"Sejak bila kau ada pasangan?"Alih-alih menjawab soalan Luth, Nuh ralit meneguk air berkarbonat berperisa oren kepunyaan Luth yang ia rampas dari lelaki itu.
Menikmati setiap tegukan tajam yang melalui rengkung tanpa memperdulikan tiga manusia yang sedang melakukan soal siasat ke atas dirinya merupakan satu tindakan yang tepat Nuh rasakan.
Ketika ini dirinya umpama seorang pesalah yang baru saja melakukan jenayah seksual ke atas seorang perempuan sedangkan apa yang ia lakukan ke atas Ann adalah atas persetujuan perempuan itu sendiri. Bahkan Daniel dan Luth juga pernah berpelukan dengan wanita, jadi mengapa bila dia lakukan itu mereka yang lain anggap itu satu kesalahan besar?
"Siapa perempuan tu." Daniel menyoal penuh minat. Berbanding Luth yang riuh, Daniel tenang menggali jawapan. Dia turut menyangga lengan pada besi pengadang dan menunduk ke jalan di bawah sana seperti yang dilakukan Nuh.
Nuh masih tiada keinginan untuk menjawab.
Detik-detik dirinya ditangkap basah kembali berputar. Kekacauan ini semuanya berpunca dari Aiden yang cuba menyelamatkan diri dari amukan Daniel. Jika Aiden tidak menyusulnya ke atap dan ternampak adegan mesranya bersama Ann, soalan-soalan berbaur curiga itu tidak akan wujud.
Sepatutnya Nuh membekap mulut Aiden dari menjerit memanggil Luth dan Daniel, dia juga sepatutnya mengancam lelaki itu dari menyampaikan gosip murahan ini.
Seandainya Nuh pantas bertindak mungkin Aiden tak sempat mengeluarkan nada tinggi yang berjaya menarik intuisi Daniel dan Luth di tingkat bawah untuk langsung menemui mereka di atas. Seandainya dia juga menahan Ann dari melarikan diri tanpa sebarang penjelasan buat rakan-rakannya mungkin mereka tidak menyudutnya dan memikirkan yang bukan-bukan.
Tetapi itu semuanya harapan Nuh sahaja. Sekarang imej tiada perasaannya sudah rentak gara-gara Ann.
"Dia girlfriend kau?" tanya Daniel sambil menunding ke arah seseorang yang terselit di tengah-tengah keruman manusia di bawah sana.
Jalan di bawah sibuk dengan deretan kenderaan yang tidak henti-henti melintasi kawasan. Di kaki lima, orang ramai lalu-lalang malah ada yang berkumpul dalam kumpulan kecil bagi menikmati suasana malam minggu yang meriah.
Namun, bukan kemeriahan itu yang menarik perhatian Nuh. Dari tempatnya berdiri, pandangannya tertumpu pada susuk seorang wanita bergaun putih yang melangkah perlahan di tengah kesibukan. Tanpa perlu diberitahu oleh Daniel, Nuh sudah lama memerhati gerak-geri Ann sejak Ann keluar dari premis Keluarga Luth.
Berkaki ayam Ann berjalan menyusuri jalan tanpa pedulikan orang di sekitarnya. Ann melintas ke seberang jalan menuju ke sebuah lorong kecil di antara dua bangunan. Dalam sekelip mata, bayang Ann hilang di sebalik bangunan tinggi meninggalkan Nuh yang masih terpaku memerhati.
"Stranger," jawab Nuh setelah hampir tiga minit membiarkan soalan Daniel tergantung tanpa jawapan.
"Sejak bila kau tertarik dengan stranger? Dia aneh dan pelik. Sekali pandang aku nampak dia macam orang tak waras." Daniel mengutuk.
"Walaupun dia stranger dia tetap manusia." Nuh tanpa sedar membela Ann.
"And you fell for that weird girl?"
Tin minuman kosong di tangan Nuh remuk sebaik sahaja mendengar sindiran Daniel. Tanpa melihat Nuh tahu Daniel sedang melayangkan senyuman mengejek pada dirinya. Umpan Daniel tepat sasaran, dirinya yang bodoh telah jatuh dalam perangkap Daniel.
"Something seems off. Aiden, call Zayden. Aku rasa ni bukan Nuh. Nuh mungkin ada dekat rumah dan depan kita ni jelmaan pendamping Nuh." Tak sempat cerna serangan Daniel, Luth pula menambah.

YOU ARE READING
HOLD| Bebas
HorrorDream Series : 1 - Nuh Zyad Impian Nuh hanyalah satu: kebebasan. Dilahirkan dalam keluarga yang terikat dengan kepercayaan mistik, hidupnya dipenuhi dengan pantang larang yang menyekat keseronokan di luar sana. Melanggar pantang larang yang ditega...