KhayFa - 42

1.9K 150 23
                                    

Televisyen ditutup. Jejaka itu menghela nafas panjang. Otot-ototnya yang rasa lenguh dibetulkan seketika. Mug hitam yang berisi kopi yang masih panas dicapai lalu Ziyyan melangkah ke bilik tidurnya.

Sebaik sahaja pintu dibuka, matanya menangkap satu susuk tubuh seorang wanita yang sedang tertidur lena di atas ranjang. Di luar sedar bibir Ziyyan mengukir senyum nipis.

Cawan kopi yang Ziyyan pegang tadi diletakkan di atas meja kecil di sisi tempat tidur. Jejaka itu naik ke atas katil, tubuh tegapnya yang tidak berbaju bersandar pada kepala kasur dengan dialaskan bantal. Selimut tebal menutupi separuh badannya.

Tangannya laju mencapai iPad yang dia letakkan di birai tilam, Apple Pencil diambil lalu mata Ziyyan fokus menghadap skrin peranti itu.

Sedang asyik dia melakar, satu erangan halus seorang wanita mengejutkan dia. Bingkas Ziyyan berpaling ke sisi. Cepat-cepat jejaka itu meletakkan gajetnya dan merapati Khayla yang sedang meracau. Tubuh kurus isterinya ditarik ke pelukan.

Semakin dia peluk tubuh wanita itu, semakin kuat pula isterinya itu meronta-ronta. Seolah-olah tidak mahu didakap oleh sesiapa. Dengan kudrat yang ada sebagai seorang lelaki, Ziyyan memeluk erat bagai tak mahu lepas, kepala wanita itu disandarkan pada dada bidangnya.

"Mmm...." Bunyi desahan lembut itu tetap terdengar oleh telinga Ziyyan. Semakin lama semakin kuat seolah-olah sedang menjerit. Badan Khayla cuba menolak tubuh suaminya, tapi gagal. Ziyyan pula rangkul tubuh kecil itu semakin kuat, tetapi Khayla seakan-akan sedang meronta-ronta ingin melepaskan diri.

"Hnn... Hnn...." Gumaman dalam itu kedengaran sangat lemah. Dada Ziyyan dipukul berkali-kali. Seakan-akan ingin meluahkan segala kesakitan yang dipendam. Semakin banyak mutiara-mutiara jernih yang mengalir di pipi Khayla.

"Shh, jangan takut. Aku ada kat sini..." bisik Ziyyan penuh lembut. Bahu Khayla diusap-usap perlahan. Ayat-ayat suci turut dibacakan di telinga isterinya, supaya wanita itu kembali tenang. Rambut wanita itu dikucup dan diusap penuh kasih.

Kadang-kadang rasa ingin ketawa pun ada kerana waktu Khayla tidur atau tak sedar saja dia berani buat begini.

Terkedu Ziyyan tatkala perasan yang tubuh badan Khayla sedikit menggigil. Wajah isterinya itu juga kelihatan tegang, seolah-olah sedang bertarung dengan bayangan dalam mimpinya. Sesekali bibir pucat wanita itu bergerak, mengeluarkan gumaman halus yang Ziyyan tidak dapat fahami. Namun, jejaka itu tahu di sebalik mata Khayla yang terpejam, ketakutan itu jelas dapat dibaca.

"Hei, jangan takut. Aku ada dengan kau. Just sleep, okay? Don't cry, nanti tak cantik...." Jari-jemari besar Ziyyan naik mengusap air mata yang mengotori pipi mulus Khayla. Nampak jelas yang isterinya itu sangat ketakutan.

Ziyyan menoleh ke iPad. Pukul 2.15 pagi. Nampaknya hari ini dia terpaksa tidur lewat lagi. Risau andai Khayla tiba-tiba terbangun dan berjalan dalam tidur tanpa sedar seperti hari itu. Walaupun setiap kali Khayla terbangun, dia akan mudah terjaga dan disebabkan itulah jam tidurnya tak cukup.

Melihat tubuh badan Khayla yang terhinggut-hinggut akibat tersedu-sedan, Ziyyan mengusap perlahan belakang tubuh wanita itu. Tangan kurus Khayla dibawa ke dadanya. Biar wanita itu merasakan detak jantungnya meski isterinya itu tidak menyedari sama sekali. Supaya Khayla tahu yang dia tidak sendirian saat ini.

"Dah, dah. Jangan menangis. Aku ada. Aku ada kat sini," tutur Ziyyan perlahan. Nadanya kedengaran tenang dan sangat lembut. Tangan kanan Ziyyan naik mengusap lembut belakang badan dan ubun-ubun kepala isterinya sehingga wanita itu tertidur semula.

Akhirnya setelah beberapa minit, keadaan Khayla kembali tenang. Deruan nafas wanita itu kedengaran perlahan. Perlahan-lahan Ziyyan meletakkan isterinya kembali di atas katil. Selimut tebal disarung pada tubuh Khayla, biar isterinya itu tidak terlalu kesejukan.

Atma Ziyyan Fael | CWhere stories live. Discover now