Prolog

266 10 4
                                    

Hujan di luar makin lebat, menampar tingkap bilik. Guruh yang kuat berdentum membuatkan Eliana terjaga dari tidur. Eliana bangkit dari katil. Rasa macam ada sesuatu yang memanggil dia ke luar. Dengan langkah perlahan, dia menuju ke tingkap dan tarik langsir. Dari situ, dia nampak cahaya samar-samar dari belakang rumah.

"Abah buat apa kat luar?" Eliana bisik, tangan dia pegang langsir erat. Perlahan-lahan, dia keluar dari biliknya.

Eliana menyusup keluar ke halaman belakang rumah. Hujan renyai-renyai, tanah licin, tapi mata dia tetap terkunci ke arah abahnya. Abah tengah gali tanah. Eliana berdiri kaku, mata dia tertumpu pada sesuatu.

Dia nampak orang yang masih hidup... tengah meronta-ronta nak lepas. Abah menekan orang tu ke dalam lubang yang digali. Eliana terdiam, kaku.

"Eliana Sofea!" Suara kasar abah buat Eliana terlompat. Mata abah tajam, penuh amaran. "Apa kau buat kat sini?!"

Eliana terketar-ketar, air mata dah mula bergenang."A-abah..."

"Diam!" Abah meluru ke arah Eliana, genggam lengan dia dengan kuat. "Apa yang kau nampak malam ni, simpan dalam hati kau. Jangan cerita kat siapa-siapa. Faham?!"

Eliana angguk, bibir dia menggigil. Mata abah langsung tak tunjuk rasa kesal, tak ada sekelumit pun sayang. Dia hanya pandang Eliana dengan wajah beku sebelum kembali ke lubang itu, sambung kerja dia tanam mayat hidup-hidup.

Eliana terus lari masuk rumah, hati dia rasa macam nak pecah. Dia tutup muka dengan tangan, cuba tahan tangis yang makin kuat.

────୨ৎ────

Eliana terjaga, nafas dia tercungap-cungap. Peluh dingin membasahi dahi, rambutnya melekat di pipi. Dia duduk tegak, pandang sekeliling bilik yang samar diterangi cahaya lampu jalan dari luar. Hujan masih turun, membasahkan tingkap dan menghasilkan bunyi renyai yang seakan-akan sama seperti malam dalam mimpinya.

Dada dia masih berombak, mengingati apa yang baru sahaja dia alami. Mimpi yang sama. Memori 17 tahun lepas, kejadian yang dia pendam dalam hati selama ini.

"Kenapa... kenapa aku tak boleh lupa?" bisik Eliana pada diri sendiri.

Eliana tutup muka dengan tangan, cuba menenangkan diri. Air mata mengalir, tanpa dia sedar. Tangannya menggigil, hati dia rasa seperti ditekan kuat-kuat. Setiap kali mimpi itu muncul, rasa takut dan perasaan bersalah kembali menghantui.

"Lia... Eliana!" Suara lembut, tapi tegas, disertai dengan ketukan pintu bilik buat Eliana tersentak. Dia sapu air mata yang masih ada di pipi dengan pantas. Selimut ditarik rapat ke dada, cuba menenangkan degup jantung yang masih kencang.

Pintu bilik terkuak sedikit, menampakkan wajah mama angkatnya, Datin Faraa. "Lia, dah pukul 8 lebih ni. Tak pergi kerja ke?" tanya Datin Faraa dengan nada sedikit risau.

Eliana mengangguk perlahan, cuba tersenyum. "Ya, ma. Lia bangun sekarang."

Datin Faraa memerhatikan Eliana sejenak, perasan wajah anak gadisnya kelihatan agak kusut. "Kamu mimpi buruk lagi ke?" tanya Datin Faraa, suaranya lembut penuh kasih sayang.

Eliana terdiam seketika, cuba menyembunyikan rasa resah. "Tak... tak ada apa-apa, ma. Lia cuma penat sikit je."

Datin Faraa  menghela nafas, wajahnya tetap memancarkan kerisauan. "Okay, tapi jangan paksa diri sangat. Kalau tak larat, rehatlah dulu. Kerja boleh tunggu."

Datin Faraa mendekati katil dan membetulkan selimut Eliana. "Mama turun dulu. Sarapan, mama dah sediakan. Lia dah siap, turunlah."

Eliana mengangguk. Dia lihat Datin Faraa keluar, menutup pintu dengan perlahan. Bila suasana kembali sunyi, Eliana tarik nafas panjang.

Dia tahu dia perlu kuat, perlu teruskan hidup. Tapi setiap kali dia cuba melangkah ke depan, bayangan masa lalu itu menariknya kembali. Dengan berat hati, Eliana bersiap untuk turun ke dapur, menghadapi hari baru yang masih penuh dengan misteri dan rasa bersalah yang dia pendam sendiri.

────୨ৎ────

Emir melangkah masuk ke dalam banglo makciknya selepas berjoging. Peluh membasahi wajahnya, namun fikiran dia berada jauh, melayang memikirkan masa lalunya. Dia menanggalkan kasut larian dan terus menuju ke ruang tamu. Di sudut ruang tamu, rak buku besar mempamerkan koleksi album dan buku lama.

Dengan langkah perlahan, Emir mencapai sebuah album usang di rak tersebut dan duduk di sofa. Helaian demi helaian dibukanya, menyingkap memori silam. Matanya tertumpu pada gambar ibu bapanya yang sedang tersenyum. Hatinya terasa pedih.

"Emir!" Suara makciknya, Puan Esme, mengejutkannya dari lamunan. Cepat-cepat Emir menutup album dan meletakkannya semula di rak.

Puan Esme berdiri di muka pintu ruang tamu, memandang Emir dengan kening sedikit berkerut. "Balik jogging, terus duduk sini... Emir tengok album lama tu lagi ke?"

Emir cuba tersenyum sambil menggeleng. "Tak ada apa, aunty. Saja... teringat sikit."

Puan Esme berjalan mendekatinya, duduk di kerusi berdekatan. "Emir ni... aunty dah cakap, jangan fikir sangat benda yang lepas. Emir tak kerja ke hari ni?"

Emir tersandar sambil menghela nafas panjang. "Kes sebelum ni baru je selesai, aunty. So, Emir hari ni tak kerja. Nak rehat sikit. Penat."

Puan Esme mengangguk, memandang wajah anak saudaranya dengan penuh keprihatinan. "Pergi mandi dulu, nanti aunty buatkan sarapan. Kita makan sama-sama, okay? Masam lah Emir ni."

"Eh... Emir masam ke?" Dia bersandar ke depan, sengaja nak menyakat makciknya. "Emir ni hensem, wangi 24 jam tau, aunty."

Puan Esme menjeling dengan senyum kecil, malas melayan. "Ish, budak ni. Pergi mandi cepat, jangan merepek. Perasan betul."

Emir ketawa kecil melihat reaksi makciknya. Puan Esme bangkit dari kerusi, menuju ke dapur sambil menggeleng kepala. "Cepat pergi mandi. Masam sangat ni."

Emir tersenyum, memandang makciknya berlalu. Namun, sebaik sahaja Puan Esme hilang dari pandangan, senyuman di wajah Emir perlahan-lahan lenyap. Hatinya kembali terasa berat.

Dengan helaan nafas, dia bangun dan melangkah ke bilik mandi, cuba mencuci beban yang menghantui dirinya, walaupun untuk seketika.

Jari yang MengunciWhere stories live. Discover now