Sejurus sahaja Fityani sedar, lafaz syukur meniti di bibir Pn. Hasniah. Tak cukup nafas gadis itu tatkala sang ibu terus sahaja memeluknya erat. Walaupun pelik dengan perihal tersebut, Fityani tidak berkata apa-apa. Dia hanya membalas sahaja pelukan itu.Dan seperti biasa, pelukan seorang ibu itu sungguh ajaib. Tenang dan damai sahaja yang Fityani rasa dikala berada di dalam pelukan sang ibu.
Setelah beberapa hari berada di hospital, akhirnya Fityani dibenarkan untuk keluar. Berpuluh pesanan dan nasihat Aida beri pada bakal adik iparnya itu agar tidak terlalu memikirkan tentang apa yang terjadi. Dia sudah anggap Fityani sebagai adik kandungnya sendiri. Sebab itulah dia mahu gadis itu jaga kesihatannya baik-baik.
"Adik jom?" Fityani berpaling seketika sebelum terus membuka langkah.
Zill yang sedang menunggu itu didekati. Di tangan lelaki itu terdapat sebuah beg kepunyaan Fityani. Untuk hari itu, Zill yang akan mengambil Fityani dari hospital untuk pulang ke rumah. Suha tak dapat hadir kerana dia terpaksa menyelesaikan beberapa masalah yang timbul di kliniknya manakala ibu dan ayah pula sedang menunggu di rumah.
"Adik nak apa-apa tak sebelum kita balik ni? Kalau ada nak makan apa-apa bagitahulah." Fityani pandang abangnya dengan satu renungan tidak dapat ditafsirkan.
"Adik?"
"Nak waffle." Halus sahaja nada yang dia gunakan ketika itu.
"Apa dia?" Zill mendekatkan kepalanya ke Fityani untuk mendengar jawapan si adik. Suara Fityani tadi terlalu perlahan.
"Nak waffle." Ulang gadis itu semula.
"Waffle? Hmmm. Abang tahu satu kafe ni. Waffle dia sedap dan suasana kafe dia pun okey. Kita pergi sana nak?" Fityani mengangguk sahaja, bersetuju. Melihat itu Zill kulum senyum.
"Pakai seatbelt tu dik. Kita nak gerak dah ni." Seakan tersedar, laju sahaja Fityani melilitkan tali pinggang keselamatan ke tubuh. Dan barulah Zill menurunkan brek keretanya. Tak lama kemudian, mereka sampai ke sebuah kafe yang agak moden. Masuk sahaja mereka ke dalam kafe itu, Fityani diam melihat sekeliling hinggakan Zill terpaksa menarik lengan adiknya dikala terdapat beberapa orang pelanggan hendak masuk ke dalam.
"Dik, jangan duduk tengah jalan." Bisik Zill menasihati. Fityani yang sedar akan kesalahannya diam tidak berkata apa-apa. Mereka pergi ke kaunter untuk memesan makanan.
"Adik nak waffle apa?" tanya Zill dahulu sebelum memesan.
"Coklat strawberi."
"Nak makan sini ke tapau?"
"Tapau."
"Ada nak air apa-apa tak?"
"Tak nak." Selepas sahaja Zill memesan, mereka tunggu untuk beberapa minit sebelum waffle Fityani siap disediakan.
"Terima kasih,"
"Sama-sama."
Setelah dapat sahaja wafflenya, Fityani terus merasa secubit. Tanpa sedar, hujung bibirnya ternaik sendiri. Baru sahaja gadis itu hendak melangkah, Zill tiba-tiba menahan pergerakkan si adik.
"Dik kejap dik. Perut abang memulas ni, adik tunggu abang kejap dekat sini ya? Abang nak pergi tandas kejap" Gadis itu diam sahaja melihat susuk abangnya yang semakin menghilang itu.
Nampak macam tak tahan betul tu.
Tak tunggu lama, tempat duduk mereka tadi diduduki kembali.
Sedang Fityani menikmati makanannya, seorang jejaka tiba-tiba mengambil tempat meja hadapannya. Dulang yang ditatang tadi diletak atas meja lalu sepinggan kek yang baru sahaja dipilihnya tadi dialihkan dari dulang tersebut. Dengan lafaz bismillah, jejaka itu terus menikmati keknya.
YOU ARE READING
KHALAIFAL FITYANI [C]
Short StorySHORT STORY . . . Kerana bersama awak, semua terasa indah.