Di balik kelir senja yang merayap masuk ke bilik persendirian itu, wanita berselendang putih berdiri di sisi tingkap, menatap dunia luar dengan mata penuh renungan. Dia tidak menyedari langkah-langkah halus menghampirinya sehinggalah satu suara yang penuh amaran berbisik dari belakang.
“Kau tak patut muncul tiba-tiba, jika mereka tahu kau siapa”
Wanita itu menoleh, namun sebelum sempat dia menjawab, lelaki di hadapannya. Tun Raden sudah melanjutkan kata-katanya, suaranya dalam dan penuh dengan keyakinan.
"Aku mampu berlawan dengan sepuluh orang musuh, namun ada satu manusia yang aku takutkan lebih daripada mereka semua.”
Dia merenung tajam ke arah wanita itu. “Manusia yang berbisa... yang pandai berkata-kata, memutar belitkan fakta.”
Wanita itu tersenyum kecil, bibirnya melengkung dengan sinis tetapi lembut. “Aku akan menganggap itu sebagai pujian buatku.”
Mereka bertukar pandangan sejenak. Mata yang penuh rahsia dan kasih yang terpendam. Di antara mereka, ada sejarah yang lama terukir, namun terasing oleh masa dan keadaan. Tun Raden, lelaki yang gagah perkasa di medan perang, kini berdiri di hadapan wanita yang dia hormati dengan hati yang lembut.
Dia mendepakan tangannya perlahan, isyarat yang dipahami dengan segera oleh wanita itu.
Tanpa berkata apa-apa, wanita itu melangkah ke arahnya, dan dalam sekelip mata, dia berada di dalam pelukan lelaki itu.
Pelukan itu bukan hanya sekadar kehangatan hubungan darah, tetapi ikatan hati yang lebih dalam, yang dipisahkan oleh masa dan tanggungjawab yang berbeda. Kedua-dua mereka terdiam, seolah-olah sedang merasakan berat perpisahan yang lama.
Kemudian, dengan penuh kasih, Tun Raden menunduk dan mencium dahi wanita itu sebuah tanda hormat dan kasih sayang yang tiada tanding.
"Sudah lama kita tidak bertemu, Tun Ranea… adik kesayanganku.”
"Kenapa abang berada di Langkasura?" Ranea memandang dengan mata tajam. "Adakah bakal berlaku pergolakan kuasa di sini?"
Tun Raden tersenyum senget, seakan cuba menyembunyikan sesuatu di balik wajah seriusnya.
"Mungkin aku cuma rindu mahu bertemu dengan pahlawan handalanku," gurau Raden
Tun Ranea mengerutkan dahi, keliru sejenak.
"Pahlawan handalan?"
Dia tersenyum, tetapi matanya masih tidak mengerti maksud sebenar kata-kata abangnya.
Raden menatap adiknya dengan pandangan yang tajam, matanya memancarkan kebijaksanaan yang terselindung.
“Aku tahu tentang kejadian kanak-kanak yang hampir dibunuh oleh Ketua Berhala itu, Ranea,” katanya perlahan namun penuh makna.
“Namun tiba-tiba, ada satu panahan yang laju dan tepat... menghalang niat keji mereka."
Tun Ranea terdiam, menyedari arah perbualan itu semakin mendalam.
“Bagaimana abang tahu?” tanyanya dengan nada rendah. “Bagaimana abang tahu itu aku?”
Raden tersenyum, kali ini lebih lebar.
“Panahan itu... ketepatannya. Gerakan yang begitu berseni dan tajam, tiada siapa yang mampu melakukannya kecuali kau. Ia adalah teknik yang hanya diajarkan oleh ayah kita.”
Tun Ranea tergelak kecil, menggelengkan kepalanya.
"Teknik memanah pantas dari lutut, kan? Menarik tali busur dengan sebelah tangan, sementara sebelah lagi menahan pergerakan anak panah untuk meningkatkan daya ketepatan... Ayah kita saja yang begitu keras melatih kita begitu."
"Dan kau satu-satunya yang boleh menguasainya dengan sempurna," kata Raden sambil memandang Ranea dengan kagum.
“Itulah sebabnya aku tahu. Kau sudah tidak boleh bersabar lagi, bukan?”
Ranea memandang keluar tingkap, matanya tajam memerhatikan bulan purnama yang menggantung di langit gelap.
“Aku sudah serik bersabar dan bersembunyi di sebalik orang-orang tamak dan bermuka-muka ini. Mungkin tidak dapat aku menentang mereka secara terbuka... tapi...”
Tun Raden tersenyum kecil, melengkapkan kata-kata adiknya.
“...tapi Tun Ranea telah menjadi penyelamat yang hanya dikenali dengan jubah hitam dan kain muka yang menyembunyikan identitinya.”
Ranea mengangguk perlahan, seakan mengakui kebenaran itu. Dia memang sudah penat dengan permainan politik yang penuh tipu muslihat di Langkasura, dan dalam diam, dia telah berjuang dalam bayangan sebagai seorang penyelamat yang misteri.
Kemudian, Raden menegakkan tubuh, suaranya kembali serius.
“Namun, aku di sini bukan hanya untuk berbual kosong. Aku datang sebagai utusan untuk berunding dengan Raja Langkasura atas urusan diplomatik sulit. Hanya pihak atasan yang mengetahuinya.”
Ranea menangguk, matanya berkilau dengan rasa ingin tahu.
“Jadi Lekir menghantar surat kepadaku melalui helangnya... bertanya di manakah abang berada. Tapi kenapa abang bersembunyi di Langkasura buat dua hari ini?”
Tun Raden menghela nafas panjang, wajahnya menunjukkan kekusutan yang sukar disembunyikan. “Ada sesuatu yang menghalang aku dari pergi ke Nusantara dengan segera. Sesuatu yang tidak aku jangka.”
Ranea merenung tajam ke arah abangnya, cuba memahami maksud di balik kata-kata itu. “Apakah sesuatu itu?”
Raden berpaling, tatapannya berat, seolah-olah memikirkan langkah seterusnya. “Aku memerlukan bantuanmu, Ranea. Kau lebih tahu tentang pergerakan di dalam Langkasura. Dan kali ini, aku perlukan kepintaranmu… dan mungkin, panahanmu.”
Ranea tersenyum penuh makna, walau hatinya berdebar. “Kau tahu aku sentiasa di sini, sedia berjuang. Apa pun yang kau perlukan, abang. Kita akan hadapi bersama-sama.”
YOU ARE READING
NUSANTARA AGUNG
Historical FictionCabaran yang ditempuhi Sultan Ibrahim Razza, serta 5 pahlawan setiannya bagi menegakkan dan memperluaskan kerajaan islam di serata dunia