"Hei, perempuan. Esok kita orang nak pergi Hawaii. Kau duduk sini jaga rumah, ya?" Mikayla tertawa kecil. Dia memandang Khayla dengan pandangan sinis. Suka benar dia apabila dapat tahu yang madunya ditinggalkan di Malaysia.
Yalah, siapa saja tak gembira? Kalau dia dapat tahu Ziyyan bawa Khayla sekali, memang dia mogok tak mahu keluar. Bukan setakat itu saja, boleh jadi dia akan sunatkan Ziyyan buat kali kedua. Berani buat, tahulah nasib!
"Okeylah, aku nak fikir baju apa yang sesuai untuk aku pakai esok. Kau tolong packing baju aku boleh?" pinta Mikayla sambil sengih jahat. Khayla yang tak berdaya nak membantah hanya mampu angguk, lalu berlalu ke tingkat atas.
Mikayla pula hanya ikuti langkah Khayla dari belakang. Memang dalam fikirannya ada cara untuk kenakan wanita itu.
Sampai saja di bilik, Mikayla terus rebahkan dirinya di atas katil. Mengeluh resah seolah-olah dia yang paling kepenatan. Wanita itu mula menggunakan kuasanya sebagai seorang wanita yang lebih hebat daripada Khayla sendiri. Pelbagai arahan yang dia beri, mengarah Khayla lakukan itu ini.
Manakala Khayla pula hanya akur tanpa membantah sedikitpun. Dia tak mahu telinganya berdesing mendengar maki hamun daripada Mikayla sendiri, walau dia sudah lali mendengarnya dari mulut orang lain sebelum ini.
Setelah selesai, Khayla pun berlalu ke biliknya. Tempat di mana dia letakkan telefonnya di situ. Skrin dinyalakan. Mesej WhatsApp yang masuk membuatkan wanita itu kerutkan dahi.
"Bila akak nak lari dari rumah tu? Beritahu tarikh, masa. Yang lain saya sediakan semuanya untuk akak."
Hanya itu saja mesej yang dikirim. Wanita itu mula garu kepala. Khayla tahu kali ini Wafiy serius. Tidak main-main.
Aduh, macam mana ni? Tapi Khayla juga memang bercadang nak hilangkan diri. Baru sebulan lebih tinggal bersama sudah umpama neraka baginya. Bukan, mungkin lebih daripada itu.
Mana tidaknya, kalau dah sampai tahap kurung isteri, siapa saja yang mampu bertahan? Memang gila kalau ada isteri yang masih tetap setia dengan suami berperangai seperti itu. Dia pun kadang-kadang lelah, hingga hampir depresi.
Khayla tarik nafas dalam-dalam. Cuba memerah otak merencana strategi sebaik mungkin. Berharap kali ini dia lakukan keputusan yang tepat. Kalau tidak, mungkin dia akan menyesal seumur hidup.
SUASANA pada malam itu sunyi dan sepi. Senyap seperti selalu. Ziyyan hanya buat hal sendiri, begitu juga dengan Khayla. Masing-masing bungkam.
Khayla sedang berdiri di hadapan kabinet, membancuh air untuk suaminya. Manakala Ziyyan pula sedang ralit melihat skrin telefon. Tangan kanannya memegang roti bakar.
Entah angin apa lelaki itu makan roti bakar malam-malam buta, tak faham Khayla. Cuma untuk mengisi masa lapang kut.
Setelah siap bancuh air kopi, diletakkan cawan itu di hadapan Ziyyan. Lelaki itu tidak bersuara. Matanya pegun pada skrin iPhonenya, manakala mulut pula asyik mengunyah.
Tanpa menanti balasan, Khayla berlalu ingin masuk ke bilik. Belum sempat dia melangkah jauh, kedua-dua kaki Khayla terpaku tatkala mendengar suara garau Ziyyan bersuara.
"Nak ke mana?" Perlahan-lahan Khayla menoleh ke belakang. Mata jejaka itu asyik pandang telefon. Rahangnya bergerak melumatkan roti bakarnya dalam mulut. Tetap kekal dengan posisinya tadi. Aneh, tengah sedap makan pun boleh perasan juga dia ingin pergi dari dapur!
"Duduk sini," pinta Ziyyan tanpa memandang ke arah Khayla. Khayla diam seketika. Kemudian, perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di atas kerusi di sebelah suaminya.
"Teman aku." Mendengar dua patah perkataan itu cukup membuatkan badan Khayla tersentak. Matanya bergerak ke atas dan ke bawah. Tidak percaya.
"Tak payahlah buat-buat terkejut. Aku dah nak siap makan dah pun. Kejap lagi kau tolong aku kemas dapur, basuh cawan, tutup lampu." Juring hujung bibir Ziyyan naik setelah menuturkan kata-kata itu. Ingat senang-senang dia akan biarkan Khayla duduk macam patung di dapur ini?
YOU ARE READING
Atma Ziyyan Fael | C
Romance'Boleh tak, untuk sehari saja, abang peluk Khayla, tanpa rasa benci?' . Dia seorang lelaki yang kacak, kaya serta murah dengan senyuman. Namanya gah meniti dari bibir ke bibir para cendekiawan dan tern...