"Assalamualaikum warahmatullah ... assalamualaikum warahmatullah." Setelah memberi salam yang terakhir, Firdaus mengakhiri solat subuh jemaah bersama ibunya dengan menyapu telapak tangan pada wajah. Kemudian dia menadah tangan untuk membaca doa selepas solat.
"Amin, ya Rabbal 'Alamin."
Firdaus berpaling ke arah ibunya, Mariam, yang menjadi 'makmum tetap' si anak setiap kali solat subuh, maghrib dan juga isyak. Mariam senyum melihat anak terunanya yang makin segak. Rasanya baru semalam dia menimang Firdaus di pangkuan. Hari ini sudah mampu mengimamkan solatnya dengan bacaan yang fasih dan tartil.
Firdaus mencium belakang tangan Mariam ketika bersalam. "Fir minta maaf atas semua salah silap Fir sepanjang Fir bernafas. Ibu maafkan Fir, ya?"
Mariam mengusap rambut Firdaus yang masih mencium tangannya.
"Fir tak ada salah dengan ibu. Kalau ada pun, ibu dah cepat cepat lupakan. Ibu maafkan, ibu halalkan semuanya."
Firdaus mengangkat wajahnya. Dia senyum manis melihat wajah Mariam yang tidak pernah gagal untuk membuatnya rasa tenang. Besar sungguh nikmat yang Tuhan bagi untuk masih berpeluang menatap wajah tua ini—wajah seorang syurgawi yang pernah separuh mati melahirkannya supaya dapat menjalani hidup di bumi.
"Terima kasih, ibu."
"Ya sama-sama."
Mariam yang masih duduk posisi tahiyyat akhir itu perlahan-lahan melipat sejadah untuk disimpan. Firdaus masih diam di tempat, seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Ibu, minggu depan, sekolah ada anjurkan program qiamulaillail kat sekolah. Fir kena stay kat sana untuk bertugas. Dua hari satu malam. Ibu okey ke duduk rumah seorang diri?" Firdaus bertanya dengan nada risau. Matanya masih memandang Mariam yang tenang.
"Ibu okey jelah Fir. Ibu ni dah biasa sendirian." Ibunya tersenyum, lega Firdaus mendengar. "Sekolah macam mana? Semua okey?"
Firdaus tersenyum sambil mengangguk. "Okey je, ibu. Tak ada masalah yang besar pun."
"Alhamdulillah. Lega ibu dengar."
Mariam bangun untuk menyimpan sejadahnya. Firdaus menanggalkan kopiah, masih duduk di atas sejadahnya.
"Ibu, sebenarnya Fir ada satu benda nak tanya ibu."
Mariam memandang Firdaus. Nada anak lelakinya itu seperti serius. Mariam mencapai senaskhah Al-Quran sebelum melabuhkan duduk di hujung katil.
"Apa tu yang Fir nak tanya ibu?"
Firdaus diam sejenak. Dia teragak-agak untuk bertanya—atau lebih kepada malu sebenarnya. Soalan ini tak pernah ditanyakan kepada Mariam dan baginya hal ini agak kebudak-budakan.
YOU ARE READING
Bayangan Luka
Jugendliteratur[Siri BERDAMAI] Hana sudah terluka terlalu lama; dilahirkan dalam keluarga yang tidak bahagia dan membiarkan diri bergari pada masa silam yang menyakitinya setiap hari. Hana terluka, dan dia takut dirinya akan melukai orang lain. Kerana luka-luka ya...