Diya bersandar pada kerusi. Dia kini sedang dikurung di dalam sebuah bilik. Di hadapannya terdapat sebuah meja dan makanan yang berbungkus serta sebotol air. Perut yang memboyot diusap perlahan.
Dia mengintai ke luar melalui jendela. Matahari semakin meninggi. Dia melihat sekeliling kawasan yang dikelilingi pokok yang banyak. Mungkin dia berada di dalam sebuah hutan, fikirnya. Rantai yang terkalung di leher disebalik tudung dipegang erat. Dia berharap agar suaminya akan segera menemukannya.
Klak!
Pintu dibuka dari luar. Seorang lelaki berambut kerinting dan kurus melangkah masuk dan duduk bersilang kaki di hadapannya.
"Hai, puan! Saya Faiq. Puan dah makan ke belum?"
Faiq menyoal sambil tangannya menyingkap sedikit plastik berisi makanan di atas meja. Diya menjeling tajam ke arah Faiq.
"Kau yang semalam datang rumah aku dengan Qaisarah, kan?" Diya memicing mata melihat lelaki itu.
"Ya betul, puan. Saya yang culik puan." Faiq mengaku.
"Bagus betul penculik kenalkan diri dia kat mangsa culik. Bagus!"
"Kenapa puan tak makan lagi? Kesian baby dalam perut tu," ujar Faiq tanpa mempedulikan kata-kata Diya tadi.
Diya membuat muka menyampah. Bibir terherot dengan kening terjongket sebelah. Dia benar-benar menyampah melihat muka lelaki itu saat ini dengan rambut kerintingnya. Badan pula kurus kering. Pakai sut pun tak nampak tegap! Diya mengutuk dalam hati.
"Kesian! Kesian! Kalau kesian, kenapa kau tolak aku kuat-kuat semalam ha, kerinting?!" Faiq terkedu apabila dimarahi oleh wanita hamil itu.
"Eh, puan ni! Apa masalah puan nak marah-marah saya? Nama saya Faiq, bukan kerinting!" Faiq menampar meja dengan kuat membuatkan bahu Diya terhinggut sedikit.
"Masalah aku dengan kau sebab kau culik aku!" Mata Diya tajam menatap wajah Faiq. Jari telunjuk pula dihala tepat ke arah lelaki itu.
"Garang juga bini Kapten Ryan Adha kita ni."
Diya melihat seorang lelaki melangkah masuk. Faiq bingkas bangun dan menunduk sedikit apabila Nadhir masuk ke bilik itu. Nadhir pula mengambil tempat di hadapan Diya menggantikan Faiq. Wajah Diya ditatap bersama seulas senyuman.
"Makanlah. Kesian baby dalam perut kau tu. Lagipun aku dah cakap dengan laki kau yang aku jaga bini dia baik punya," ujar Nadhir.
Tangannya mencapai bungkusan plastik itu dan dibuka. Nasi bungkus ditolak ke hadapan Diya.
"Siapa nama awak tadi? Faiq, ya? Awak boleh keluar tak, Faiq? Minta maaflah. Saya tak tahu kenapa, tapi saya menyampah betul tengok muka awak. Risau terkenan kat baby. Nauzubillahi min zalik! Baby jangan ikut muka macam uncle tu tau," dia berbicara dengan anak dalam kandungannya seraya mengusap perutnya.
Mata Faiq terbuntang luas mendengar kata-kata Diya. Nadhir pula melepaskan ketawa besar. Lucu mendengar kata-kata isteri kepada lelaki yang dimusuhi olehnya.
"Apa kau kata? Apa muka saya ni buruk sangat ke, tuan?!" Ternaik satu oktaf suara Faiq. Mata dihalakan kepada Nadhir.
"Tak adalah buruk. Cuma entah, saya menyampah. Rasa macam nak lempang je. Dahlah semalam dia tolak saya kuat-kuat, encik!" Dia mengadu kepada Nadhir seraya menjeling tajam kepada Faiq.
"Kau tolak wanita mengandung ke, Faiq?!" Suara Nadhir meninggi.
"Saya tertolak je, bos! Bukan sengaja. TER!" Faiq mendengus.
"Boleh tak encik suruh budak kerinting ni keluar?" Diya menyoal kepada Nadhir pula apabila dia melihat Faiq masih lagi tercegat di situ.
Nadhir memberi isyarat kepada Faiq untuk keluar. Lelaki itu melangkah keluar dan menghentak kaki seperti anak kecil. Mata menjeling tajam ke arah Diya dan tuannya yang menuruti kehendak wanita itu.
"Baru berselera nak makan."
Diya menyuap nasi ke dalam mulutnya setelah membaca doa. Nadhir pula hanya menjadi pemerhati seraya menyandar dan berpeluk tubuh.
"Encik, saya nak coklat Cadbury. Boleh tolong belikan tak sekejap?" Diya menyoal setelah menyuap nasi beberapa kali ke dalam mulut.
"Kau ingat aku ni orang suruhan suami kau ke? Nah! Kau call sendiri laki kau. Kirim kat dia suruh dia beli sekali!"
Diya mencapai telefon bimbit yang dicampak ke atas meja oleh Nadhir. Namun dia tidak membuat panggilan. Sebaliknya telefon bimbit tersebut hanya dipegang.
"Kenapa encik culik saya?"
Diya bertanya dengan riak wajah yang polos. Tangannya mencubit isi ayam goreng berempah lalu dimasukkan ke dalam mulut. Nadhir ketawa halus melihat mulut wanita itu yang tidak berhenti mengunyah daripada tadi.
"Sebab kau isteri kepada musuh aku," jawab Nadhir jujur.
"Suami saya musuh encik? Macam mana boleh jadi musuh?"
"Kau polis ke? Kau ingat ni sesi soal siasat ke apa?"
Nadhir mengetuk-ngetuk jari di atas meja. Dia cuba menahan sabar dengan kerenah wanita itu yang banyak soal.
"Tak adalah macam tu, encik. Tapi kita sesama Islam sepatutnya kita mengeratkan silaturrahim. Bukan bermusuhan macam ini. Barulah ada apa? Barulah ada Kaf Ba Ra Kaf Alif Ta Nun, ya Mohd Adif." Diya meniru dialog dalam drama Dunia Baru seraya menasihati lelaki itu.
"Apa nun kau cakap tadi? Aku tak faham. Lagi satu, siapa Mohd Adif?"
Riak wajah Nadhir jelas kebingungan. Matanya terkebil-kebil tidak memahami kata-kata Diya sebentar tadi.
"Kaf Ba Ra Kaf Alif Ta Nun! Keberkatan!" Diya menjeling tajam.
"Apa-apa jelah! Kau nak call laki kau ke tak?"
Nadhir menghulurkan tangan ingin mengambil kembali telefon yang diberi kepada Diya tadi namun tidak diendahkan oleh wanita itu.
"Encik nak bunuh suami saya ke?" Soalan dibalas soalan oleh Diya. Wajahnya berubah serius.
Nadhir tidak menjawab soalan tersebut. Sebaliknya, dia berdecit halus. Nafas dihela panjang.
"Kau takut aku bunuh suami kau?" Nadhir membalas dengan pertanyaan.
"Apa salah suami saya? Kenapa encik berdendam dengan suami saya? Encik culik saya sebab nak balas dendam pada suami saya?" Bertubi-tubi Diya melemparkan soalan.
"An eye for an eye! A tooth for a tooth, ma'am! Suami kau dah bunuh adik aku!"
"Suami saya bukan pembunuh!" Mata Diya berkaca. Mutiara jernih mula mengalir ke pipi.
"Suami kau dah buat adik aku mati. Suami kau pembunuh! Pembunuh adik aku!" Nadhir berkata dengan nada keras. Jarinya diketuk-diketuk di atas meja.
"Kalau betul pun suami saya dah buat adik encik mati, mesti ada sebab! Kalau macam tu, encik bunuh saya! Jangan bunuh suami saya!" Diya berkata tanpa gentar.
Nadhir menatap tajam ke dalam sepasang anak mata Diya yang berwarna coklat itu sebelum senyuman senget terukir dibibirnya.
"Memang aku nak bunuh kau pun, jangan risau! Sebab aku tahu, kau ni kesayangan Kapten Ryan Adha! Aku nak tengok hidup dia merana macam mana nanti tengok kau mati depan dia!" Keras Nadhir berkata-kata.
Diya menelan liur. Bukan dirinya yang dia bimbangkan. Bagaimana jika sesuatu terjadi pada Adha? Dia tidak mampu untuk membayangkan bagaimana hidupnya jika tiada lelaki itu; belahan jiwanya.
***********

YOU ARE READING
𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐓𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤𝐤𝐮 (𝐂)
Storie d'amore[SIRI PERTAMA 4 BERADIK] ❗️Dalam proses edit❗️ Singkat. Itu adalah perkataan yang sesuai untuk permulaan kisah cinta antara Diya dan Adha. Namun tidak bagi Adha kerana dia sudah lama menyukai gadis itu. Dengan bantuan Najmi, kisah cinta mereka berdu...