MASIH CERAH ruangan bilik tidur meski malam sudah terlanjur lewat. Bergerak-gerak tangan kiri Arden menggoyangkan pen yang dipegang. Dibaca barisan ayat yang dicatatnya dalam sebuah buku.
Lengkap dengan beberapa maklumat penting yang dia perlukan untuk permohonan menyertai tentera. Terdetik di fikiran, Arden ingin menyambungkan pelajaran namun waktu tidak menunggu dirinya ataupun sesiapa. Dia cuma ada satu pilihan untuk dibuat.
Sudah beberapa bulan zaman persekolahannya berakhir. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dikeluarkan petang semalam. Tidak sangka, keputusan Arden cemerlang dan lulus semuanya. Berbaloilah segala usaha yang dia curahkan. Keputusannya tidak mengecewakan orang tuanya dan diri sendiri.
Harus tunggu umurnya menginjak angka lapan belas dahulu, barulah dia dapat membuat permohonan seperti yang ditetapkan dalam syarat kelayakan.
Lengan dilipatkan atas meja belajar. Dagu ditopang pada lengan. Arden memiringkan wajah pada sebuah balang kaca yang berada bersebelahan bekas alat tulisnya. Terisi dengan satu benda.
Lama disimpan dan memang tidak digunakan hingga ke hari ini.
Automatik bibir Arden mengukirkan senyuman. Teringat memori yang tercipta tiga tahun yang lalu. Momen di mana hatinya dicuri oleh Elish walau tuan badan tidak mengesyaki apa-apa.
Hiruk-pikuk bunyi sorakan yang menggamatkan suasana padang sekolah. Hari rumah sukan sudah berlangsung sekitar pukul tujuh pagi. Beberapa acara telah pun bermula. Setiap rumah sukan akan menghantar wakil masing-masing yang menyertai acara.
Arden meregangkan lengan. Tubuh diloncat-loncat kecil agar betis tidak terasa tegang. Gilirannya untuk menyertai acara larian lompat pagar. Dia memang aktif dalam mana-mana aktiviti sekolah. Kalau ditanya untuk ikut, Arden tidak ragu-ragu mengujarkan kata setuju.
Posisi diambil. Bunyi tembakan dilepaskan, menandakan acara itu sudah bermula. Setiap halangan dapat Arden lepasi dengan senang namun di mana silap langkahnya, kaki tertolak palang sebelum dia berjaya melompat.
Tubuh Arden jatuh terhempap. Terlepas ringisan pedih daripada ulas bibir yang terbuka. Tangan menolak badannya untuk bangkit semula. Terasa sesuatu mengalir turun daripada dahi. Arden terduduk senyap.
Pijar terasa bahagian dahinya dek tergeser dengan permukaan trek larian. Terkenyut-kenyit kelopak mata Arden sebelum menangkap figura seseorang yang datang mendekatinya. Memakai baju merah dan putih.
"Dahi awak berdarah. Jangan sentuh! Saya tolong awak, okay? Awak boleh berdiri tak?" Suara lunak itu terselit nada kerisauan. Jemarinya teragak-agak ingin menyentuh lengan Arden sebagai bantuan.
"Boleh." Arden menjawab pendek. "Tak perlu pegang saya."
Arden mengangkat tubuhnya untuk berdiri. Selangkah dia maju, kepalanya tiba-tiba terasa pusing. Terhuyung-hayang dia jikalau bukan kerana gadis itu yang menarik tangannya agar tidak rebah.
"Kenapa ni? Awak okay tak?" Risau.
"Kepala saya pening, tolong pegang tangan saya. Saya rasa macam nak pitam."
Tanpa Arden sedari, genggaman tangannya pada tangan gadis itu bertambah ketat. Gadis itu tidak berkelip. Senyap sebentar. Sudah terlambat untuknya merenggangkan pegangan tangan mereka bila dia sendiri yang memulakannya.
Anggukan kepala dibuat. Arden menyusuli langkah gadis itu ke bawah khemah yang digunakan untuk ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang bertugas. Duduknya diambil di sebuah kerusi plastik.
Kepala dijatuhkan mendongak ke belakang, menyandar tubuh. Arden dapat merasakan tangan seseorang menyentuh dahinya. Dibawa anak mata miliknya menghala pada gadis itu. Jelas terpancar riak bimbang yang terpentang pada air muka.
YOU ARE READING
SHADOW
RomanceUnder PROTECTOR SERIES ⋆͛︎ Sequel of AIDAR Leftenan Madya Arden Hansel. Mengikut jejak ayahnya, dia menggalas tanggungjawab dalam mempertahankan keamanan negara sebagai tentera di bawah pasukan elit daripada Tentera Laut Diraja Malaysia. "Sedia un...