CHAPTER 5

132 29 14
                                    

DUA BELAS jam sepasang mata itu mengawasi kawasan perairan. Daripada jam enam subuh hinggalah enam petang, fokusnya hanya meninjau-ninjau kawasan itu sekiranya ada pergerakan yang ganjil mahupun kehadiran yang tidak diundang memasuki ruang perairan negara.

Bot P38 yang berprestasi tinggi dan biasanya digunakan bagi operasi pemeriksaan di kawasan perairan pantai atau di luar persisiran masih berfungsi meskipun sudah mencecah dua belas jam. Itulah kelebihan bot P38 yang direka khas untuk misi-misi yang melebihi waktu yang panjang.

Di bawah pimpinan seorang pegawai yang berpakaian uniform serba hitam, sebelas lagi kru yang memuatkan bot itu tampaknya keletihan namun sebaliknya bagi dia yang berdiri tegap di bahagian mengawal pemanduan bot.

"Semua nampak lesu semacam ni dah kenapa?"

"Dah dua belas jam, tuan!" Kata salah seorang kru. "Operasi kita untuk pemeriksaan kali ini tak ada apa-apa yang mencurigakan!"

Di sebalik pelitup muka yang menutup hingga paras hidung, Arden melemparkan pandangan ke arah seorang kru yang mengatakan itu. Spontan bibir melarik senyuman yang nipis. Nampaknya sampai di sini saja operasi pemeriksaan mereka.

Sudah cukup dua belas jam. Itu arahan yang Arden sendiri dengari daripada pegawai atasan. Pastikan tiada sebarang pergerakan yang mencurigakan sepanjang dua belas jam. Tamatnya tempoh itu baru mereka dibenarkan untuk berundur kembali ke pangkalan.

"Alright, kita balik ke pangkalan tapi aku nak bagitau awal-awal. Next operation pemeriksaan kita ialah dua puluh empat jam. Dan jangan merungut dekat aku. Ini skop pekerjaan kita. Tugasan kita."

"Kawasan perairan negara kita mungkin nampak tenang. Mungkin nampak macam tak ada apa-apa tapi kita kena selalu bersiap sedia. Kita tak tahu siapa yang sedang menunggu masa yang sesuai untuk ceroboh masuk ke dalam perairan negara kita," tutur Arden berjela.

"Tuan, saya tahu tuan anak komando tapi kesian jugalah dekat kami ni. Nak rehat beberapa jam pun dah kena panggil dengan tuan," ujar salah seorang kru yang lain.

"Duty calls, nak buat macam mana. Dah, kita boleh patah balik ke pangkalan."

Arden memberi arahan kepada seorang kru untuk memandu pulang ke pangkalan. Pinggul disendengkan pada bahagian gelembung bot.

Bot pemintas itu terhentak-hentak menyusuri laju kawasan perairan. Mujurlah cuacanya daripada subuh tadi baik-baik saja untuk operasi pemeriksaan kali ini. Jika gerimis atau hujan pun, tiada alasan untuk berpatah balik kecuali operasi itu benar-benar tidak dapat diteruskan.

Langit yang pada mulanya kebiruan dengan awan-awan putih yang berarak perlahan kini dirangkumi dengan warna kuning kejinggaan.

Anak mata Arden bersama bulu mata yang melentik langsungnya terkunci pada pemandangan yang serba indah itu. Inilah sebabnya mengapa dia sukakan operasi yang berlanjutan hingga jam petang.

Pemandangan matahari yang terbenam nun jauh di seberang lautan membuatkan Arden sedar betapa cantik alam dan dunia yang sudah dipinjamkan oleh Tuhan.

Kata-kata saja tidak mampu menerangkan betapa sejuk matanya menghargai pemandangan itu.

BELUM TIGA minit tiba di kem pangkalan, Arden berlari-lari anak menuju ke dalam bangunan. Vest hitam yang tersarung dan senapang patah yang bergayut pada bahu yang bidang belum ditanggalkan tapi dia kesibukan mendapatkan telefonnya. 

Keluar Arden semula daripada bangunan, aplikasi kamera diketik lalu telefonnya diselaraskan ke atas. Menangkap beberapa keping gambar langit yang kejinggaan. Tingkahnya itu diperhatikan oleh Qizran yang baru turun daripada bot pemintas.

SHADOWWhere stories live. Discover now