Cahaya matahari pagi menembusi langsir nipis bilik hospital, memberikan kehangatan yang lembut di ruang itu. Faris terjaga dari tidurnya, tubuhnya masih terasa lemah, tetapi semangatnya tidak pernah luntur. Di sisinya, terlihat Irdina tertidur di atas kerusi dengan kepala bersandar di tangan, wajahnya terlihat penat tetapi damai. Faris memandang gadis itu dengan rasa syukur yang mendalam.
Dia mengangkat tangannya yang lemah untuk menyentuh kepala Irdina yang berlapik dengan tudung bawalnya, tetapi berhenti di pertengahan jalan, bimbang akan mengejutkannya. Namun, seperti menyedari kehadiran Faris, Irdina membuka matanya perlahan. Mata mereka bertemu, dan untuk sesaat, dunia di sekeliling mereka seakan-akan terhenti.
"Awak dah sedar," kata Irdina, suaranya serak akibat keletihan tetapi penuh dengan kelegaan.
"Kan saya janji saya akan pulang," balas Faris perlahan dengan senyuman kecil. Kata-katanya penuh makna, merujuk kepada janji yang sering dia ulang sebelum setiap misi berbahaya.
Air mata mengalir di pipi Irdina tanpa dia sedari. Dia tersenyum sambil menggelengkan kepala. "Awak selalu buat saya risau."
"Dan awak selalu ada di sini untuk saya," jawab Faris, suaranya penuh kelembutan.
Hari-hari di hospital menjadi momen untuk mereka berdua mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam. Ketika Faris menjalani rawatan dan pemulihan, Irdina sering berada di sisinya, membawa makanan kegemarannya, membacakan buku, atau sekadar mendengar kisah-kisah tentang kehidupannya sebagai komando.
"Saya tak pernah bayangkan saya akan jatuh cinta pada seseorang yang kerjanya begitu... berbahaya," kata Irdina suatu hari sambil duduk di tepi katil Faris.
Faris tersenyum, menatapnya dengan mata yang penuh kasih. "Saya pun tak pernah sangka saya akan jumpa seseorang yang membuat saya rasa ingin hidup lebih daripada sekadar tugas."
Irdina terdiam. Kata-kata Faris itu menusuk jauh ke dalam hatinya, membuatkan dia sedar bahawa lelaki ini adalah seseorang yang benar-benar melihatnya sebagai pusat dunianya.
Namun, dalam setiap detik indah yang mereka kongsi, ada bayangan masa depan yang menggantung di atas mereka iaitu persoalan tentang bagaimana hubungan ini akan bertahan dengan kehidupan mereka yang penuh risiko dan cabaran.
Selepas keluar dari hospital, Faris kembali ke kem latihan VAT69 untuk meneruskan tugasnya. Meskipun kecederaannya memerlukan waktu untuk sembuh sepenuhnya, dia tetap hadir dalam latihan dan memberi sokongan kepada pasukannya. Dalam diam, dia merasa beban tanggungjawab yang semakin berat bukan hanya terhadap negara, tetapi juga terhadap Irdina.
"Saya tak nak awak hidup dalam ketakutan, Dina," kata Faris dalam satu perbualan telefon pada malam yang sunyi.
"Ketakutan itu dah jadi sebahagian dari hidup saya sejak saya kenal awak, Faris," balas Irdina, suaranya lembut tetapi tegas. "Tapi saya lebih takut kehilangan awak kalau saya lepaskan awak."
Kata-kata itu membuatkan Faris terdiam. Dia sedar bahawa cinta mereka bukan sekadar soal perasaan, tetapi soal keberanian untuk terus bertahan meskipun dunia seolah-olah mahu memisahkan mereka.
Beberapa bulan kemudian, Faris menerima tawaran untuk menjalani kursus lanjutan khas di luar negara, sebuah peluang besar untuk meningkatkan kemahiran komandonya dan kedudukannya dalam unit. Namun, tawaran itu juga bermakna dia perlu meninggalkan Malaysia selama hampir setahun.
Ketika dia memberitahu Irdina tentang perkara itu, reaksi pertama gadis itu adalah senyuman tipis. Tetapi Faris dapat melihat kerisauan yang tersembunyi di balik senyuman itu.
"Pergi la," kata Irdina dengan nada tegas. "Ini peluang yang tak boleh awak lepaskan."
"Tapi awak?" Faris bertanya, nada suaranya penuh dengan keraguan.
"Saya akan tunggu awak, Faris. Sama seperti saya tunggu awak setiap kali awak pergi misi," jawab Irdina, matanya berkaca. "Cinta ini bukan tentang sentiasa bersama. Ia tentang percaya dan bertahan."
Kata-kata itu membuatkan Faris merasa lebih yakin. Namun, dia tidak dapat mengelak daripada merasa bersalah kerana harus meninggalkan Irdina, walaupun hanya untuk sementara waktu.
Sepanjang setahun berikutnya, hubungan mereka beralih kepada surat dan panggilan telefon jarak jauh. Faris, yang menjalani latihan intensif di negara asing, sering menulis surat kepada Irdina, menceritakan pengalamannya dan kerinduannya terhadap gadis itu. Irdina pula membalas surat-surat itu dengan penuh kasih sayang, mengirimkan gambar dan cerita tentang kehidupannya di pelantar minyak.
Namun, jarak itu bukan tanpa cabaran. Ada hari-hari di mana Irdina merasa rindu yang begitu menyakitkan, terutama ketika dia tahu Faris sedang melalui latihan berbahaya. Ada juga saat di mana Faris merasa terasing, tertanya-tanya sama ada cintanya cukup kuat untuk bertahan.
"Saya rindu awak," tulis Faris dalam salah satu suratnya. "Tapi setiap kali saya rasa ingin menyerah, saya ingatkan diri saya yang awak adalah alasan saya untuk pulang."
Akhirnya, tiba hari di mana Faris kembali ke Malaysia. Irdina menunggunya di lapangan terbang, jantungnya berdebar-debar melihat lelaki itu berjalan ke arahnya dengan senyuman yang tidak pernah berubah.
"Awak..... Awak tak pernah berubah," kata Irdina sambil tersenyum, air matanya mengalir tanpa sedar.
"Awak pun," balas Faris, mendekatkan dirinya kepada gadisnya yang masih menitiskan airmatanya. "Saya janji ini kali terakhir saya tinggalkan awak selama ini."
Mereka berdiri di situ selama beberapa saat, membiarkan dunia berlalu di sekeliling mereka. Di hati mereka, ada satu kesedaran yang jelas bahawa mereka telah melalui ujian jarak, dan cinta mereka semakin kuat kerana itu.
Beberapa minggu selepas kepulangan Faris, mereka berbual tentang masa depan. Faris tahu dia tidak boleh terus-menerus menunda masa depan mereka, tetapi dia juga mahu memastikan Irdina memahami apa yang dia tawarkan adalah sebuah kehidupan yang tidak akan pernah bebas dari risiko.
"Saya mungkin tak akan jadi suami yang selalu ada di rumah," kata Faris dengan nada serius. "Tapi saya janji, hati saya akan sentiasa milik awak."
Irdina memandangnya, matanya penuh dengan keyakinan. "Faris, saya tak perlukan seseorang yang sentiasa ada. Saya perlukan seseorang yang saya tahu mencintai saya sepenuhnya. Dan itu awak dan awak dah buktikannya pada saya."
Faris tersenyum, menarik nafas lega. "Kalau begitu, sudi tak awak jadi isteri seorang komando yang keras kepala?"
Irdina ketawa kecil, air matanya jatuh lagi. "Dengan hati yang terbuka, saya terima awak sepenuhnya, Encik Komando."
YOU ARE READING
Kasih Tercipta (Short Novel)
Short StoryKetika takdir menemukan Zafran, seorang VAT69 Komando, dan Irdina, seorang jurutera pelantar minyak, cinta mereka diuji dengan risiko, jarak, dan ketakutan. Namun, di tengah-tengah cabaran yang tak berkesudahan, kasih yang tercipta di antara mereka...