BAB 2

2 0 0
                                    

Tiga bulan berlalu sejak insiden di pelantar minyak Teluk Emas. Bagi Irdina, malam itu kekal sebagai satu titik ingatan yang tidak mudah dilupakan. Di sebalik trauma yang mencengkam, ada sesuatu yang lain telah tertanam iaitu rasa kagum terhadap seorang lelaki yang telah menyelamatkan dirinya, Inspektor Faris. Dia tidak pernah menyangka seorang manusia boleh berhadapan dengan bahaya maut dengan begitu tenang, apatah lagi mengambil risiko demi nyawa orang lain.

Namun, kehidupan perlu diteruskan. Irdina kembali ke rutinnya sebagai jurutera offshore, melibatkan diri dalam penyelenggaraan dan pengendalian operasi di pelantar minyak. Dunia ini adalah rumah keduanya yang tidak lagi asing pada dirinya, di mana deru ombak menggantikan deringan telefon, dan kesunyian malam hanya ditemani bunyi deruan angin di pelantar.

Di ruang biliknya yang kecil di kapal pelantar, Irdina menatap foto keluarganya yang tergantung di dinding. Wajah ibunya tersenyum lembut, dan di sebelahnya, gambar bapanya yang sudah tiada. Dia selalu merindukan bapanya, seorang bekas jurutera yang menjadi inspirasinya menceburi bidang ini. Dalam sunyi malam, dia sering bertanya pada dirinya, adakah dia benar-benar kuat seperti yang sering dikatakan orang dan ibu ayahnya?

Malam itu, Irdina memandang keluar tingkap bilik, matanya merenung laut yang luas. Fikirannya melayang kepada Faris. Dia tidak tahu banyak tentang lelaki itu, hanya namanya dan profesinya sebagai seorang VAT69 Komando. Namun, dia tidak dapat melupakan ketenangan lelaki itu, apatah lagi cara Faris melindunginya ketika dunia di sekeliling mereka seperti hendak runtuh.

Jauh di utara Semenanjung, Faris pula sedang berlatih di kem latihan VAT69. Kehidupannya adalah siri latihan intensif, misi rahsia, dan komitmen kepada negara. Bagi Faris, ini adalah kehidupannya sejak bertahun-tahun yang tidak menunjukkann apa-apa ruang untuk dia punyai hubungan, juga tiada istilah untuk dia berlembut bila diri ini telah melangkah ke dunia komando yang bahaya dan berisiko.

Namun, selepas misi di Teluk Emas, Faris mendapati dirinya sering teringatkan sosok seorang Wanita yang dilindunginya ketika tawanan di kapal pelanatr tempoh hari. Bukan kerana dia lemah, tetapi kerana ada sesuatu dalam diri Irdina yang menarik perhatiannya. Ketabahan gadis itu di tengah krisis, keberaniannya walaupun diancam, dan cara matanya bersinar dengan semangat yang sukar dijelaskan , segalanya kekal tersemat dalam ingatan Faris, dan sering meniti di fikirannya.

Lamunan terhadap gadis yang sentiasa meniti di mindanya membawa dia ke dunia realitinya semula. "Allah. Fokus, Ris. Awat la jauh na kau fikir ni, bodoh," katanya kepada dirinya sendiri ketika dia memeriksa senjata selepas latihan. Tetapi walau sekeras mana dia cuba, bayangan Irdina tetap hadir. Dalam diam, dia tertanya-tanya; adakah mereka akan bertemu lagi, dan adakah takdir antara mereka akan membawa mereka kembali?

Takdir dari pencipta alam ini seolah-olah punyai rancangannya tersendiri. Satu petang, Irdina menerima jemputan menghadiri sebuah majlis perasmian di Kuala Lumpur, projek Occupational Safety and Health (OSH) pelantar minyak yang melibatkan kolaborasi antara syarikat minyak tempatnya bekerja dan pasukan-pasukan keselamatan negara.

Walaupun berat hati meninggalkan kerja di pelantar, Irdina tahu ini peluang untuk mengembangkan kariernya. Lagipun, siapa tahu, dia mungkin berpeluang melihat bagaimana pasukan keselamatan negara bekerjasama dengan sektor awam lagi-lagi dunia perminyakan dan gas di Malaysia ini.

Pada hari perasmian, dewan utama dipenuhi orang penting seperti ahli korporat, pegawai tinggi tentera dan polis, juga individu berprofil tinggi. Irdina mengenakan blazer biru gelap, mengenakan tudung bawal hitam yang dililit kemas di kepalanya, dan dia kelihatan elegan namun sederhana. Namun, di sebalik tenang wajahnya, hatinya sedikit gementar. Majlis seperti ini bukan tempatnya, tetapi dia perlu menjaga imej professional terutama untuk syarikatnya.

Ketika dia sedang memerhati persembahan slide projek, satu suara yang dikenalnya menyapa.

"Cik jurutera kita ni nampak sibuk eh," suara itu dalam dan menenangkan, memecah lamunannya yang sibuk dengan slidenya yang bakal dibentangkan olehnya bagi pihak syarikatnya.

Irdina berpaling, dan di hadapannya berdiri Faris. Kali ini, dia tidak berseragam taktikal tetapi mengenakan pakaian formal; kot hitam yang tersarung kemas pada tubuh tegapnya. Senyumannya kecil, tetapi cukup untuk membuatkan hati Irdina berdegup laju.

"Encik Komando," balas Irdina dengan senyuman, cuba menyembunyikan kejutan yang dirasainya. "Encik ni memang selalu muncul di tempat yang tak dijangka oleh manusia eh."

Faris ketawa kecil. "Mungkin takdir antara kita kuat. Rupanya ada Cik jurutera jugak di sini. Langkah kanan saya hari ni"

Mereka berbual seketika, tentang projek yang sedang berlangsung dan sedikit tentang pengalaman mereka di Teluk Emas. Walaupun percakapan mereka santai, ada aura yang sukar dijelaskan antara mereka; seolah-olah masing-masing menyimpan rasa yang tidak diungkapkan.

Selepas majlis selesai, Faris menawarkan untuk menemani Irdina berjalan ke tempat letak kereta. Di perjalanan itu, perbualan mereka menjadi lebih peribadi.

"Saya tak sangka jumpa tuan kat sini," kata Irdina, suaranya lembut.

"Saya pun sama," balas Faris. "Tapi saya rasa ini peluang yang baik untuk... uhm.. mengenali awak lebih daripada sekadar jurutera yang saya pernah selamatkan."

Irdina terdiam. Kata-kata Faris membuatkan dadanya berdebar. Tetapi dia tidak mahu terlihat terlalu mudah membuka hati. "Bergurau yer Tuan Komando ni. Buat apa la nak kenal saya? Hidup saya ni complicated dan saya rasa hidup awak pun sama macam saya, penuh dengan hal-hal penting dan complex jugak."

Faris tersenyum. "Kadang-kadang, hal penting dalam hidup kita bukan misi atau kerja, tapi orang yang kita rasa... Istimewa dalam hidup kita."

Kata-kata itu membuatkan Irdina tidak tahu bagaimana untuk membalas. Dia hanya memandang Faris, cuba mencari kejujuran dalam matanya. Dan dia menemukannya, pandangan seorang lelaki yang tidak hanya berkata-kata, tetapi benar-benar maksudkan apa yang dia katakana hanya melalui matanya yang memancarkan keikhlasan dan ketulusan hatinya.

Selepas pertemuan itu, hubungan mereka perlahan-lahan berkembang. Mereka mula bertukar mesej seperti perbualan santai tentang kerja, keluarga, dan apa yang mereka rasakan tentang dunia. Tetapi, hubungan mereka bukan tanpa cabaran. Kerjaya mereka membuatkan masa menjadi musuh terbesar.

Faris sering ditugaskan dalam misi yang memerlukan keberadaan fizikal dan mentalnya secara penuh. Kadang-kadang, dia tidak dapat dihubungi selama berminggu-minggu. Irdina pula sering jauh di tengah laut, di mana jaringan telekomunikasi hampir tidak wujud.

Namun, setiap kali mereka berjaya bercakap, sama ada melalui panggilan ringkas atau mesej pendek, ada sesuatu yang membuatkan kedua-duanya merasa lebih hidup.

"Awak rasa kita boleh bertahan dengan kehidupan macam ni?" tanya Irdina satu malam ketika mereka berbual.

Faris terdiam sejenak. "Saya tak tahu apa yang akan datang. Tapi saya tahu satu perkara yang saya tak nak lepaskan sesuatu yang saya rasa berbaloi untuk diperjuangkan."

Kata-kata Faris memberi Irdina kekuatan. Walaupun mereka berada di dunia yang berbeza, cinta mereka mula tumbuh seperti bunga yang mekar di tengah gurun, penuh dengan harapan.

Kasih Tercipta (Short Novel)Where stories live. Discover now