Setiap langkah terasa berat, seperti ada sesuatu yang dia jangka akan berlaku. Apabila sampai sahaja di ruang tamu, dia melihat ibunya sedang berdiri sambil mempamerkan wajah tegang. Entah apa pula salahnya kali ini.

"Sejak dah ada kerja bagus ni, kau dah jadi pemalas pula? Aku nak sarapan apa pagi ni kalau kau tak masak? Kau saja je nak mak kau ni mati kebulur, kan?" suara Puan Suhaila memecahkan kesunyian rumah.

Naura terkaku buat seketika. Dia ingin membalas, tetapi lidahnya terasa kelu. Seperti biasa, apa sahaja yang dia lakukan tidak cukup baik di mata ibunya.

"Naura kena cepat, ibu. Ada banyak kerja dekat hospital," Naura cuba menerangkan dengan tenang tetapi ibunya sama sekali tidak mahu mendengar alasan yang dia ajukan. Jelingan maut dihadiahkan kepadanya.

Belum sempat suasana reda, Nelisa, adik perempuannya, muncul dari dapur dengan telefon di tangan. "Aku nak duit, nak beli telefon baru. Telefon ni dah lama sangat,"

Naura memandang Nelisa dengan pandangan penat. Setiap kali, adiknya hanya tahu meminta. Semua tanggungjawab kewangan jatuh pada bahunya, walaupun dia sudah terlalu terbeban dengan kerja di hospital. Ditambah pula dengan masalah keluarga yang tidak akan pernah selesai.

Dia hanya mendiamkan diri, membiarkan Nelisa mengomel sambil terus menuntut. Akhirnya, Naura menghela nafas dalam dan berkata dengan suara perlahan, "Nanti akak bank in."

Tidak mahu lagi merumitkan keadaan, Naura melangkah keluar dari rumah, hatinya berat dan sarat dengan pelbagai tekanan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menangis dan meluahkan segala-galanya yang terbuku di lubuk hati.

Tetapi hatinya masih lagi tidak mahu memberinya peluang untuk meluahkan semua itu.

            
              
         


          "ABANG!" lengan sasa Aariz dicubit kuat oleh Zania. Geram sahaja melihat suaminya yang selalu mengusik dirinya setiap kali dia mahu memasak. Wajah Aariz sudah cemberut merajuk. Lengannya yang dicubit tadi digosok perlahan. Walaupun isterinya ini kecil dan pendek, tetapi satu cubitan amatlah sakit seperti rasa sakit itu boleh merebak ke seluruh badan.

"Abang nak gurau sikit pun tak boleh ke? Dah tak sayang abang dah? Sampai hati sayang, kan?" bibirnya dimuncungkan ke hadapan, persis mulut itik. Nadanya juga dibuat-buat seperti mahu menangis. Wajahnya dipalingkan ke arah bertentangan dengan Zania, merajuk dengan wanita itu.

Zania mengeluh perlahan seraya meletakkan kembali pinggan makanan di atas meja. Kerjanya ingin menyediakan sarapan terhenti begitu sahaja. Tahu sangat dengan perangai suaminya yang manja seperti budak-budak.

Lengan Aariz ditarik ke arahnya lalu dikucupnya lama. Telinga lelaki itu sudah bertukar merah, ada sahaja kerenah isterinya yang mampu membuatnya tersipu malu.

"Tak nak pergi kerjalah kalau macam ni. Pagi-pagi macam ni dah dapat morning kiss," senyum Aariz, Zania pula sudah menayangkan wajah annoying sambil kepalanya digeleng perlahan.

"Dah, pergi mandi sekarang kalau abang tak nak sayang cubit lagi sekali," ugut Zania sambil belakang Aariz ditolaknya perlahan. Mengingatkan tentang sakit cubitan tadi sudahpun membuatkan bulu roma Aariz mencacak naik. Seram!

       




        NAURA meregangkan badannya setelah selesai menyiapkan tugasan terakhirnya untuk malam itu. Seperti biasa, shift malam di hospital memang memenatkan, dengan pelbagai kes kecemasan yang tidak henti-henti.

Matanya terasa berat, namun dia bersyukur dia dapat menyiapkan semua kerjanya lebih awal daripada biasa. Selepas memastikan semua peralatan di atas mejanya tersusun rapi, dia bersiap untuk meninggalkan hospital.

Sewaktu dia sedang berjalan menuju ke pintu keluar, Kak Mila, seorang jururawat senior yang sentiasa membantunya, menghampiri dirinya, "Naura, dah nak balik ke?" tanya Kak Mila sambil tersenyum mesra. Naura mengangguk kecil dan membalas, "Haah, lagipun kerja semua dah siap." Kak Mila hanya tertawa kecil dan berkata lagi, "Yelah, Kak Mila nak pergi sambung kerja ni. Nanti mengamuk pula Doktor Irwan tu."

Selepas berbual seketika, Naura melangkah ke arah lot parkir di luar hospital. Kesejukan malam mula terasa menggigit kulitnya, membuatkan dia menarik jaketnya dengan lebih rapat ke badan. Di bawah cahaya lampu jalan yang samar-samar, Naura dapat melihat keretanya yang terparkir di tempat biasa. Namun, sesuatu yang pelik menarik perhatiannya.

Setibanya di kereta, dia tergamam melihat sejambak bunga ros merah yang cantik terletak di atas cermin hadapan keretanya. Jantungnya berdegup sedikit laju. Dengan perlahan, dia membelek-belek bunga itu namun tiada sebarang nota mahupun surat.

Tidak tahu siapa yang memberi bunga tersebut, matanya terus meliar ke sekeliling, mahu mencari seseorang yang mungkin melihat gerangan yang meletak bunga ros ini pada keretanya.

Namun, tiba-tiba, makin matanya meliar mencari seseorang, makin kuat firasatnya mengatakan yang ada seseorang sedang memerhatikan dirinya dari jauh. Tanpa berlengah, dia terus bergegas masuk ke dalam kereta dan beredar dari situ.

Selepas beberapa minit memandu, Naura masih tidak dapat melupakan kejadian di lot parkir tadi. Sejambak bunga ros itu terus menghantui fikirannya. "Siapa yang bagi? Kenapa tak ada nota ataupun surat? Aydan? Haih, tak mungkinlah dia. Dia tahu aku tak suka bunga ros, jadi tu bukan dia," soalnya sendiri sambil cuba menenangkan fikiran yang sudah dilanda dengan pelbagai persoalan.

Sampai di rumah, Naura menarik nafas panjang sebelum keluar dari keretanya. Dia menoleh ke sekeliling, seakan memastikan tiada sesiapa yang mengekorinya. Malam itu terasa lebih sunyi daripada biasa, dan angin dingin yang bertiup perlahan menambahkan suasana seram. "Kau penat sangat ni Naura sampai fikir macam-macam," dia cuba menenangkan dirinya sendiri walhal hatinya tersimpan beribu-ribu rasa takut.

Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, langkahnya terus dibawa ke dapur. Segelas air diteguknya bagi melepaskan segala kebimbangan yang mula bersarang di hati. Suasana yang tegang itu tiba-tiba berubah bingit sebaik sahaja telefon milik Naura berdering. Naura tersentak, hampir sahaja gelas kaca yang dipegangnya saat ini jatuh mencium lantai.

Dia melihat skrin telefon, nombor yang tidak dikenali. Rasa takut mula menyelubungi dirinya namun dia tetap memberanikan diri untuk menjawab panggilan tersebut. "Hello?" suara Naura sedikit bergetar.

Tiada jawapan. Hanya senyap.

"Hello? Siapa ni?" Naura mencuba sekali lagi, namun yang dia dengar hanyalah nafas berat di hujung talian. Hatinya mula berdetak laju.

Naura terus mematikan panggilan tersebut dan bergegas masuk ke biliknya. Entah mengapa saat ini dia merasa tidak sedap hati. Seakan-akan sesuatu yang buruk akan terjadi.

'Aydan? Aku tak rasa itu dia. Aydan tak akan buat macam ni.'

           

Dia Utusan BuatkuWhere stories live. Discover now