Part 7

112 6 2
                                    

Keesokan harinya, Emir bertemu Zarif di sebuah kafe yang tenang, jauh dari hiruk-pikuk kota. Zarif sudah pun menunggu di meja tepi jendela, dengan wajah yang kelihatan sedikit tertekan sambil melihat skrin telefonnya.

"Assalamualaikum," Emir memberi salam sambil menarik kerusi untuk duduk di hadapan Zarif.

"Waalaikumussalam. Kau nak kopi ke?" tanya Zarif, cuba bersikap selamba, tapi Emir dapat melihat kerut halus di wajahnya yang menggambarkan sesuatu sedang mengganggu fikirannya.

Emir menggeleng perlahan. "Aku nak tahu perkembangan pasal kereta tu. Ada apa-apa yang kau jumpa?"

Zarif meletakkan telefonnya di atas meja dengan perlahan, menarik nafas dalam sebelum menjawab. "Aku dah periksa kereta tu, no plat yang kau dapat hari tu... tak berdaftar, Emir. Aku cuba tengok CCTV dekat kawasan tu, tapi tak ada rakaman yang jelas muka pemandu. Semuanya blur."

Emir mengetap bibir, jelas kecewa. "So, tak ada petunjuk siapa yang buat semua ni?"

Zarif menggeleng. "Aku rasa ini bukan kerja amatur. Siapa pun yang buat ni, dia tahu apa yang dia buat. Sebab tu tak ada rekod kereta, tak ada jejak yang kita boleh guna. Dia sengaja hilangkan semua bukti."

Emir mengangguk perlahan, cuba memproses apa yang baru didengarinya. "Dan kau pasti tak ada langsung siapa-siapa yang nampak?"

Zarif menggeleng perlahan. "Tak ada, Emir. Sorry. Tapi aku akan terus cuba cari petunjuk lain."

Emir memejam mata sebentar, cuba menenangkan diri. "Okay," Emir akhirnya berkata, membuka mata dan menatap Zarif. "Kau teruskan siasatan. Aku tak boleh biarkan berlarutan. Kalau ada apa-apa perkembangan, kau bagitahu aku as soon as possible."

Zarif mengangguk. "Alright. Aku akan pastikan semua maklumat sampai kat kau."

Emir memandang jauh ke luar jendela. Fikiran berputar tentang Eliana. Dia tahu Eliana tak boleh tahu apa yang sedang berlaku sebenarnya. Dia mahu melindungi Eliana tanpa menambah beban di bahu wanita itu. Tapi dalam hati kecilnya, dia sedar Eliana perlu dilindungi dengan lebih rapi.

"Satu lagi," Emir bersuara, menarik perhatian Zarif kembali kepadanya. "Aku rasa, kita perlu langkah tambahan."

Zarif mengangkat kening, menanti penjelasan Emir.

"Aku nak sesiapa untuk jaga Eliana dari jauh. Pastikan setiap pergerakan dia selamat. Kalau ada apa-apa yang mencurigakan, lapor terus pada aku. Aku tak boleh biarkan dia dalam bahaya, Zarif. Setiap hari aku risau. Dan, Eliana tak perlu tahu. Sebab kalau dia tahu, aku yakin dia akan tolak."

Zarif menepuk bahu Emir, cuba memberi sokongan. "Aku faham. Kau jaga dia, biar aku uruskan yang lain."

Emir senyum kecil, dalam hati dia berjanji, apa pun yang terjadi, dia takkan biarkan sesiapa pun cederakan Eliana. Dia akan lakukan apa saja untuk melindunginya, walaupun Eliana tak tahu ancaman sebenar yang sedang mereka hadapi.

────୨ৎ────

Eliana berdiri di tengah taman bunga, memegang penyiram air di tangan. Pagi itu tenang, sinar matahari pagi memancar lembut ke atas daun-daun hijau. Dia cuba memusatkan fikirannya pada bunga-bunga yang sedang disiram, tapi langkah kaki yang semakin mendekat membuatkan dia menegangkan bahunya. Tanpa menoleh, dia sudah tahu siapa yang datang.

"Lia, buat apa kat sini?" Suara Fahrin tiba-tiba menegur dari belakang, nadanya seperti biasa. Keras dan penuh ingin tahu.

Eliana menoleh sedikit, menghela nafas pendek. "Siram bunga," jawabnya ringkas, cuba menenangkan hatinya. Dia tahu apa yang akan datang seterusnya.

Jari yang MengunciWhere stories live. Discover now