PETANG Khamis itu, hanya Lily berada di rumah. Tabby sedang tidur di ruang tamu tingkat atas manakala Maryam masih belum pulang dari tempat kerjanya. Masa beginilah paling sesuai untuk dia membakar kek. Kalau tidak, pasti ada sahaja kekacauan yang akan dibuat oleh Tabby semasa Lily berada di dapur.
Kucing baka Ragamuffin itu gemar mencari perhatian semasa tuannya dalam situasi sibuk. Dia tak tahu ke kita tengah bekerja keras nak beli Royal Canin dia ni?
Dulang pembakar yang berisi 20 biji kek cawan dimasukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan. Sementara menanti kek cawan tersebut masak, Lily membuka peti sejuk. Kek coklat moist yang telah siap dikeluarkan dan diletak di atas meja.
Seperti yang dijanjikan, dia bercadang mahu memberikan kek tersebut kepada Puan Zaharah sebagai balasan kepada cempedak goreng wanita itu tempoh hari. Walaupun tak seberapa, tapi Lily harap keknya kena dengan selera wanita itu. Dia telah mencuba sebaik mungkin untuk menghasilkan kek yang kurang manis dan tak muak semasa dimakan.
Dan kalau ada rezeki, mungkin Puan Zaharah boleh jadi salah seorang daripada pelanggan tetapnya. Manalah tahu, kan?
Lily pandang ketuhar sejenak. Kemudian, jam yang tergantung pada dinding dilihat.
Masih ada 15 minit sebelum kek cawannya siap dibakar. Ada baiknya dia pergi ke rumah Puan Zaharah sebentar untuk menghantar kek itu sementara ia masih sejuk.
Lantas tudung disarung ke kepala. Dengan kek coklat di tangan serta bekas Tupperware yang ingin dipulangkan, Lily mengatur mengatur langkah kemas ke rumah jiran depan.
Mulut sudah dibuka untuk memberi salam, tapi belum sempat Lily mahu berbuat demikian, pintu rumah tiba-tiba terkuak dari dalam. Kelibat Raqib muncul di sebalik pintu itu.
Lelaki itu nampak kacak mengenakan t-shirt polo berwarna kelabu muda yang disisipkan sedikit ke dalam seluar. Ada cermin mata hitam turut tersangkut pada kolar bajunya. Santai tapi kemas dan bergaya! Terpegun Lily sejenak.
Tapi… Raqib nak ke mana? Tengok gaya macam nak pergi dating aje.
Eh!
Dating?!
Kejap, kejap!
"Hadi betul. Kau ada nampak tak Abang Is buat macam tu dengan Kak Hanis? Tak ada, kan? Dengan Kak Lily aje Abang Is matching-matching."
Sekonyong-konyong Lily teringat semula perbualan antara sepupu-sepupu kecil Raqib dua hari lepas. Tertanya-tanya juga dia siapakah gerangan bernama Hanis itu. Tapi untuk bertanya, Lily segan.
Apatah lagi, dia tiada kaitan dengan keluarga itu. Dia cuma orang asing merangkap jiran depan rumah Raqib. Langsung tidak layak untuk ambil tahu tentang hubungan atau kehidupan peribadi lelaki itu.
"Lily?"
Lily tersentak. Terkebil-kebil dia merenung Raqib yang sudah berdiri di depannya. Bila masa lelaki itu buka pagar? Kenapa dia langsung tak dengar dan perasan?
"Nak masuk?"
"Tak apa. Saya singgah sekejap aje ni." Lily menolak lembut pelawaan Raqib. Dia tak boleh lama-lama di situ. Bimbang 20 biji cuppies dalam ketuhar bertukar hitam dan hangus.
Lagi-lagi dia perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 100 biji kek cawan untuk karnival di sebuah universiti tempatan esok.
"Cari umi ke?" tanya Raqib lagi. Sempat matanya melirik ke arah kek coklat dan dan bekas Tupperware kosong di tangan Lily.
Eh? Macam kenal.
"Ya, cari umi. Eh! Maksud saya… aunty Zaharah. Dia ada?" Lily pantas menggeleng tatkala menyedari dia telah tersasul.

ANDA SEDANG MEMBACA
Lily Untuk Raqib [C]
RomanceRAQIB ISA | LILY HANA "Terima kasih." ㅡ Raqib Isa "Untuk apa? Bukan saya yang jumpa barang awak tu pun. Kucing saya yang curi, tahu?" ㅡ Lily Hana Raqib dan Lily. Mereka bertemu dan berkenalan buat kali pertama apabila Tabby, si bulus kesayangan Lily...