SAMPUL YANG mengandungi beberapa kepingan duit berwarna ungu mengundang keluhan kecil Elish. Gigih dia menculas alasan, satupun tidak terkesan kepada Isael. Rela atau tidak, diterima juga bantuan duit yang dibagi oleh Isael. Jumlahnya pula bukan sedikit.
Seminggu dia berusaha mengelak daripada bertemu dengan Isael. Seminggu-minggu itulah Isael cuba mengumpannya sampai tiada peluang untuk Elish menolak lagi.
Ingin membalas budi Isael, terkenang diri yang tidak memiliki apa-apa. Elish menahan rasa yang perit menyerbu ke dalam ruang dada. Dipanggung wajah yang tertunduk. Ruangan tempat duduk tampak tumpat dengan kelibat-kelibat orang yang datang ke hospital ketika jam begini.
Baru pukul tujuh pagi, sudah ramai sebegini. Agaknya kalau Elish datang pada jam tengah hari, barangkali suasananya lagi sesak dan dia terpaksa menunggu lama untuk gilirannya dipanggil. Mujur dia rajinkan diri untuk bangun awal.
Jari-jemari dimainkan dengan kertas nombor giliran yang dipegang. Pandangan Elish tidak sengaja terpandang ke arah seorang ibu juga anak perempuannya. Entah mengapa, hati dicengkam perasaan pilu.
Masih Elish ingat memori-memori bersama Puan Melia ketika dia kecil. Memori-memori yang menyinarkan zaman kanak-kanaknya.
Betapa prihatin dan lemah lembut layanan ibunya terhadap dia tapi sekarang semuanya sudah tidak sama lagi. Segalanya telah berubah.
Apa yang Elish bisa rindukan ialah momen-momen penuh berharga itu. Keluarga kecilnya yang pernah dilengkapi dengan ayah dan ibu. Sepasang orang tua yang menyayangi dirinya lebih daripada apapun.
Elish celikkan mata beberapa kali. Mengusir air mata yang mulai mengaburi penglihatannya. Lemahnya dia acap kali soal keluarga difikirkan. Mungkin dirinya terlalu lalai dengan kesenangan yang dialami semasa kecil dan kini ianya dirembat untuk menyedarkan bahawa roda kehidupan tidak selalunya berada di atas.
Bahagia yang pernah dia rasai terasa jauh untuk digapainya kembali.
KAD PENGENALAN digenggam sebelah tangan. Arden berdiri di dalam barisan. Menunggu gilirannya untuk mengambil nombor. Dia datang ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan tubuh badan. Sudah menjadi salah satu daripada rutinnya.
Ditokok tambah dia mempunyai ujian kecekapan dan kecergasan pada bulan depan. Ada baiknya diawalkan pemeriksaan badannya. Mudah untuk dia tahu sama ada dia ada kecederaan dalaman yang dia sendiri tidak perasan.
Setiap tiga bulan, ujian kecekapan dan kecergasan memang diadakan dan Arden diwajibkan untuk turut serta. Ujian itu dibuat bagi menilai tahap kesiapsiagaan para anggota.
Selangkah Arden maju sesudah barisan itu bergerak. Diambil sehelai kertas kecil yang tertera nombor giliran. Dibaca sekilas seraya Arden melihat ke arah skrin yang memaparkan nombor giliran. Bersilih lagi tatapan matanya pada nombor giliran di dalam pegangan tangan.
Lama lagi. Terpaksalah dia menunggu.
Arden mengemam bibir. Melingas-lingas bebola mata. Tiada tempat duduk yang kosong. Suasana hospital itu boleh tahan asaknya. Lagi-lagi bahagian kaunter farmasi untuk mengambil ubat-ubatan.
Arden memutuskan untuk berdiri daripada duduk. Dianjakkan tubuh berdekatan sebuah kerusi panjang yang rapat ke dinding. Dia kurang kisah jika perlu berdiri. Beberapa jam pun dia boleh tahan. Lagipula, dia sudah terbiasa berdiri lama-lama.
Kebanyakan latihan dan kursus yang Arden ikuti akan ada segmen di mana dia harus berdiri di bawah cuaca yang panas. Kadangnya hujan yang lebat namun dia masih boleh bertahan.
Lengan yang sasa disilang ke dada. Arden menengadah wajah. Dia sandarkan belakang kepala pada dinding. Anak mata memerhatikan figura-figura manusia yang melintasinya. Tatkala itu dia tertoleh ke sisi.
YOU ARE READING
SHADOW
RomanceUnder PROTECTOR SERIES ⋆͛︎ Sequel of AIDAR Leftenan Madya Arden Hansel. Mengikut jejak ayahnya, dia menggalas tanggungjawab dalam mempertahankan keamanan negara sebagai tentera di bawah pasukan elit daripada Tentera Laut Diraja Malaysia. "Sedia un...