Nusantara (1)

12 2 0
                                    

Hampir setengah jam menunggu. Sultan Abdullah berdiri teguh di luar kamar istana, jantungnya berdegup kencang meskipun wajahnya kelihatan tenang. Di sebalik pintu kayu yang tebal itu, isteri kesayangannya, Sultanah Halima, sedang bertarung nyawa.

Udara malam yang sejuk terasa menusuk, namun Sultan Abdullah tidak berganjak walau sedikit. Matanya tertancap ke arah pintu, seolah-olah dia dapat melihat apa yang berlaku di dalamnya. Dia menanti dengan penuh debaran, menunggu bunyi yang dinantikan oleh setiap lelaki yang bergelar ayah iaitu tangisan bayi.

Masa seperti bergerak terlalu perlahan, seolah-olah malam enggan memberi jawapan kepada harapannya. Peluh dingin mula membasahi dahi Sultan Abdullah. Adakah ini masanya? Adakah saat yang ditunggu-tunggu hampir tiba? Dalam sunyi malam, Sultan Abdullah menundukkan kepala dan berdoa agar kelahiran itu berjalan dengan selamat, agar zuriat yang dinantikan lahir ke dunia tanpa sebarang halangan.

Tiba-tiba, bunyi yang menggetarkan jiwa itu bergema di udara. Suara tangisan bayi memecah sunyi, membawa bersamanya kelegaan yang sukar digambarkan. Mata Sultan Abdullah berkaca-kaca.

Dunia seakan terhenti sejenak, ketika Sultan Abdullah bersedia untuk menyambut kehadiran zuriat.

"Tahniah tuanku, Sultana Halimah selamat melahirkan seorang putera"

Alangkah gembiranya hati lelaki yang bergelar ayah itu apabila mengetahui bahawa dia akan memilki raja kecil.

Sujud syukur dilakukan sebaik sahaja mendengar tangisan bayi yang ditunggu-tunggu itu.

Sambil berdiri dan menghela nafas panjang, Sultan Abdullah memandang ke arah kamar di mana Sultana Halima sedang dipulihkan oleh dayang-dayang istana. Hatinya penuh dengan rasa bangga dan cinta yang tidak terhingga. Setelah berfikir sejenak, dia membuat keputusan yang telah lama tersimpan dalam jiwanya.

Anak ini akan dinamakan Ibrahim Razza, sempena nama almarhum datuknya yang telah banyak berjasa membina kegemilangan negeri. Nama itu membawa maksud kekuatan dan rahmat, sesuai untuk seorang yang akan meneruskan legasi pemerintahan mereka.

Seketika kemudian, seluruh penghuni istana menyambut gembira berita kelahiran pewaris baru itu. Suara kegembiraan dan doa-doa bergaung di setiap sudut istana.

Sahabat karibnya, Tun Jafar, yang setia di sisinya sejak mula, mendekati Sultan Abdullah. Dengan senyuman lebar, Tun Jafar memeluk bahu Sultan Abdullah dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.

"Nama yang hebat, Tuanku. Semoga dia menjadi cahaya bagi penghuni istana dan bara api kepada musuh di luar"

Sultan Abdullah tersenyum. Kata-kata itu menyentuh hatinya, memberi kekuatan kepada impiannya untuk masa depan kerajaan ini. Hari ini adalah permulaan baru, bukan sahaja untuk dirinya sebagai seorang ayah, tetapi untuk seluruh kerajaannya.








Dataran yang terbentang luas di hadapan istana, matahari pagi menyinari tanah dengan keemasan, menyaksikan ketangkasan dan kehebatan kumpulan tentera elit yang dikenali sebagai Fursan. Di tengah-tengah gelanggang latihan, Laksamana Ahmet berdiri tegak, memerhati setiap gerakan anak buahnya dengan mata yang tajam dan penuh perhatian. Fursan, satu pasukan yang hanya terdiri daripada pahlawan terbaik kerajaan, menunjukkan disiplin dan keberanian luar biasa.

Mereka bergerak serentak, seolah-olah bernafas dengan satu rentak. Setiap libasan pedang yang dilakukan penuh ketepatan, setiap panahan dilepaskan dengan kekuatan dan kelajuan yang mencengangkan

Di bawah arahan Ahmet, mereka bukan sahaja mahir dalam seni bertempur, tetapi juga diikat dengan kod etika dan disiplin yang tinggi, mengabdikan diri sepenuhnya untuk melindungi kerajaan dan memuliakan Sultan.

Keringat mengalir di wajah-wajah mereka, namun tidak seorang pun yang menunjukkan tanda keletihan. Semangat mereka berkobar-kobar, latihan ini bukan sahaja ujian fizikal, tetapi juga ujian mental untuk menjadikan mereka tentera yang sempurna.

Di kejauhan, dari sudut sebuah anjung istana, Tun Jafar, Bendahara yang setia, sedang memerhati latihan tersebut dengan penuh tumpuan. Jari-jarinya mengalun lembut manik-manik tasbih, bibirnya berzikir dalam hening. Matanya terarah kepada setiap pergerakan Fursan, namun fikirannya berlayar jauh, memikirkan sesuatu yang lebih besar daripada latihan yang sedang berlangsung di hadapan matanya.

Langkah kaki yang tenang menghampirinya. Sultan Ibrahim muncul dari balik tiang istana, wajahnya teduh namun penuh kewibawaan. Dia mendekati Tun Jafar, berdiri di sisinya sambil sama-sama memandang ke arah dataran latihan.

"Bendahara," tegur Sultan dengan suara lembut namun penuh makna. "Apa yang kau renungkan begitu dalam?"

Tun Jafar tersenyum tipis, menghela nafas panjang. "Hamba memerhati Fursan di bawah arahan Laksamana Ahmet. Hebat sungguh mereka, seperti perisai hidup yang tak tertembus. Namun, hati hamba sedikit terganggu, Tuanku."

Sultan Ibrahim mengangguk perlahan, memahami kebimbangan sahabat setianya.

"Jangan bimbang tentang Tun Raden," kata Sultan dengan tenang, seolah-olah dia telah membaca isi hati Bendahara.

"Dia masih belum pulang dari Langkasura, tetapi aku yakin dia baik-baik saja"

Tun Jafar menarik nafas dalam, memandang jauh ke hadapan. "Hamba tidak risau tentang anak hamba, Tuanku. Tun Raden telah terlatih sebagai seorang pahlawan yang hebat sejak kecil. Namun, apa yang hamba khuatirkan..."

Suaranya terhenti sejenak, seolah-olah berat untuk meneruskan kata-kata yang bersarang dalam hatinya.

Sebelum Tun Jafar sempat menghabiskan ayatnya, Sultan Ibrahim segera menyela dengan nada penuh keyakinan.

"Tun Raden adalah pahlawan yang setia, Jafar. Ada sebab dia belum membawa khabar dari Langkasura. Aku yakin dia tidak akan membelot kerajaan Nusantara."

"Apa sahaja rintangan yang dihadapinya, dia akan berjaya melaluinya. Dan jika dia memerlukan bantuan, aku yakin dia akan menghantar berita. Bersabarlah, Jafar. Kesetiaan dan kebijaksanaan Tun Raden akan membuahkan hasilnya pada waktunya."

Namun, meskipun hati Tun Jafar tidak sepenuhnya lega, dia tidaklah terlalu risau. Ada seseorang lagi di Langkasura yang menjadi sandaran utamanya, seseorang yang tidak banyak diketahui oleh orang lain.

Namun, bagi Tun Jafar, kehadiran individu itu memberi harapan besar dalam apa yang sedang berlaku. Dia bukan sekadar seorang utusan biasa,
dia seorang wanita yang telah lama menetap di Langkasura, menyusup masuk dalam jaringan kuasa dan pengaruh yang sulit di sana.

Wanita ini, tanpa nama yang dikenal oleh kebanyakan orang, bergerak dengan keanggunan dan kecerdasan yang mampu mengalahkan para pembesar paling licik di Langkasura.

Bijaknya dia, sehingga dia berjaya membina reputasi yang kuat di kalangan bangsawan dan pedagang di sana tanpa menonjolkan diri sebagai ancaman. Dia tahu cara memanipulasi kata-kata dan memahami permainan kuasa yang tersembunyi, seolah-olah setiap gerakannya adalah percaturan yang telah direncanakan dengan sempurna.

Dia juga memiliki pengaruh yang mendalam, mampu mencipta kesetiaan yang tak tergoyahkan di kalangan mereka yang mengenalnya. Namun, dalam semua kehebatannya, satu perkara yang tetap terpelihara adalah identitinya.

Tidak ramai yang tahu siapa sebenarnya dia, apatah lagi peranannya yang penting dalam memastikan keseimbangan politik antara Langkasura dan Nusantara Agung.

Tun Jafar memandang Sultan Ibrahim dengan mata yang bercahaya penuh keyakinan.

"Hamba tidak bimbang, Tuanku. Tun Raden tidak sendirian di Langkasura. Ada seseorang di sana, seseorang yang telah lama menetap dan memahami setiap sudut politik dan rahsia kerajaan itu. Dengan dia di sisi Tun Raden, apa jua yang berlaku di Langkasura, mereka akan temui jalannya."

Sultan Ibrahim memandang Bendahara dengan penuh minat. "Seseorang?" tanya Sultan, seolah-olah ingin tahu lebih lanjut. Namun, Tun Jafar hanya menggeleng dengan senyuman tipis.

"Percayalah, Tuanku. Wanita itu... dia lebih bijak dan berpengaruh dari yang kita sangka. Jika dia bersama Tun Raden, maka hamba yakin, tiada apa yang perlu dirisaukan," kata Tun Jafar, menyimpan rahsia itu dalam dadanya, biarkan identiti wanita misteri itu kekal tersembunyi

NUSANTARA AGUNGWhere stories live. Discover now