Waktu rehat hampir tamat, namun kantin sekolah masih lagi dipenuhi pelajar-pelajar yang malas untuk bergerak dari tempat duduk. Ada yang berbual tentang topik yang sedang hangat di aplikasi X dan ada juga yang sedang berbincang tentang projek sekolah. Kesemuanya menambahkan lagi riuh-rendah di kawasan tersebut.
Di satu sudut kantin, Firdaus dan Iqbal duduk berhadapan antara satu sama lain. Masing-masing sedang menikmati nasi lemak dan mi goreng yang dibeli sebentar tadi. Sedang mereka berbual hal-hal yang tak penting, tiba-tiba datang seekor kucing putih bertompok hitam singgah dan bergesel di kaki Iqbal.
"Eh- ya Allah ... kau rupanya Lembu!" Iqbal tersenyum dengan lebar menampakkan sebaris gigi putihnya sebaik sahaja melihat kucing tersebut. Dia segera membungkukkan badan untuk mengusap kepala si bulus bernama Lembu itu. Firdaus ke depan sedikit untuk melihat apa yang ada di kaki Iqbal.
"Fir, kau tengok Lembu buncit ni. Dia cari aku lagi, haha! Aku dah cakap kat kau, dia mesti ingat aku punya!" teruja Iqbal. Firdaus hanya sengih lalu menggelengkan kepala.
Kucing putih bertompok hitam seperti corak lembu itu memang selalu 'ganggu' mereka berdua setiap kali mereka rehat di kantin. Dua hari lepas, Iqbal 'mengorbankan' seketul paha ayam dari nasi lemak yang dia beli hanya untuk memberi Lembu makan. Memang pencinta kucing betul.
"Pantang nampak kucing kau ni." Firdaus sengih kecil lalu menyuap sesudu nasi lemak ke mulut sendiri.
"Mesti. Kucing ni anugerah, tahu tak? Kau tengoklah muka dia ni. Comel, kan? Dia macam tahu tahu je aku stress pasal homework tadi. Nah, makan ni Lembu." Iqbal mengambil beberapa cebis daging dari mi gorengnya lalu diletakkan ke atas lantai untuk Lembu makan.
"Meow~" Lembu mengiau, seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada Iqbal.
"Banyaklah kau punya anugerah. Dia bukan datang sebab sukakan kau. Dia datang sebab dia tahu yang kau akan bagi dia makan."
"Aku tak kisah. At least aku ada juga bagi something untuk buat Lembu ni sukakan aku. Bukan macam kau."
Firdaus diam sekejap untuk memproses ayat Iqbal yang seolah-olah memerli dirinya. Dia seperti faham apa yang Iqbal cuba sampaikan.
"Kau tengok dia ni, elok je duduk senyap senyap dekat aku. Alololo!" Iqbal menahan geram melihat Lembu yang memandangnya dengan muka comel meminta-minta selepas habis 'ngap' daging yang Iqbal berikan untuknya tadi. Rasa nak penyet sampai lumat!
Iqbal mencari sisa-sisa daging yang ada dalam bungkusan mi gorengnya untuk diberikan lagi kepada Lembu.
Firdaus masih lagi diam, memikirkan ayat Iqbal sebentar tadi.
At least aku ada juga bagi something untuk buat Lembu ni sukakan aku. Bukan macam kau.
Bukan macam kau.
Bukan macam kau.
Bagi something untuk buat Lembu sukakan aku.
Bagi ... something ... untuk buat ....
YOU ARE READING
Bayangan Luka
Novela Juvenil[Siri BERDAMAI] Hana sudah terluka terlalu lama; dilahirkan dalam keluarga yang tidak bahagia dan membiarkan diri bergari pada masa silam yang menyakitinya setiap hari. Hana terluka, dan dia takut dirinya akan melukai orang lain. Kerana luka-luka ya...